Pages

Friday, December 31, 2010

Di awal dan di akhirnya... ABAH yang di kasihi kembali ke pangkuan Illahi (IN LOVING MEMORY OF AYAHANDA HJ. ASFANDI B. SIPON)

Kunjunganku bersama anak-anakku Nurul 'Ain, Nurhasyimah dan Muhammad Firdaus di pagi Jumaat 31.12.2010
ke pusara Ayahanda tercinta.. AL-FATIHAH

frames

"Wahai Tuhanku, ampunilah akan dia, rahmatilah akan dia, afiatkan dia dan maafkanlah akan dia.
Muliakanlah persinggahannya, dan luaskanlah tempat masuknya.
Bersihkanlah akan dia dengan air, salji dan dengan air batu.
Dan bersihkanlah akan dia dari segala kesalahan sebagaimana dibersihkan kain putih daripada kotoran.
Dan berikanlah ganti rumahnya yang lebih baik dari rumahnya di dunia.
Dan berikanlah ahli yang lebih baik dari ahlinya di dunia.
Dan pasangan yang lebih baik dari pasangannya di dunia.
Dan masukkanlah akan dia ke dalam syurga dan lindungilah dia dari azab kubur.
Dan dari azab neraka. " Amiin...

(Dari Hadis Riwayat Muslim).

31.12.2010 ~ Telah 7 hari berlalu, pemergian seorang insan mulia yang amat kami cintai dan kasihi pergi buat selama-lamanya ke alam barzakh pada tanggal 25 Disember, 2010 hari Sabtu bersamaan 19 Muharam 1432 H lebih kurang jam 10.00 pagi, Ayahanda tercinta Hj. Asfandi b. Sipon telah menyahut panggilan Illahi dalam keadaan sabar dan tenang.. di usia 79 tahun.. Amat lembut menghembuskan nafas terakhir di sampingku dan anakku Nurhasyimah yang membisikan kalimah Allah di telinga kanannya.. di samping bacaan Yaasin oleh anak-anakku yang lain.. dan emak yang telah menjaganya di sebelah malam dan bacaan Yaasin selepas Subuh oleh kakakku.. sewaktu hujan rahmat turun di awal pagi..

Pada pagi itu Abah dapat meneguk sedikit air Yaasin dan setelah ku selesai membersihkan dirinya ... dengan iringan kalimah-kalimah suci perlahan-lahan beliau menghembuskan nafas terakhir dengan kalam Allah dan memejamkan matanya dengan tenang..


Kami sekeluarga Redha atas pemergiannya, dimana Abah yang telah mengharungi ujian Allah s.w.t berjuang melawan sakitnya selama setahun, walaupun ia tidak pernah mengeluh  kesakitan, dengan rahmat kasih sayang Allah s.w.t. yang sentiasa melindungi Abah dengan sifat sabarnya yang amat tinggi.. Sehinggalah telah hampir ke akhir hayatnya di uji dengan gegaran dan kebingitan tapi sifat kesabaran ia tenang menghadapinya.. Semoga Allah s.w.t menerima segala amalan baiknya dan mengampuni segala kesalahan.  Kami cuba belajar dari sifat sabar dan ketabahan Abah yang telah banyak mengharungi suka duka hidup di sepanjang hayatnya..


Alhamdulillah urusan pengendalian jenazah berjalan lancar dengan diketuai oleh Ustadz Hj. Salleh dan pembantunya Tuan Hj. Johari yang menguruskan segala keperluan menguruskan jenazah termasuk van jenazah juga anak cucu Abah yang turut serta memandikan jenazah buat terakhir kalinya.. Selesai di mandikan jenazah di bawa masuk dan di kapankan.. Ketika pengurusan kapan sedang dijalankan.., ia di iringi dengan bacaan tahlil di ketuai oleh Tok ketua kampung Tuan Hj. Thaifoor atas permintaan suamiku memberi penghormatan padanya sebagai ketua kampung. 

Kehadiran saudara mara terdekat yang banyak membantu, jemaah masjid, jiran tetangga, rakan-rakan yang sentiasa mendo'akan Allahyarham Abah yang di kasihi.. YB Dr. Hj. Abd. Rani b. Hj. Osman (Adun Meru) juga turut hadhir menyampaikan takziah. (Kesanggupan YB yang datang menziarahi Abah seawal 8.00 pagi pada 30hb. November, 2010 lalu ketika uzurnya Abah dan memberi rawatan percuma teramat sangat kami dan keluarga hargai.. inilah satu-satunya contoh pemimpin yang menjalan tugasnya dan berbakti kepada rakyat walau dalam keadaan apapun ia sangat mengambil berat kepentingan penduduk - khidmat yang dilaksanakan oleh beliau sebagai pemimpin ada di blog ini).


Sewaktu azan Zuhor sedang berkumandang jenazah telah tiba di masjid dan di letakkan di tengah dewan solat... Selesai solat Zuhor, Imam dan para jemaah masjid serta ahli keluarga, saudara mara dan jiran menunaikan solat jenazah, dan sebahagian darinya mengiringi jenazah ke tanah perkuburan Islam Pekan Meru.. tidak jauh dari rumahku..

Setiba di tanah pusara jam 2.00 petang, liang lahad telah bersiap sedia menerima penghuni barunya.. Abang-abangku Adnan, Adzlan dan Azhar telah menanti di liang lahad untuk menyambut jasad Ayahanda. Selesai urusan di liang lahad dan tanah merah lembut melitupi ruangan.. talkin dibaca dan ketika itu cuaca amat baik sekali, tidak begitu panas, awan berarak melindungi mentari, suasana sungguh nyaman di mana pokok-pokok bagaikan kipas mengikut alunan angin yang berhembus mendinginkan pengunjung yang menghadiri pemakaman ini.

Kehadiran seekor kupu-kupu kuning yang sungguh cantik menawan mengelilingi ku beberapa kali dan hinggap di tudungku.... Makhluk kecil ini juga berzikir mengiringi bacaan talkin menyejukan jiwaku yang sedang berduka dan Allah Maha Berkuasa dimana tiada titisan airmataku yang mengalir sedangkan sebelum itu aku amat takut bagaimana kiranya menghadapi situasi bila kehilangan orang tersayang.. Allah memberi kekuatan buat diriku menghadapi saat sukar ini.. Diriku, emak dan adik beradik redha atas kehendak Allah s.w.t dan semoga Allah menerima dan redha atas perlakuan anak-anak Abah.

Selesai pemakaman dan mereka yang hadhir masing-masing mula beredar meninggalkan tanah perkuburan, tinggal kami 5 beradik (Abang Adnan, Abang Adzlan, Kak Norafizah, Abang Azhar dan diriku - 2 orang lagi adik perempuan ku Noraini dan Norziela menemankan emak di rumah bersama saudara mara) tidak berganjak kerana menanti kehadiran adik lelakiku Akmal yang baru tiba dari Pekan, Pahang lebih kurang jam 2.30 petang. Berkumpullah kami 6 beradik di samping pusara Abah ketika itu dengan mendo'akan kesejahteraan Abah di alam persinggahan sementara menanti hari kebangkitan kelak. Kami mendo'akan Abah damai di sana. 


Abah, kami amat merinduimu.. menghadapi saat ketiadaan mu pada awalnya memang sukar.. ku tidak dapat menahan sebak ketika membaca kitab suci Al-Qur'an untuk dihadiahkan buat mu Abah.. terimbau kembali ketika saat bersama Abah di hospital, dan menjaga Abah ketika sakitmu di pembaringan.. rindu mengaji di sisi Abah, menyuapkan makan dan minum juga membersihkan Abah.. Minta maaf Abah kiranya adakala ketika membersihkan Abah ada anggota yang terasa sakit..dan redhakanlah setiap tingkah lakuku sepanjang mengurus Abah.  
"Ampunkanlah segala kesalahan Ayang ya Abah..Redhakan emak dan kami anak-anak Abah semua.."... Abah mengangguk.. ketika sedarnya.. Lega hatiku.. Abah tak pernah menyimpan perasaan marah.. Abah seorang insan yang amat baik pekertinya.. begitulah pandangan jiran, saudara mara, jemaah masjid dan rakan-rakannya..

Sesungguhnya Allah maha Pengasih, para Malaikat  sentiasa mendo'akan dan memohon keampunan buat Abah ketika sakit.. Apatah lagi Abah menerimanya dengan Redha dan sabar..  Do'a dari kami agar Abah tenang di sana dan Allah merahmati roh Abah dengan rahmat kasih sayangnya dan menempatkan Abah di kalangan para syuhada' dan para solehin di taman-taman indah di alam barzakh dan mudah-mudahan syurga Firdaus menantimu Abah. Tak lupa juga do'a buat roh Allahyarham adik Abah yang amat di kasihinya Hj. Mohammed Asru yang terlebih dahulu kembali ke Rahmatullah pada hari Isnin, 10hb. Mei, 2010.. Memori tersebut di N3 ini.. Semoga roh mereka sentiasa di cucuri Rahmat dan mendapat tempat yang mulia di sisi Allah s.w.t.  Pusara Abah berdekatan dengan pusara bapa saudaraku ini..


Pusara Abah dan kelihatan pusara adiknya (yang kelihatan anakku di situ)
(pagi Jumaat 31.12.2010)


Abah meninggalkan kami di hari-hari terakhir bulan akhir di tahun masihi dan di awal bulan Islam yakni Muharam.. Abah menghakhiri hayatnya di awal tahun hijrah dan di akhir tahun masihi.. Kami amat bersyukur mempunyai Abah sebaik Abah..begitu juga Emak yang telah mendidik dan mengasuh kami sedari kecil hinggalah boleh berdikari dengan pertolongan Allah s.w.t.

Kami kasih dan sayang pada Abah dan Emak..  Walaupun kini Abah tiada di samping namun Abah sentiasa di hati kami dalam do'a kami agar Abah damai dan berbahagia di sana bersama mereka yang di kasihi Allah s.w.t...


Terima kasih buat segala do'a yang di kirim oleh saudara-saudara muslimin dan muslimat semua.. Semoga Allah sentiasa merahmati dan mengampuni kita dan berbahagia  hidup di dunia dan di akhirat.

 Pohon besar dengan daunan rimbun dan buahnya yang lebat menaungi pusara Abah dan penghuni di sekelilingnya.... Kicauan burung berzikir dan berdo'a buat penghuni alam itu..
 (pagi Jumaat 31.12.2010) 

AL-FATIHAH!
"Semoga Allah mencucuri rahmat dan ke bahagiaan ke atas roh ayahanda Hj. Asfandi b. Sipon di sisi Allah s.w.t. bersama kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh. Amiin."
I love you and always cherish you inside my heart.. and you are always in my prayers. Miss you so much...

Thursday, December 9, 2010

Salam Ma'al Hijrah 1432 & Selamat ulangtahun kelahiran dalam bulan Muharam buat Anakku tercinta Muhammad Firdaus

Hari ni sudah masuk hari ke 3 di bulan Muharam 1432 Hijriah.. Bulan pertama dalam kalender umat Islam mengikut peredaran bulan.. Ia memperingati sejarah penghijrahan Rasulullah s.a.w. dari Makkah ke Madinah 1432 tahun yang lalu. Di kesempatan ini ingin ku sampaikan Salam Ma'al hijriah buat semua pengunjung yang di kasihi yang sudi singgah di ruangan ini..

1 Muharam juga merupakan hari bersejarah dalam hidupku 13 tahun yang lalu bila melahirkan putera comel setelah memperolehi 4 puteri. Hijrah jugalah kan.. :) Syukur ke hadrat Illahi yang menganugerahkan buahhati pengarang jantung ni..yang di beri nama Muhammad Firdaus. 

Sepanjang mengandung seingatku tak pernah ku menanyakan jantina bayi yang ku kandung pabila ultra sound di lakukan sewaktu pemeriksaan.  Ku hanya berserah pada Allah dan berdo'a kehadrat Illahi kandungan sihat sempurna.  Alhamdulillah bayi selamat dilahirkan... kegembiraan kami seisi keluarga mewarnai hidup ini..(memori kelahiran anakku Muhammad Firdaus di N3 yang lalu klik di sini)



Kelahiran Muharam.. 1 Muharam 1419 (Muhammad Firdaus b. Abd. Jalil - kanan) 
dan sepupunya 2 Muharam 1419 (Muhammad Amiruddin b. Jamaluddin - kiri 
anak adikku Noraini)


Foto lama - tak berapa ingat masa ni mereka berusia berapa tahun
 
"Abah dah ada geng" - suka sangat!!

Sayang pada adik-adik kecil... teringin sangat dia nak adik

Gambar terkini - semasa di Pontian, Johor, 28/11/2010

Thursday, November 25, 2010

Detik berlalu ..... 21 tahun sudah!!! :)


Kenangan terindah 21 tahun yang lalu di tarikh bersejarah hari ini 25hb. November, 1989 tatkala lafaz akad nikah selamat di ucap dengan tenang oleh suami tercinta ku.. Lafaz nikah telah di SAHkan!! di hadapan jurunikah Allahyarham Ustadz Hj. Kamaruddin di Masjid AsSyarif dengan di saksikan oleh Abangku Adzlan juga bapa saudaraku Hj. Rahmat juga saudaramara kedua belah pihak dan rakan-rakan suamiku.  Selesai saja majlis akad suami menunaikan solat sunat berdo'a kehadrat Illahi agar jodoh ini berkekalan dan di limpahi rahmat sepanjang hayat hingga ke Akhirat kelak..


26/11/1989 - setelah selesai majlis bertandang di sebelah pehak lelaki di Sekolah Tinggi Klang, kami pulang ke rumah Emak Abah pada waktu petang dan gambar ini di rakam dan di hadiahkan oleh salah seorang tetamu kami anakanda kepada YTM Tengku Bendahara Selangor.

Bersama Emak dan Abah tercinta dan juga anak saudaraku..


Alhamdulillah segalanya berjalan lancar, di saat itu tanggungjawab kedua ibubapaku telah di serahkan sepenuhnya buat suamiku... Bermulalah kehidupan baru kami dan hari berganti minggu ke bulan dan bertahun kini sudah 21 tahun kami membina mahligai terindah bersama.. Pelbagai cabaran pahit manis susah senang kami harungi bersama.. dengan dikurniakan 5 orang permata hati  ... zuriat kurniaan Illahi menyinari keluarga kami.  Zuriat ke 6 ku tidak sempat melihat cahaya dunia 2 tahun yang lalu tatkala hanya 3 bulan menghuni dalam kandunganku.. Namun Allah Maha Mengetahui segalanya.. yang menentukan kelahiran, jodoh dan ajal hambaNya.


Kesabaran menempuhi kehidupan, hormat menghormati, sayang menyayangi dan saling faham memahami sebagai pasangan hidup amat penting. Taat perintah Allah dan pesuruhNya adalah kunci kehidupan membawa bahagia.. 


Do'a Nabi Ibrahim a.s.:  "Wahai Tuhan jadikan daku dan anak cucuku orang-orang yang mendirikan solat. Wahai Tuhan terimalah do'aku, wahai Tuhan kami ampunilah kami dan kedua ibu bapa kami dan bagi orang-orang yang beriman di hari di tegakkan perhitungan."  
(Mafhum dari Surah Ibrahim: 40-41)


Do'a orang-orang Mukminin..


"Wahai Tuhan ilhamkanlah daku supaya tetap mensyukuri nikmat yang Engkau anugerahi daku dan supaya aku tetap beramal salih yang Engkau redhainya, dan perelokanlah bagiku zuriatku, sesungguhnya aku bertaubat kepadaMU, dan adalah aku dari orang-orang Muslimin."  (Mafhum dari Surah Al-Ahqaf: 15)


"Wahai Tuhanku bahawasanya aku bermohon kepada Engkau keafiatan di Dunia dan di Akhirat, wahai Tuhanku aku bermohon keampunan dan keafiatan pada agamaku dan duniaku, ahliku dan hartaku."  Amiin.

Sunday, November 21, 2010

Haji 2010 - Foto-foto menarik musim haji tahun ini...

Foto-foto musim haji tahun ini.. November, 2010.. di kongsi dalam laman web Boston.com klik di sini.


Salah satu darinya adalah Baitullah di Makkahtul Mukarammah. Jutaan manusia berhimpun di sini mengabdikan diri dan menunaikan perintah Allah s.w.t.  Maha Suci Allah Yang Maha Besar.




"Ya Allah permudahkan dan pertemukanlah bagi kami untuk menunaikan rukun Islam yang ke 5 ini pada musim haji yang akan datang.. InshaAllah, Amiin."

Sunday, November 14, 2010

Video klip yang amat menyentuh hati.. KISAH BENAR: AYAH DAN ANAK

Hari ini saya nak kongsi satu kisah benar yang amat menyentuh hati. Bagaimana kasih seorang ayah yang telah berusia sanggup memenuhi kehendak anaknya ... saksikan video tersebut dan jadikanlah iktibar buat kita semua.. bagaimana kasih sayang itu tidak boleh di jual beli..  

Kasih sayang anak buat kedua orang tuanya dan kasih orang tua terhadap anaknya.. Mungkin ramai dah mengetahui kisah 2 beranak ini (keluarga Hoyt).  Ianya menjadi satu contoh untuk memotivasikan diri kita. Kita jangan mudah putus asa atau menyerah kalah.. Sesungguhnya setiap kesukaran itu ada kemudahan dan tiada yang mustahil dalam kehidupan kita. 

Namun kita tidak akan lupa sampai bila-bila sumber inspirasi terbaik sejak dahulu lagi adalah kisah pengorbanan besar Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s.  Seorang ayah sanggup berkorban apa sahaja demi anaknya atas perintah Allah s.w.t.



Bertitisan airmataku menonton video klip ni..

Kisah hidupnya... dan website team Hoyt



"Ya Allah begitu besarnya pengorbanan dan kesanggupan seorang ayah terhadap anaknya yang tiada upaya. Begitulah juga pengorbanan ibubapa kita semasa membesarkan kita... Menurut dan memenuhi permintaan anak-anaknya.  Bagaimanakah pula pengorbanan anak terhadap kedua ibubapanya yang sudah tak berupaya nanti ya..?  Semoga Allah sentiasa memelihara hati dan kasih sayang kita yang tidak berbelah bagi buat kedua ibubapa dan anak-anak walau dalam keadaan apa jua pun. Kasih sayang buat semua mukminin dan mukminat yang utama sekali sifat cinta kepada KhaliqNya dan para pesuruhNya.


"Ya Allah, Kau berilah kekuatan dan sifat kesabaran pada hati-hati ini dengan sifat kasih sayang hingga ke akhir hayat kami".

Firman Allah:  "Dan taatlah kepada Allah dan RasulNya dan janganlah bertengkar sesamamu, nanti kamu menjadi lemah dan hilang kekuatanmu.  Dan tabahlah sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang tabah." Al-Anfal: 46.


"Tidak akan masuk syurga sehinggalah kamu beriman, dan tidak beriman sehinggalah kamu saling berkasih sayang, mahukah aku tunjukkan kepada kamu suatu perkara  yang apabila di lakukannya, kamu akan saling berkasih sayang.  SEBARKANLAH   SALAM   DI KALANGAN   KAMU."

~(HADIS RIWAYAT  MUSLIM)~

Friday, November 12, 2010

DO'A AISYAH RADIALLAHU ANHA MEMOHON KEBAIKAN DAN PERLINDUNGAN DARI SEGALA KEJAHATAN KEPADA ALLAH S.W.T

Masjid Wilayah ~ Flickr MyPhoto


DO'A AISYAH r.a.

"Ya ALLAH, aku memohon kepadaMU segala kebaikan yang segera mahupun yang datang kemudian yang aku ketahui dan yang tidak aku ketahui.  Dan aku berlindung kepadaMU dari segala kejahatan yang segera dan yang datang kemudian, yang aku ketahui dan yang aku tidak ketahui.  Aku memohon syurga kepadaMU serta apa sahaja yang mendekatkan kepadaNYA yang berupa ucapan atau perbuatan.  Aku berlindung kepadaMU dari neraka serta apa sahaja yang mendekatkan kepadaNYA sama ada yang berupa ucapan atau perbuatan.  Aku memohon kepadaMU apa sahaja dari kebaikan yang di minta oleh hamba dan utusan MU Muhammad s.a.w. kepadaMU.  Aku berlindung kepadaMU dari apa sahaja kejahatan yang telah dimintakan perlindungan dariNYA oleh hamba dan utusanMU Muhammad s.a.w.  Aku memohon kepadaMU agar apa sahaja yang telah KAU tetapkan keatasku selalu berakibat baik untukku, dengan RahmatMU wahai ZAT YANG MAHA PENGASIH DI ANTARA PARA PENGASIH."   - Ibnu Majah dan Al-Hakim 

Thursday, November 11, 2010

Sehari di Kedutaan Indonesia, Kuala Lumpur.

Catatan tertunda.. 

Di Kedutaan Indonesia, Kuala Lumpur pada 13hb. Oktober 2010 (hari Rabu) - Saya, suami dan Suwarsih tiba 9.15 a.m.


Memperbaharui pasport pembantu kanan saya.. :) yang tamat tempoh Oktober, 2011... tapi di sebabkan perbaharui permit mengikut tempoh berkhidmat bermula bulan Disember... renew di buat awal untuk memastikan pasport sah dalam tempoh itu.


Seawal pagi orang dah beratur.. kami tiba lebih kurang selepas pukul sembilan pagi.. Pengunjung dah bersesak..  begitu ramainya orang termasuk majikan memasing.. Berbaris di pintu masuk ruangan mengambil borang dokumen.

25 kaunter menguruskan pelbagai dokumen untuk rakyat Indonesia yang bertugas atau pelajar yang menuntut di Malaysia. Waktu pagi kerusi penuh diduduki.. ini gambar selepas waktu rehat waktu petang.  Setiap hari Kedutaan menguruskan ratusan dalam pelbagai urusan dokumentasi warganya di sini dan merupakan wakil kedutaan yang menerima paling ramai pengunjung.

Waktu rehat.. 1.00 p.m - 2.00 p.m.. selepas waktu makan dan solat, saya dan Suwarsih berehat-rehat di lobi pejabat kedutaan.

 Assistant ku yang cekap berkerja dan amat pemalu..

Sudah rindu kampung halaman... tapi tak terasa sangat bagi dirinya kerana suami, anak dan ibubapa juga saudara mara tinggal berdekatan.

Waktu petang masih ramai lagi sedang menanti proses dokumen disiapkan.. Memasing menanti dengan penuh sabar. Selepas pengesahan majikan... my assistant suruh kami balik dulu.. sebab kesian kat kami yang menunggu lama.. tapi my husband kata tak pe.. setia menunggu. Ya lah bukan dekat dari Kuala Lumpur ke tempat tinggal kami.. lagi-lagi waktu petang jalan dah mula sesak kerana pekerja mula bergerak pulang.

Suwarsih seorang yang bijak dalam pelajaran.  Anaknya yang berusia 5 tahun telah lancar membaca Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.  Menamakan anak tunggalnya sempena mengambil nama anak sulungku Nabilah 'Izzati.

Perkarangan kedutaan... masih ada pengubah suaian sedang di jalankan di sebelah kiri bangunan..

Manis sekali kan wajahnya.. :)
Lebih kurang jam 5.50 p.m. dokumen telah siap... lega.. lama nunggu ne seyh. mengantuk dia dibuatnya.. kesian dia..


Pasport lama telah di batalkan.. sudah ada pengganti yang baru..

Pemandangan indah Kota Metropolitan Kuala Lumpur di waktu petang.

 
Matahari hampir menenggelamkan diri baru kami tiba di rumah.

Tuesday, November 9, 2010

IMPIAN NUUR CANOPY (3) ~ PENGENALAN~

Hiasan bunga ini ada peminatnya... 
sampai ke Kedah dia merantau

Salam sejahtera.

Beberapa hari yang lalu ada seseorang telah menelefon saya bertanyakan website atau blog mengenai khidmat sewaan canopy yang di kendali oleh suami saya. 

Sebenarnya dah lama pertanyaan ini di kemukakan oleh pelanggan. Ada di antara mereka mengetahui khidmat kami ni pun melalui search di website dan terjumpa "Nuur Canopy" di situ tanpa di sertakan gambar.. Sebenarnya saya pun tak mengetahui wujudnya nama syarikat kami di website tersebut sehinggalah mendapat tahu mengenainya melalui beberapa orang pemanggil beberapa tahun yang lalu.. Terima kasih kepada syarikat pengiklanan tersebut yang sudi menampilkan maklumat syarikat kecil kami ni.

Sedang mengubah bunga di Shah Alam - belum siap sepenuhnya... (07.07.07)

Selain mereka mendapat maklumat ini di website,  ramai di antara pelanggan kami adalah hasil recommendation dari saudara mara, jiran tetangga dan sahabat pelanggan-pelanggan setia kami.


Sebelum ini kami di kenali sebagai Nuur Canopy.. tetapi bila nak daftar perniagaan dah ada syarikat lain menggunakan nama tersebut jadi permohonan untuk menggunakan nama tersebut tidak di luluskan jadi kami menambah "Impian" di depan nama Nuur Canopy itu.. sehinggalah kini trademark kami "IMPIAN NUUR CANOPY".


Oleh kerana blog suka-suka saya ni berkisar mengenai diari yang jarang sekali di update, koleksi campur-campur juga cerita memori baru dan silam yang tak seberapanya.. ada juga sedikit terselit catatan mengenai khidmat kecil-kecilan kami ini.




Untuk membuka satu lagi blog website khusus untuk khidmat ni rasanya tak kot.. sebab kami menjalankan khidmat kecil-kecilan saja sekitar kawasan kami di Meru, Kapar, Klang, Shah Alam, Subang Jaya dan kawasan yang berhampiran saja.. Setakat ni paling jauh yang kami pernah pergi adalah Kuala Lumpur, Kuala Kubu Baru, Ulu Langat, Puchong, Banting, Sepang, PutraJaya, Sabak Bernam dan Rembau, Negeri Sembilan..
Cukuplah low profile kami menumpang di ruangan ini. Lagipun saya tak kerap mana pun update ruangan ini. 

 Selesai majlis, kain bertimbun perlu di bereskan..


Jadi bagi sesiapa yang ingin melihat gambar-gambar mengenai canopy bolehlah klik gambar canopy di ruang kanan ni atau label Impian Nuur Canopy di bawah.  Hari ini atas permintaan, saya tambah title profile di atas untuk  memudahkan search di website.

Terima kasih atas mereka yang berkenaan atas kesudian bertanyakan mengenai blog ini. Semoga Allah s.w.t. melimpahkan Rahmat dan keberkatan keatas hamba-hambaNya yang sentiasa berdo'a kehadratNYA. Amiin. 

Sunday, November 7, 2010

IMPIAN NUUR CANOPY (2) - Majlis walimah

Minggu yang agak sibuk sedikit... selesai juga akhirnya menyiapkan jahitan scallop langsir warna biru/baby pink atas permintaan pelanggan..

Tema- pink lembut/biru, kuning jagung untuk tiang dalam. (7/11/2010)


Semalam dan hari ini majlis walimahtul urus yang di langsungkan oleh pelanggan-pelanggan  kami telah selesai dan Alhamdulillah segala urusan telah berjalan dengan baik.  Walaupun hari ini cuaca redup, hujan turun renyai-renyai membasahi bumi telah menyamankan suasana dan selesa sekali tanpa memerlukan kipas air (mist fan)... Tentunya tuan rumah yang menerima ramai kedatangan tetamu undangan ini berasa lega.. 

Saya dan suami pun boleh menarik nafas lega juga.  Al-maklumlah selagi majlis tak selesai.. perasaan kami pun berdebar-debar juga seperti tuan rumah yang mengharapkan majlis mereka terlaksana dengan sempurna..

Posisi mengambil gambar yang agak kurang menarik dari dalam kenderaan bergerak kerana cuaca hujan ketika ini, tambahan pula saya yang amat pemalu untuk snap-snap gambar ni.. terutama di khalayak.. (majlis November 7, 2010)


Tahniah buat pasangan pengantin baru dan juga keluarga pengantin.. Semoga Allah menurunkan rahmatNya dengan keberkatan jodoh, melahirkan zuriat yang soleh/solehah dan kehidupan yang mewangi berkekalan hingga ke Akhirat kelak. 

Terima kasih yang tidak terhingga atas ucapan syukur dari tuan rumah.. dan kesudian mereka menggunakan khidmat "IMPIAN NUUR CANOPY" kami.. Alhamdulillah syukur kehadrat Illahi.. Sesungguhnya rezeki itu datangnya dari Allah Azzawajalla.. Semoga Allah sentiasa memelihara kesihatan kami dalam kesejahteraan dan dapat menjalani tugas dengan baik.. 

Di bawah ni pula lampiran foto-foto koleksi majlis yang telah berlalu... 


Gubahan bunga yang tidak seberapanya dari tangan yang kurang pakar tanpa latihan khusus.. Seadanya saja.. (majlis Mei, 2010)

Foto koleksi lama (Julai 21, 2007)

 Majlis bersejarah sepupuku (pengantin lelaki) Azidi Ameran dan Shalin Zulkifli
Januari 1, 2009



Anak-anakku dan sepupu sepapatnya meraikan majlis 

Jiranku - Majlis 27/06 dan 28/06/2009




Reka hiasan atas meja makan utama dan bunga-bungaan ilham dari pihak pengantin lelaki dan wedding planner














 klik



Maksud WALIMAH di wikipedia  dan
di sini....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails