Pages


Sunday, August 28, 2011

~Memori lalu~ Tempoh puasa paling panjang dalam hidupku

~Memori Ramadan 3~




28 Ramadan, 1432H (28/08/2011)


Ramadan telah hampir melabuhkan tirainya.. terasa sedih dan sayu untuk meninggalkannya.. Semoga kita akan di pertemukan oleh Allah S.W.T Ramadan akan datang dengan menanam keazaman agar dapat lagi di perbaiki amalan-amalan yang masih tidak sempurna di tahun ini dan di kurniakan kesihatan yang baik.  Walaupun begitu kita bermohon pada Allah agar di terima amalan kita tahun ini dan di ampunkan segala dosa samada sengaja atau tidak di sengajakan dosa masa lalu dan terkini.. semoga amalan baik di bulan  puasa seperti bangun awal pagi dan menunaikan solat Suboh di awal waktu, melakukan solat-solat sunat, mengaji al-Quran dengan memahami maksudnya, bersedekah, juga saling bantu membantu sesama manusia ini dapat di teruskan pada hari-hari seterusnya.. Walaupun sedikit tapi buatlah dengan istiqamah.. Insha'Allah semoga di rahmati Allah.

Banyak kenangan lalu di bulan Ramadan buat diriku ini.. antaranya pengalaman berpuasa di perantauan pada tahun 1986 dan tahun 1987 masih tersemat dalam ingatan.. Diriku di bawa bersama oleh ibu saudara ke Amerika Syarikat untuk menjaga kedua-dua anaknya yang masih bersekolah rendah dan ibu saudara melanjutkan pengajian Phd-nya di Ohio State Universiti,  Columbus, Ohio, Amerika Syarikat.  Terima kasih Auntie kerana sudi membawaku bersama menimba pengalaman manis di sana.. Jika di ikut diriku memang tak mampu untuk kesana apatah lagi untuk menyambung pengajian memang tak la.. kerana keputusan akademikku yang sememangnya tidak cemerlang.  

Apa-apa pun ku bersyukur ke hadrat Illahi kerana di beri peluang yang sungguh manis ini menjejak kaki di bumi Allah yang indah dan permai dengan merasa perubahan empat musim yang tak pernah ku kecapi sebelum itu..  Betapa seronoknya dapat menikmati keindahan alam ciptaan Allah ini  yang sungguh hebat dan juga pengalaman yang sering tergambar dalam ingatan walaupun telah lama berlalu tapi masih segar dalam ingatan.

 Artikel yang di tulis oleh wartawan The Ohio State Lantern (The Ohio State University, Columbus, Ohio)
pengalaman rakyat asing berpuasa di musim bunga menjelang musim panas di benua Amerika pada bulan Mei, 1986.. Interview yang di buat antara ibu saudaraku 'graduate student' dengan wartawan James Kuake yang sama-sama menikmati juadah berbuka puasa yang ku sediakan bersama ibu saudara.  Dah tak berapa ingat apa yang ku masak? Ayam masak kicap dan sup kot.. ishhh dah lama sangat laaa 25 tahun lalu.  Masa tu ku berusia 20 tahun 5 bulan...!!!


Tempoh waktu puasa  yang agak panjang di bulan Mei Musim bunga adalah pengalaman 2 kali dalam hidupku iaitu tahun 1986 dan 1987.. Waktu Subuh lebih kurang jam 4 pagi lebih dan waktu Maghrib jam 9 petang lebih.. ini bermakna tempoh puasa lebih kurang 17 jam.. berbanding kita di Malaysia hanya lebih kurang 13 jam.. Walaupun begitu ianya tidak terasa sangat kerana cuaca pun tidak begitu panas di musim bunga.. Inilah pengalaman berharga dalam hidupku.. Menjalani ibadah puasa di negara bukan Islam ni pun tiada masalah jika kita berpegang teguh dengan agama suci Islam.. kerana ramai juga masyarakat Islam yang menetap di sana.  Masjid pun tidak jauh dari tempat tinggal.. Masyarakat Islam di sana sentiasa bekerjasama dan saling bantu  membantu antara satu sama lain.. Kerap juga mereka mengadakan perjumpaan dan rehlah.

 

Pengalaman menyeronokkan bila menjelang solat Aidil Fitri, ianya di adakan di taman bunga.. Ada dewan kecil di situ tak dapat memuatkan jemaah yang ramai dalam dewan jadi jemaah ada yang solat di taman .. waaaa masih terbayang lagi warna warni juga haruman bau-bauan bunga ros.. nama pun Park of Roses memang di hiasi dengan pelbagai jenis warna bunga dan saiz besar dan kecil.. memang sungguh mengasyikkan.  Selain warga Amerika ianya menghimpunkan pelbagai bangsa dari seluruh dunia meraikan suasana Aidil Fitri  di taman tersebut.. Meriah memang meriah sambil beramah mesra ada hidangan ke tidak dah lupa pulak... huhuhu!!! Seingatku pot luck sempena hari raya rakyat Malaysia dengan keluarga Arab dan Afrika ada juga buat di taman lain.. Bilalah ku dapat menikmati suasana sebegitu lagi.. Sesuatu pengalaman yang indah dan masih harum mewangi..






Saturday, August 27, 2011

Thursday, August 25, 2011

Setahun lalu menggamit memori ~ Memori Ramadan bersama Arwah Abah tercinta ~


~Memori Ramadan 2~


Bulan Ogos hampir melabuhkan diri, terimbau kembali kenanganku bersama  Arwah Abah tercinta ketika mendapatkan rawatan lanjutan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, ke Hospital Kuala Lumpur...setahun yang lalu bersama surat doktor dan segala rekod juga keputusan CT Scan sebagai rujukan. 

5hb. Ogos, 2010,... Awal pagi bertolak ke K.L..  jam 9.20 pagi tiba di hospital.. Suamiku menghantar ke klinik pakar Jabatan Radioterapi dan Onkologi (atas bantuan En. Aiyri  kakitangan HKL menunjuk arah) first time appointment di HKL tak berapa tau lagi selok belok. (terkonfius ejaan sel'o'k bel'o'k sekarang ejaan yang betul u atau o ya!! tak kisahlah janji ada sebutan - tapi bagi pelajar sekolah sila rujuk pada guru ya!! - mak cik dah lama tinggalkan bangku sekolah ni!!)

Setelah mendaftar buat pertama kalinya di HKL.. tiba giliran berjumpa doktor.. Dr. Chan doktor pakar yang merawat  Abah.. check tekanan darah, ujian darah.. dan doktor meneliti segala rekod yang di kirim bersama dari doktor HTAR. Doktor memberi panduan padaku arahan untuk menjaga Abah sepanjang treatment pemakanan ubat kemo ini di rumah.. pada mulanya ku ingat ianya dilakukan di hospital.. cucuk itu ini bagai.. tapi rupanya hanya telan pil je.. owh okayla kan. Tapi fungsinya sama.. akan berlaku pelbagai kesan seperti rambut gugur, kurang selera makan, badan jadi lemah tak bermaya atau mungkin selepas makan ubat ini akan muntah.. (macam seksa je bunyinya tapi kita kena ikhtiar untuk badan boleh bertahan dan sesungguhnya Allah yang menyembuhkan segala penyakit dengan izinnya).


Berbekalkan ubat-ubatan berdozen-dozen dari farmasi.. ada lagi tiada dalam gambar..wow banyaknya!!  Ubat pink tu adalah ubat kemo yang doktor kata dosnya rendah bagi Arwah Abah kerana faktor usia dan fizikal Abah.. Selesai segala urusan kami balik ke rumah..

Pada hari Jumaat, 6hb. Ogos, 2010, Hari pertama memulakan makan ubat tersebut..
sejam kemudian berlaku tindak balas.. Badan Abah tiba-tiba menggigil.. ku pegang suhu badan Abah naik mendadak.. Abah langsung tak boleh nak menggerakkan badannya.. Selera makan langsung hilang.. Hati mulai risau.. macamana ni.? apa nak buat..? Ku segera hubungi HKL jabatan berkenaan.. Seorang staff menjawab panggilanku.. ku beritahu komplikasi yang sedang di alami oleh  Abah.. Pegawai perubatan tersebut memberi nasihat agar ku berhentikan sementara pengambilan ubat tersebut dan segera bawa Abah ke klinik terdekat. Ia mengarahkanku agar bawa Abah ke hospital pada hari Isnin berikutnya.


Selepas tu kubawa Abah ke klinik berdekatan bersama suami.. Abah demam!!  Beri Abah ubat paracetamol.   Kami jaga Abah dengan penuh kasih sayang.. Kakak yang banyak beri perhatian tentang pemakanan.. Emak ada di sisi jika Abah memerlukan dan ku yang tinggal berhampiran menjenguk Abah setiap waktu untuk membersihkan dan buat apa yang perlu ... Jadual pemakanan ubat adalah duti yang wajibku lakukan.


Badan Abah lemah dan seleranya hampir tiada.. badan semakin menyusut!! Apa yang dapat ku lakukan hanya  berdo'a agar Abah segera pulih dan kembali cergas. (Ku teringat sebelum bawa Abah ke hospital untuk appointment pertama di HKL Abah bersemangat selepas mimpi arwah Neneknya datang dan urut badan Abah.  Abah boleh berjalan ke kedai gunting rambut di hadapan rumah setelah sekian lama terbaring di katil.. Abah nampak bertenaga ketika itu..)


9hb. Ogos, 2010, bawa Abah ke hospital berjumpa doktor.. Doktor beritau mengikut pengalaman biasanya ubat tersebut bertindak balas agak perlahan.. kemungkinan komplikasi yang Abah dapat ketika itu bukan berpunca dari ubat kemo tersebut.. Doktor mengambil sample darah untuk kajian.. Doktor nasihatkan Abah berehat dan menunggu keputusan darah tersebut samada sesuai atau tidak untuk  sambung semula pemakanan ubat tersebut.. Alhamdulillah balik ke rumah dapatlah sambut puasa di rumah.  Mula berpuasa pada 11hb. Ogos, 2010. (1 Ramadan 1431H)


  

Kembali mendapatkan rawatan ke HKL pada hari Isnin 16hb. Ogos, 2010 (Abang Azhar hantar) untuk mengetahui keputusan ujian darah.. Doktor kata ada jangkitan kuman dalam darah.. dan Abah di tahan dalam wad Radioterapi dan Onkologi untuk pemeriksaan lanjut.  Ku menemankan Abah (dengan izin suami)..... tanpa membawa sebarang persalinan... huhuhu!!  Pengalaman ku berpuasa di hospital dan mengajarku erti kehidupan...   Bulan puasa susah bagi suamiku untuk ke KL ni dengan anak-anak bersekolah dan sudah tentunya untuk menempuh kesesakan jalan raya kota metropolitan.. jadinya apa yang ku pakai je laa sehelai sepinggang... bagi Abah tentunya memakai pakaian hospital..  tak pe lahh berkorban apa sahaja.. badanku berbau wangi tak salin pun tak pe.. ya la tu... errrr!!! Berapa hari pulak ni nanti di hospital?? Tak kan langsung tak salin.. huh!  Nasib baik abangku yang tinggal di Cheras.. baik hati.. sanggup balik ke rumahku di Kelang untuk mengambil sehelai dua persalinanku.. tapi ada juga barang keperluan yang anakku tertinggal untuk di kirimkan.

 
Pemandangan dari hospital... KLCC - macam dekat je kan!!

Hari pertama menjalani ibadah puasa di hospital...  Mencari makanan untuk berbuka di cafetaria hospital.. tanyakan pekerja di situ waktu sahur cafeteria di buka atau tidak.. jawapannya tidak!!  Macamana nak bersahur? Nampaknya kena sediakan awal untuk makanan bersahur.. beli kurma dan air mineral di hospital shoppe, roti paling mudah, air panas boleh buat di wad nampak ada milo dan susu di sediakan.. Waktu berbuka tiba. Penjaga pesakit kebanyakan berbuka di wad juga.. Nampak berselera je!!


Untuk menjalani ibadah tak menjadi masalah .. bilik solat dan kitab-kitab ada di kawasan wad. Alhamdulillah.  

Berada di wad sekurang-kurang doktor dan misi mengawasi perkembangan pesakit.. jadi tahu tahap kesihatan yang betul !!!  Wad ni di huni oleh pesakit pelbagai jenis kanser.. simpati dan sedih juga.. kebanyakan mereka sering muntah dan kurang selera makan.. masing-masing kelihatan lemah.. Alhamdulillah Abah jarang mengalami muntah-muntah sepanjang sakit.. Abah dapat berehat dengan tenang dan ada selera makan di hospital..


Menjelang malam.. tak de apa yang ku lakukan selepas solat isya' dan tarawih, berehat di sebelah Abah.. tak banyak sembang.. sesekali cuba melelapkan mata tapi.. awal sangat.. kebiasaan di rumah tidur jam 12.00 malam. Dapatlah tidur-tidur ayam.. Abah kejutkan jam 2.00 pagi untukku bersahur.. Abah ingat dah jam 5.00 pagi..  ku sambung tidur ayam.. biasalah kan di hospital mana boleh lena sangat!!   jam 5.00 bangun dan sahur.. Ambilkan Abah wudu' dan ku ke bilik solat, Solat Subuh, dan mengaji sehingga nampak cahaya terang di luar.. 


Abah di rawat seperti biasa, ambil tekanan darah dan di beri ubat.. Pakar pemakanan datang dan beri pengetahuan mengenai makanan berkhasiat untuk pesakit kanser.. Seperti Abah bubur dengan hidangan sayur-sayuran dan sedikit protin.. buah-buahan atau puding.  Apa saja yang Abah suka makan boleh di beri..

Abang Azhar ada beritahu Chow Kit tak jauh dari hospital.. jadi ku minta izin dari Abah untuk mencari barang keperluan.. lebih kurang jam 4.00 petang..ku redah je jalan yang ku sendiri tak tahu ikut je jalan utama luar kawasan hospital... berjalan kaki lebih kurang dalam tempoh 10 minit  ku dah sampai di Jalan Chow Kit.. lorrr dekat rupanya. Ku singgah di pasaraya UO membeli barang keperluan sebagai musafir hospital di bulan Ramadan.  Dalam perjalanan balik ke hospital singgah di bazar berhampiran hospital beli makanan untuk berbuka dan bersahur.. Nasi dan lauk ku asing untuk sahur..  Pagi tu sahurlah dengan nasi sejuk.. dan lauk sejuk!!! 


  
 Berjalan-jalan di Jalan Chow Kit..

Hari kedua atau ketiga (tak berapa ingat sebab tak catit) Abah terima darah sebanyak 1 pain.. Kemudian di bawa ke bilik x-ray.. makan ubat.. Ku temankan Abah untuk ke bilik air.. Tengahari abang Azhar datang ziarah Abah..


Waktu terluang berjalan sekitar kawasan hospital bersama 2 kawan baru yang sama-sama jaga anak atau suami.. melihat gerai-gerai  pin-pin baju, jual kuih dan pakaian..  Adalah capai satu dua.. dah depan mata nampak yang berkenan beli juga lahh!! Kemudian ke bazar makanan cari makanan untuk berbuka dan sahur.   Balik dari bazar nampak Emak datang ziarah Abah dengan adik ipar.. Seronok rasa hati Emak dapat datang.. Emak nak jaga Abah tapi ku tak benarkan.. biarlah Emak berehat di rumah lebih selesa.. 

Seperti hari sebelumnya tiada makanan panas untuk sahur... huhuhu!!! Redha dengan apa yang ada.


Tak berapa ingat berapa hari di hospital tapi rasanya dalam 4 hari.. doktor benarkan pulang.. tak perlu teruskan ubat kemo hanya teruskan dengan vitamin dan ubat tahan sakit sahaja.. Abang Azhar datang ambil.. dan kami pun pulang... Lega dapat balik.. Abah pun nampak sedikit cergas dan boleh berjalan.. Alhamdulillah.

Perjalanan pulang bawa Abah melihat panorama di Kuala Lumpur dan mengelilingi Tasik Perdana .. hanya melihat dari dalam kenderaan je!!! 

Inilah pengalaman yang tak dapat ku lupakan.. Ramadan terakhir bersama Abah..  Tinggal kenangan yang tersemat di jiwa.. Abah kami amat menyayangi Abah semoga Abah damai di sana dan segala kesakitan yang Abah alami dulu menebus segala kesalahan di dunia.  Sesungguhnya seseorang yang redha dengan kesakitan yang menimpanya merupakan peningkatan darjat keimanan seorang mukmin. Allah amat penyayang dan mengasihani hamba-hamba-Nya. AL-FATIHAH!!!

(Temujanji terakhir Abah di HKL 23hb. September, 2010 dan doktor memberi surat untuk rujukan doktor di HTAR, Klang.. dalam surat tersebut baru ku tahu Abah berada di stage 4, selepas itu tiada lagi ke hospital dan hanya rujuk pada doktor - Dr. Hj. Abd. Rani dan Suchipto rakan suami, yang datang ke rumah sewaktu Abah sedang tenat pada 30/11/2010.. dan Arwah Abah hanya ingin tinggal di rumah di saat akhirnya dan doktor  izinkan tidak perlu bawa ke hospital dan rawat dengan do'a dan ubat hingga Abah menghembuskan nafas teakhir di sampingku dan anakku Syima jam 9.55 pagi pada 25hb. Disember, 2010.  Emak sedang bersedia untuk mengambil wudu' waktu tu untuk membacakan Yaasin di sisi Arwah Abah..anak-anakku sedang mengaji di luar bilik.  Kakak menghubungi anaknya di Matrik Melaka dan adik beradik yang lain di hubungi.. )  Dengan iringan do'a semoga Allah mencucuri Rahmat keatas rohmu Abah..semoga Allah menghimpun Arwah Abah di samping para solihin.. AL-FATIHAH..




Friday, August 19, 2011

MALAM KEMULIAAN/ KEBESARAN ALLAH - LAILATUL QADR

Salam Juma'at.. semoga di rahmati Allah para muslimin dan muslimat di hari dan bulan yang mulia ini.. bulan rahmat dan penuh dengan keberkatan.. dah 19 hari umat Islam menjalani ibadah puasa..  Alhamdulillah.  Semoga segalanya di permudahkan Allah dalam melaksanakan kewajipan salah satu dari rukun Islam ini..

Kita kini berada di kemuncak Ramadan  menanti dan berdo'a dengan penuh harap pada Allah S.W.T.  agar di pertemukan Lailatul Qadr di antara hari 10 terakhir ini.. hadiah kurniaan paling besar dari Allah S.W.T. bagi hamba-Nya yang patuh dan sentiasa ingat mengabdikan diri pada Pencipta Yang Maha Berkuasa Allah penguasa Alam.


Malam penuh keberkatan dan nilainya lebih baik dari seribu bulan yakni 83 tahun 4 bulan... tidak semua orang dapat mencapai usia ini kan.. lebih-lebih lagi usia yang di manafaatkan dalam berbuat amal ibadah.. Allah lebih mengetahui keupayaan hamba-Nya sebab itu di kurniakan setahun sekali anugerah yang berlipat kali ganda dari bulan-bulan lain agar hamba-Nya merebut peluang keemasan ini untuk bekalan di akhirat kelak. 

Hadith yang di riwayatkan oleh Anas r.a. dari Rasulullah S.A.W bersabda:

"Lailatul Qadr telah di kurniakan ke atas ummatku dan tidak kepada lain-lain ummat".

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:  "Barangsiapa berdiri (dengan solat dan ibadah) pada malam Lailatul Qadr dengan iman dan ihtisab (yakni dengan keyakinan yang sempurna dan harapan yang ikhlas untuk memperolehi ganjarannya) maka dosa-dosanya yang lepas akan diampunkan."
Maksud berdiri disini - solat atau pun ibadat lainnya seperti 
zikir, membaca al-Qur'an dan sebagainya.


"Ihtisab" - bermaksud niat dengan ikhlas dalam melakukan ibadah.  Dosa-dosa besar hanya terampun dengan taubat yang bersungguh-sungguh  ikhlas kepada Allah dengan bersumpah tidak akan mengulangi lagi dosa-dosa tersebut.


Rasulullah S.A.W. sentiasa memikirkan keadaan ummat-ummatnya.. oleh itu Rasulullah S.A.W. pernah memikirkan tentang umur ummat terdahulu berumur panjang di bandingkan dengan ummatnya. Baginda berdukacita jika  umatnya ingin berlumba melakukan amal soleh dengan umat terdahulu  mustahil untuk bersaing atau mengatasinya lantaran umur yang pendek.  Maka dengan rahmat Allah Taala,  dikurniakanlah malam yang di penuhi dengan keberkatan ini khas buat ummat nabi Muhammad S.A.W.  


Riwayat dari Ibn Abbas r.a. beliau telah mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda mafhumnya:

"Sesungguhnya syurga itu di ukup-ukup dan di perhias tiap tahun ketika masuk bulan Ramadan, maka apabila pada malam pertama Ramadan datang angin dari bawah Arsy yang bernama Almutsirah, maka menggoyangkan daun-daun syurga dan menggerakkan daun pintu sehingga terdengar suara bidadari dari jendela-jendela bahagian atas syurga dan berseru.. "Siapakah yang meminang kepada Allah untuk di kahwinkan seorang dari kami," kemudian bidadari-bidadari itu bertanya kepada Malaikat Ridhwan.. "Ya Ridhwan, malam apakah ini? 
Malaikat Ridhwan jawab, " Wahai wanita-wantia cantik, ini malam pertama dari bulan Ramadan.  Kemudian Allah berfirman: "Ya Ridhwan bukalah pintu-pintu syurga untuk orang-orang yang puasa dari Ummat Muhammad S.A.W dan menyuruh Malaikat Malik: "Ya Malik, tutuplah pintu-pintu neraka jahim dari orang-orang yang puasa dari Ummat Muhammad S.A.W. dan berfirman:  " Ya Jibril, turunlah ke bumi dan ikatlah syaitan-syaitan yang jahat dan rantai mereka, kemudian buanglah mereka dalam laut supaya tidak mengganggu puasa ummat Muhammad S.A.W.  

Dan pada tiap malam Ramadan... Allah berseru tiga kali:  "Siapakah yang minta akan Aku beri permintaannya, siapakah yang taubat dan Aku terima taubatnya,  siapakah yang minta ampun maka akan Aku ampunkan, kemudian diserukan.  Siapakah yang akan menabung pada yang kaya yang tidak pernah tidak punya, dan yang selalu menepati yang tidak zalim, dan pada tiap hari bulan Ramadan Allah memerdekakan sejuta ahli neraka yang semuanya layak diseksa, dan bila pada hari atau malam Juma'at pada tiap jam di merdekakan sejuta orang dari api neraka, dan bila akhir hari Ramadan Allah memerdekakan pada hari itu sebanyak orang yang dimerdekakan dari pertama hingga akhir Ramadan.

Dan pada malam Lailatul Qadr Allah menyuruh Malaikat Jibril dengan rombongan malaikat turun ke bumi dengan membawa panji hijau yang diletakkan di atas Ka'bah, dan ia mempunyai enam ratus sayap, di antaranya dua sayap yang tidak di hampar kecuali pada malam Lailatul Qadr, maka di hampar sehingga meliputi ujung timur hingga ujung barat.  

Lalu Malaikat Jibril mengutus Malaikat pergi kepada ummat Muhammad S.A.W. memberi salam pada tiap orang yang sedang berdiri atau duduk, solat atau berzikir dan menjabat tangan mereka serta mengaminkan do'a mereka sehingga terbit fajar.  Apabila telah terbit fajar maka Jibril berseru:  " Hai para Malaikat segera kembali..kembali.. lalu Malaikat bertanya:  "Bagaimana mengenai hajat kaum Mu'minin dari ummat Muhammad S.A.W.?  Jawab Jibril:  "Allah melihat mereka dengan pandangan rahmat lalu mema'afkan mereka, kecuali empat macam.  1.  Pemabuk (peminum khamar).  2.  Penderhaka terhadap ayah dan ibunya.   3.  Memutuskan hubungan keluarga.  4.  Orang yang memboikot, tidak bertegur sapa dengan saudaranya lebih dari tiga hari.. 

Dan apabila tiba malam 'idul fitri itu bernama malam pembahagian hadiah, maka pada pagi harinya di utus Malaikat berdiri di penempatan jalan sambil berseru dengan suara yang lantang dapat di dengar oleh segala sesuatu kecuali jin dan manusia:  "Hai ummat Muhammad keluarlah kamu kepada Tuhan yang pemurah, memberi yang besar dan mengampunkan dosa-dosa besar, maka bila mereka telah keluar ke musolah, Allah berfirman kepada Malaikat:  "Hai Malaikat-Ku, apakah ganjaran bagi orang yang telah menyempurnakan pekerjaannya dengan baik?"  Jawab Malaikat:  "Wahai Allah, sepatutnya ganjaran yang sepenuhnya diberikan kepadanya."  Maka firman Allah:  " Wahai malaikat-malaikatKu, sesungguhnya hamba-hambaKu ini, lelaki dan wanita telah menyempurnakan kewajipan yang telah di fardukan keatas mereka, kemudian mereka pun keluar menuju ketanah tempat solat aidil fitri meninggikan suara do'a mereka kepada-Ku .  Daku bersumpah demi kemuliaanKu, kemegahanKu, kehormatanKu, ketinggianKu dan tempatKu yang tertinggi, pasti akan Daku makbulkan do'a-do'a orang-orang ini.  Kemudian Allah berfirman kepada manusia; "Kembalilah kamu sekalian, Daku telah ampunkan dosa-dosa kamu dan menggantikan perbuatan-perbuatan maksiatmu dengan kebaikan (hasanat).  Orang-orang ini pun kembali dengan pengampunan terhadap dosa-dosa mereka."


Aisyah r.a. meriwayatkan:  "Daku berkata:  "Wahai Rasulullah S.A.W. sekiranya daku bertemu dengan Lailatul Qadr, apakah do'a yang perlu ku baca?  Rasulullah S.A.W. bersabda: "Katakanlah.. "Ya Allah!  Sesungguhnya Engkaulah yang mengurniakan keampunan terhadap dosa-dosaku.. Dikau suka mengampun, maka ampunilah daku."

Tanda-tanda Lailatul Qadr... Udara malam itu terang sedang tidak panas dan tidak dingin, matahari terbit pada paginya tidak tajam cahayanya, siapa yang bangun pada malam Lailatul Qadr terdorong oleh iman dan benar-benar mengharap dari pahala Allah, maka Allah akan mengampunkan semua dosa yang terjadi sebelumnya.


Sesungguhnya pada malam yang penuh barakah ini terjalin di dalamnya kesejahteraan, sepanjang waktunya para malaikat memohon salawat (rahmat) terhadap orang-orang beriman yang taat memuji-muji Allah.  Selepas sekumpulan malaikat naik, maka sekumpulan malaikat lagi turun (dengan permohonan rahmat yang sama).  Pada malam tersebut terselamat daripada segala kemaksiatan dan  kecelakaan.  Rahmat dan keberkatan ini berpanjangan sepanjang malam sehinggalah munculnya Subuh dan tidaklah terhad pada bahagian-bahagian tertentu pada malam tersebut.




Tuesday, August 16, 2011

Sambungan dari N3 Ramadan Bulan Tarbiyyah

N3 sebelum ini mengenai Ramadan Bulan Tarbiyyah .. Khutbah Rasulullah mengenai kegembiraan Rasulullah S.A.W menyambut kedatangan Ramadan ini adalah sambungan khutbah yang di sampaikan oleh Rasulullah kepada para sahabatnya:

"Wahai manusia!  Sesiapa yang menjaga akhlaknya pada bulan ini (Ramadan) ia dapat melintasi titian Sirat al-Mustaqim pada hari akhirat nanti dengan mudah.  Sesiapa yang meringankan pekerjaan orang yang dimiliki tangan kanannya (pegawai atau pembantu) pada bulan ini, Allah akan meringankan pemeriksaan-Nya pada hari kiamat kelak.  Sesiapa bersabar pada bulan ini, Allah akan menahan murka-Nya pada hari pengadilan.  Sesiapa memuliakan anak yatim pada bulan ini, Allah akan memuliakannya pada hari kiamat."

"Sesiapa menyambungkan tali persaudaraan (silaturahim) pada bulan ini,   Allah akan menghubungkan dia dengan rahmat-Nya pada hari kiamat.  Sesiapa yang memutuskan hubungan kekeluargaan pada bulan ini, Allah akan memutuskan rahmat-Nya pada hari kiamat.  Sesiapa melakukan solat sunat pada bulan ini,  Allah akan membebaskannya daripada api neraka.  Sesiapa yang melakukan solat fardu pada bulan ini, baginya ganjaran seperti melakukan 70 solat fardu pada bulan yang lain.  Sesiapa memperbanyakkan salawat kepadaku (Nabi S.A.W) pada bulan ini, Allah akan memberatkan timbangannya pada hari ketika timbangan meringan.  Sesiapa yang membaca satu ayat al-Qur'an pada bulan ini, ganjarannya sama seperti mengkhatam al-Qur'an pada bulan lain."

"Wahai manusia!  Sesungguhnya semua pintu syurga dibuka bagimu, maka mohonlah kepada Allah agar ia tidak akan ditutup bagimu.  Semua pintu neraka ditutup, maka mohonlah kepada Allah agar ia tidak akan dibuka bagimu.  Semua syaitan di belenggu, maka mohonlah agar ia tidak lagi mengganggumu."

Saidina Ali bin Abi Talib bangun dan berkata:  "Ya Rasulullah!
Apakah amalan yang paling utama pada bulan ini?" 
Jawab Baginda Rasulullah S.A.W.:
"Ya Abal Hasan!  Amalan yang paling utama pada bulan ini adalah menjaga diri daripada perkara yang diharamkan oleh Allah."

Berdasarkan khutbah yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W. pada hari-hari terakhir Syaaban ini, tidak hairanlah kenapa Baginda amat gembira tatkala tibanya Ramadan.

Ramadan adalah bulan yang teristimewa dan mempunyai banyak kelebihannya.  Allah menurunkan al-Qur'an dalam bulan Ramadan..  Di dalamnya ada satu malam yang keutamaannya melebihi seribu bulan (Lailatul Qadr).

Pada bulan inilah umat Nabi Muhammad S.A.W. melaksanakan ibadah puasa selama sebulan.  Jika seseorang itu mengerjakan puasa dengan penuh keimanan dan teliti, Allah akan mengampunkan dosanya yang lalu.  Inilah kita harapkan keampunan dari Illahi atas dosa-dosa yang telah kita lakukan... kerana kita ini tidak lekang dari melakukan dosa terutama perbuatan, tuturkata dan pendengaran.. samada sengaja atau tidak disengajakan.


Segala amal kebajikan yang dilakukan dalam bulan ini akan dilipatgandakan ganjarannya oleh Allah.  Pada malamnya pula disunatkan solat Tarawih, Witir, Tasbih dan Tahajud.


Sama-samalah kita manafaatkan sebaiknya bulan Tarbiyyah ini yang tinggal beberapa hari lagi akan berakhirnya untuk tahun ini... kerana ia merupakan hadiah dari Allah S.W.T Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang yang kasih pada hamba-hambaNya.. Ya Allah, semoga di pertemukan lagi bagi kami RamadanMu..


Monday, August 15, 2011

Ramadan Bulan Tarbiyyah

15 Ramadan, 1432H - Ogos 15, 2011


Alhamdulillah dengan rahmat kasih sayang Allah S.W.T kita telah menjalani ibadah puasa dan kini berada di pertengahan bulan Ramadan yang mulia ini..


Rasulullah S.A.W.  adalah insan yang paling bahagia pabila tibanya bulan Ramadan ini.. Baginda S.A.W. menyambutnya dengan penuh kegembiraan dan berlapang dada lalu menyampaikan rasa gembiranya itu kepada para sahabatnya dengan berkhutbah, marilah sama-sama kita menghayatinya:


"Wahai manusia!  Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Allah (Ramadan) dengan membawa berkat, rahmat dan keampunannya.  Ia bulan yang paling mulia di sisi Allah.  Harinya adalah hari yang paling mulia.  Malamnya adalah malam yang paling mulia.  Setiap detik masanya adalah masa yang paling mulia.  Pada bulan ini setiap hembusan nafasmu adalah tasbih, tidurmu adalah ibadah, segala amalanmu diterima, dan do'amu dimakbulkan.  Bermohonlah kepada Allah Tuhanmu dengan niat yang ikhlas dan hati yang suci agar Allah membimbingmu untuk melakukan puasa dan membaca kitab-NYA (Al-Qur'an)


"Amatlah rugi sesiapa yang tidak mendapat keampunan Allah pada bulan yang agung ini.  Ketika berpuasa bayangkanlah saat lapar dan dahaga pada hari kiamat.  Bersedekahlah kepada fakir dan miskin.  Hormatilah orang tuamu, sayangilah yang muda dan eratkanlah hubungan persaudaraanmu..  Jagalah lidahmu, bataskan pandanganmu daripada melihat perkara yang tidak sepatutnya dilihat, dan kawallah telingamu daripada mendengar perkara-perkara yang tidak sepatutnya di dengar.  Berbuat baiklah kepada anak-anak yatim dan bertaubatlah kepada Allah di atas dosa yang telah kamu lakukan."


"Angkatlah tanganmu untuk berdo'a pada waktu solatmu kerana itulah saat yang paling utama ketika Allah memandang hamba-Nya dengan penuh kasih.  Dia (Allah) menjawab apabila hamba-Nya menyeru, menyambut apabila hamba-Nya memanggil dan memberi apabila hamba-Nya meminta."


"Wahai manusia!  Sesungguhnya dirimu tergadai kerana perbuatanmu.  Bebaskanlah diri dengan memohon keampunanan.  Dirimu berat kerana beban dosamu, maka ringankanlah dirimu dengan memanjangkan sujudmu.  Ketahuilah Allah bersumpah dengan segala kebesaran-Nya bahawa Dia tidak akan mengazab orang yang solat dan sujud, dan tidak akan mengancam mereka dengan neraka pada hari pengadilan." 


"Wahai manusia!  Sesiapa di antaramu memberi makanan berbuka puasa kepada seseorang mukmin yang berpuasa pada bulan ini (Ramadan), maka nilai pahalanya disisi Allah sama dengan membebaskan seorang hamba.  Di samping itu Allah akan mengampuni dosanya yang telah lalu."


Sahabat bertanya: "Ya Rasulullah!  Kami semua tidaklah mampu berbuat demikian."


Rasulullah S.A.W. meneruskan khutbahnya dengan berkata:  "Jagalah dirimu daripada api neraka walaupun hanya dengan sebiji kurma.  Jagalah dirimu daripada api neraka walaupun hanya dengan seteguk air."


Setiap perbuatan dan amalan baik kita sepanjang bulan puasa ini mudah-mudahan berterusan dan mendidik kita menjadi insan yang berdisiplin.

Thursday, August 4, 2011

Do'a Harian Bulan Ramadhan


Doa Harian Bulan Ramadhan

Ramadhan bulan Munajat dan bulan Doa, manfaatkan untuk meminta kepada Allah SWT selama sebulan, dari hari pertama hingga hari terakhir. Dan berikut adalah doa yang boleh anda baca setiap hari secara berurutan.

Diriwayatkan dari Ibnu Abbas ra dari Rasulullah Saw, bahawa dalam setiap hari selama Ramadhan, masing-masing hari mempunyai kekhususan dan keistimewaan, maka berdoalah setiap hari sebagaimana tersebut di bawah ini..


Doa Hari Pertama

اَللَّهُمَّ اجْعَلْ صِيَامِيْ فِيْهِ صِيَامَ الصَّائِمِيْنَ وَ قِيَامِيْ فِيْهِ قِيَامَ الْقَائِمِيْنَ وَ نَبِّهْنِيْ فِيْهِ عَنْ نَوْمَةِ الْغَافِلِيْنَ وَ هَبْ لِيْ جُرْمِيْ فِيْهِ يَا إِلَهَ الْعَالَمِيْنَ وَ اعْفُ عَنِّيْ يَا عَافِيًا عَنِ الْمُجْرِمِيْنَ

Ya Allah.. Jadikanlah puasaku sebagai puasa orang-orang yang benar-benar berpuasa. Dan ibadah malamku sebagai ibadah orang-orang yang benar-benar melakukan ibadah malam. Dan jagalah aku dari tidurnya orang-orang yang lalai. Hapuskanlah dosaku… Wahai Tuhan sekalian alam. Dan ampunilah aku, wahai pengampun para pembuat dosa.

Doa Hari Kedua

اَللَّهُمَّ قَرِّبْنِيْ فِيْهِ إِلَى مَرْضَاتِكَ وَ جَنِّبْنِيْ فِيْهِ مِنْ سَخَطِكَ وَ نَقِمَاتِكَ وَ وَفِّقْنِيْ فِيْهِ لِقِرَاءَةِ آيَاتِكَ بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ

Ya Allah.. Dekatkanlah aku kepada Keredhaan-Mu dan jauhkanlah aku dari kemurkaan serta balasan-Mu. Berilah aku kemampuan untuk membaca ayat-ayat-Mu dengan rahmat-Mu, wahai Maha Pengasih kepada semua pengasih.

Doa Hari Ketiga

اَللَّهُمَّ ارْزُقْنِيْ فِيْهِ الذِّهْنَ وَ التَّنْبِيْهَ وَ بَاعِدْنِيْ فِيْهِ مِنَ السَّفَاهَةِ وَ التَّمْوِيْهِ وَ اجْعَلْ لِيْ نَصِيْبًا مِنْ كُلِّ خَيْرٍ تُنْزِلُ فِيْهِ، بِجُوْدِكَ يَا أَجْوَدَ الْأَجْوَدِيْنَ

Ya Allah.. Berikanlah aku rezeki akal dan kewaspadaan dan jauhkanlah aku dari kebodohan dan kesesatan. Sediakanlah bahagian untukku dari segala kebaikan yang Kau turunkan, demi kemurahan-Mu, wahai Dzat Yang Maha Dermawan dari semua dermawan!

Doa Hari Keempat

اَللَّهُمَّ قَوِّنِيْ فِيْهِ عَلَى إِقَامَةِ أَمْرِكَ وَ أَذِقْنِيْ فِيْهِ حَلاَوَةَ ذِكْرِكَ وَ أَوْزِعْنِيْ فِيْهِ لأدَاءِ شُكْرِكَ بِكَرَمِكَ وَ احْفَظْنِيْ فِيْهِ بِحِفْظِكَ وَ سِتْرِكَ يَا أَبْصَرَ النَّاظِرِيْنَ

Ya Allah.. Berikanlah kekuatan kepadaku, untuk menegakkan perintah-perintah-Mu, Dan berilah aku manisnya berzikir mengingat-Mu. Berilah aku kekuatan untuk menunaikan syukur kepada-Mu, dengan kemuliaan-Mu. Dan jagalah aku dengan penjagaan-Mu dan perlindungan-Mu, wahai Dzat Yang Maha Melihat.

Doa Hari Kelima

اَللَّهُمَّ اجْعَلْنِيْ فِيْهِ مِنَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَ اجْعَلْنِيْ فِيْهِ مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ الْقَانِتِيْنَ وَ اجْعَلْنِيْ فِيْهِ مِنْ أَوْلِيَائِكَ الْمُقَرَّبِيْنَ بِرَأْفَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ

Ya Allah.. Jadikanlah aku diantara orang-orang yang memohon keampunan, Dan jadikanlah aku sebagai hamba-Mu yang Soleh dan setia serta jadikanlah aku diantara Auliya’-Mu yang dekat disisi-Mu, dengan kelembutan-Mu, wahai Dzat Yang Maha Pengasih di antara semua pengasih.

Doa Hari keenam

اَللَّهُمَّ لاَ تَخْذُلْنِيْ فِيْهِ لِتَعَرُّضِ مَعْصِيَتِكَ وَ لاَ تَضْرِبْنِيْ بِسِيَاطِ نَقِمَتِكَ وَ زَحْزِحْنِيْ فِيْهِ مِنْ مُوْجِبَاتِ سَخَطِكَ بِمَنِّكَ وَ أَيَادِيْكَ يَا مُنْتَهَى رَغْبَةِ الرَّاغِبِيْنَ

Ya Allah.. Janganlah Engkau hinakan aku kerana perbuatan maksiat terhadap-Mu, dan janganlah Engkau pukul aku dengan cambuk balasan-Mu. Jauhkanlah aku dari hal-hal yang dapat menyebabkan kemurkaan-Mu, dengan anugerah dan bantuan-Mu, wahai puncak keinginan orang-orang yang berkeinginan.

Doa Hari Ketujuh

اَللَّهُمَّ أَعِنِّيْ فِيْهِ عَلَى صِيَامِهِ وَ قِيَامِهِ وَ جَنِّبْنِيْ فِيْهِ مِنْ هَفَوَاتِهِ وَ آثَامِهِ وَ ارْزُقْنِيْ فِيْهِ ذِكْرَكَ بِدَوَامِهِ بِتَوْفِيْقِكَ يَا هَادِيَ الْمُضِلِّيْنَ

Ya Allah.. Bantulah aku untuk melaksanakan puasanya, dan ibadah malamnya. jauhkanlah aku dari kelalaian dan dosa-dosa-Nya. Dan berikanlah aku zikir berupa zikir mengingat-Mu secara berkesinambungan, Dengan Taufiq-Mu, wahai Pemberi Petunjuk Orang-Orang Yang Sesat.

Doa Hari Kelapan

اَللَّهُمَّ ارْزُقْنِيْ فِيْهِ رَحْمَةَ الأَيْتَامِ وَ إِطْعَامَ الطَّعَامِ وَ إِفْشَاءَ السَّلاَمِ وَ صُحْبَةَ الْكِرَامِ بِطَوْلِكَ يَا مَلْجَأَ الآمِلِيْنَ

Ya Allah.. Berilah aku rezki berupa kasih sayang terhadap anak-anak yatim dan pemberian makan, serta penyebaran salam, dan pergaulan dengan orang-orang mulia, dengan kemuliaan-Mu, wahai Tempat Berlindung Bagi Orang-Orang Yang Berharap.

Doa Hari Kesembilan

اَللَّهُمَّ اجْعَلْ لِيْ فِيْهِ نَصِيْبًا مِنْ رَحْمَتِكَ الْوَاسِعَةِ وَ اهْدِنِيْ فِيْهِ لِبَرَاهِيْنِكَ السَّاطِعَةِ وَ خُذْ بِنَاصِيَتِيْ إِلَى مَرْضَاتِكَ الْجَامِعَةِ بِمَحَبَّتِكَ يَا أَمَلَ الْمُشْتَاقِيْنَ

Ya Allah.. Sediakanlah untukku sebagian dari Rahmat-Mu yang luas, Dan berikanlah aku petunjuk kepada ajaran-ajaran-Mu yang terang, dan bimbinglah aku menuju kepada kerelaan-Mu yang penuh dengan kecintaan-Mu, Wahai Harapan Orang-Orang Yang Rindu.

Doa Hari Kesepuluh

اَللَّهُمَّ اجْعَلْنِيْ فِيْهِ مِنَ الْمُتَوَكِّلِيْنَ عَلَيْكَ وَ اجْعَلْنِيْ فِيْهِ مِنَ الْفَائِزِيْنَ لَدَيْكَ وَ اجْعَلْنِيْ فِيْهِ مِنَ الْمُقَرَّبِيْنَ إِلَيْكَ بِإِحْسَانِكَ يَا غَايَةَ الطَّالِبِيْنَ

Ya Allah.. Jadikanlah aku diantara orang-orang yang bertawakkal kepada-Mu, Dan jadikanlah aku diantara orang-orang yang menang disisi-Mu, Dan jadikanlah aku diantara orang-orang yang dekat kepada-Mu dengan Ihsan-Mu, Wahai Tujuan Orang-Orang Yang Memohon.

Doa Hari Kesebelas

اَللَّهُمَّ حَبِّبْ إِلَيَّ فِيْهِ الْإِحْسَانَ وَ كَرِّهْ إِلَيَّ فِيْهِ الْفُسُوْقَ وَ الْعِصْيَانَ وَ حَرِّمْ عَلَيَّ فِيْهِ السَّخَطَ وَ النِّيْرَانَ بِعَوْنِكَ يَا غِيَاثَ الْمُسْتَغِيْثِيْنَ

Ya Allah.. Tanamkanlah dalam diriku kecintaan kepada perbuatan baik, Dan tanamkanlah dalam diriku kebencian terhadap kemaksiatan dan kefasikan. Jauhkanlah dariku kemurkaan-Mu dan api neraka dengan pertolongan-Mu, Wahai Penolong Orang-Orang Yang Meminta Pertolongan.

Doa Hari Kedua Belas

اَللَّهُمَّ زَيِّنِّيْ فِيْهِ بِالسِّتْرِ وَ الْعَفَافِ وَ اسْتُرْنِيْ فِيْهِ بِلِبَاسِ الْقُنُوْعِ وَ الْكَفَافِ وَ احْمِلْنِيْ فِيْهِ عَلَى الْعَدْلِ وَالإِنْصَافِ وَ آمِنِّيْ فِيْهِ مِنْ كُلِّ مَا أَخَافُ بِعِصْمَتِكَ يَا عِصْمَةَ الْخَائِفِيْنَ

Ya Allah.. Hiasilah diriku dengan penutup dan kesucian. Tutupilah diriku dengan pakaian Qana’ah dan kerelaan. Tempatkanlah aku di atas jalan keadilan dan sikap tulus. Amankanlah diriku dari setiap yang aku takuti dengan penjagaan-Mu, Wahai Penjaga Orang-Orang Yang Takut.

Doa Hari Ketiga Belas

اَللَّهُمَّ طَهِّرْنِيْ فِيْهِ مِنَ الدَّنَسِ وَ الْأَقْذَارِ وَ صَبِّرْنِيْ فِيْهِ عَلَى كَائِنَاتِ الْأَقْدَارِ وَ وَفِّقْنِيْ فِيْهِ لِلتُّقَى وَ صُحْبَةِ الأَبْرَارِ بِعَوْنِكَ يَا قُرَّةَ عَيْنِ الْمَسَاكِيْنِ

Ya Allah.. Sucikanlah diriku dari kekotoran dan kejelekan. Berilah kesabaran padaku untuk menerima segala ketentuan. Dan berilah kemampuan kepadaku untuk bertaqwa, Dan bergaul dengan orang-orang yang baik dengan bantuan-Mu, Wahai Dambaan Orang-Orang Miskin.

Doa Hari keempat Belas

اَللَّهُمَّ لاَ تُؤَاخِذْنِيْ فِيْهِ بِالْعَثَرَاتِ وَ أَقِلْنِيْ فِيْهِ مِنَ الْخَطَايَا وَ الْهَفَوَاتِ وَ لاَ تَجْعَلْنِيْ فِيْهِ غَرَضًا لِلْبَلايَا وَ الآفَاتِ بِعِزَّتِكَ يَا عِزَّ الْمُسْلِمِيْنَ

Ya Allah.. Janganlah Engkau hukum aku, kerana kekeliruan yang ku lakukan. Dan ampunilah aku dari kesalahan-kesalahan dan kebodohan. Janganlah Engkau jadikan diriku sebagai sasaran bala dan malapetaka dengan kemuliaan-Mu, Wahai Kemuliaan Kaum Muslimin.

Doa Hari Kelima Belas

اَللَّهُمَّ ارْزُقْنِيْ فِيْهِ طَاعَةَ الْخَاشِعِيْنَ وَ اشْرَحْ فِيْهِ صَدْرِيْ بِإِنَابَةِ الْمُخْبِتِيْنَ بِأَمَانِكَ يَا أَمَانَ الْخَائِفِيْنَ

Ya Allah.. Berilah aku rezeki berupa ketaatan orang-orang yang khusyu’. Dan lapangkanlah dadaku dengan taubatnya orang-orang yang menyesal, dengan keamanan-Mu, Wahai Keamanan Untuk Orang-Orang Yang Takut.

Doa Hari Keenam Belas

َللَّهُمَّ وَفِّقْنِيْ فِيْهِ لِمُوَافَقَةِ الْأَبْرَارِ وَ جَنِّبْنِيْ فِيْهِ مُرَافَقَةَ الْأَشْرَارِ وَ آوِنِيْ فِيْهِ بِرَحْمَتِكَ إِلَى (فِيْ ) دَارِ الْقَرَارِ بِإِلَهِيَّتِكَ يَا إِلَهَ الْعَالَمِيْنَ

Ya Allah.. Berilah aku kemampuan untuk hidup sebagaimana kehidupan orang-orang yang baik. Dan jauhkanlah aku dari kehidupan bersama orang-orang yang jahat. Dan naungilah aku dengan Rahmat-Mu hingga sampai kepada alam akhirat. Demi Ketuhanan-Mu Wahai Tuhan Seru Sekalian Alam.

Doa Hari Ketujuh Belas

اَللَّهُمَّ اهْدِنِيْ فِيْهِ لِصَالِحِ الأَعْمَالِ وَ اقْضِ لِيْ فِيْهِ الْحَوَائِجَ وَ الآمَالَ يَا مَنْ لاَ يَحْتَاجُ إِلَى التَّفْسِيْرِ وَ السُّؤَالِ يَا عَالِمًا بِمَا فِيْ صُدُوْرِ الْعَالَمِيْنَ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَ آلِهِ الطَّاهِرِيْنَ

Ya Allah.. Tunjukkanlah aku kepada amal kebajikan dan penuhilah hajat serta cita-citaku. Wahai Yang Maha Mengetahui Keperluan, tanpa pengungkapan permohonan. Wahai Yang Maha Mengetahui segala yang ada di dalam hati seluruh isi alam. Selawat ke atas Muhammad dan Keluarganya Yang Suci.

Doa Hari Kelapan Belas

اَللَّهُمَّ نَبِّهْنِيْ فِيْهِ لِبَرَكَاتِ أَسْحَارِهِ وَ نَوِّرْ فِيْهِ قَلْبِيْ بِضِيَاءِ أَنْوَارِهِ وَ خُذْ بِكُلِّ أَعْضَائِيْ إِلَى اتِّبَاعِ آثَارِهِ بِنُوْرِكَ يَا مُنَوِّرَ قُلُوْبِ الْعَارِفِيْنَ

Ya Allah.. Sedarkanlah aku akan keberkatan yang terdapat di saat Saharnya. Dan sinarilah hatiku dengan terang cahayanya dan bimbinglah aku dan seluruh anggota tubuhku untuk dapat mengikuti ajaran-ajarannya, Demi Cahaya-Mu Wahai Penerang Hati Para Arifin.

Doa Hari Kesembilan Belas

اَللَّهُمَّ وَفِّرْ فِيْهِ حَظِّيْ مِنْ بَرَكَاتِهِ وَ سَهِّلْ سَبِيْلِيْ إِلَى خَيْرَاتِهِ وَ لاَ تَحْرِمْنِيْ قَبُوْلَ حَسَنَاتِهِ يَا هَادِيًا إِلَى الْحَقِّ الْمُبِيْنِ

Ya Allah.. Penuhilah bahagianku dengan keberkatannya, Dan mudahkanlah jalanku menuju kebaikan-kebaikannya. Janganlah Kau jauhkan aku dari penerimaan kebaikan-kebaikannya, Wahai Pemberi Petunjuk Kepada Kebenaran Yang Terang.

Doa Hari Kedua Puluh

اَللَّهُمَّ افْتَحْ لِيْ فِيْهِ أَبْوَابَ الْجِنَانِ وَ أَغْلِقْ عَنِّيْ فِيْهِ أَبْوَابَ النِّيْرَانِ وَ وَفِّقْنِيْ فِيْهِ لِتِلاَوَةِ الْقُرْآنِ يَا مُنْزِلَ السَّكِيْنَةِ فِيْ قُلُوْبِ الْمُؤْمِنِيْنَ

Ya Allah.. Bukakanlah bagiku pintu-pintu Syurga dan tutupkanlah bagiku pintu-pintu Neraka, dan berikanlah kemampuan padaku untuk membaca Al-Quran Wahai Penurun Ketenangan di dalam hati orang-orang Mukmin.

Doa Hari Kedua Puluh Satu

اَللَّهُمَّ اجْعَلْ لِيْ فِيْهِ إِلَى مَرْضَاتِكَ دَلِيْلاً وَ لاَ تَجْعَلْ لِلشَّيْطَانِ فِيْهِ عَلَيَّ سَبِيْلاً وَ اجْعَلِ الْجَنَّةَ لِيْ مَنْزِلاً وَ مَقِيْلاً يَا قَاضِيَ حَوَائِجِ الطَّالِبِيْنَ

Ya Allah.. Berilah aku petunjuk menuju kepada keredhaan- Mu. Dan janganlah Engkau beri jalan kepada syaitan untuk menguasaiku. Jadikanlah Syurga bagiku sebagai tempat tinggal dan peristirahatan, Wahai Pemenuh Keperluan Orang-Orang Yang Meminta.

Doa Hari Kedua Puluh Dua

اَللَّهُمَّ افْتَحْ لِيْ فِيْهِ أَبْوَابَ فَضْلِكَ وَ أَنْزِلْ عَلَيَّ فِيْهِ بَرَكَاتِكَ وَ وَفِّقْنِيْ فِيْهِ لِمُوْجِبَاتِ مَرْضَاتِكَ وَ أَسْكِنِّيْ فِيْهِ بُحْبُوْحَاتِ جَنَّاتِكَ يَا مُجِيْبَ دَعْوَةِ الْمُضْطَرِّيْنَ

Ya Allah.. Bukakanlah bagiku pintu-pintu Kurnia-Mu, turunkan untukku keberkatan-Mu. Berilah kemampuan untukku kepada penyebab-penyebab keredhaan-Mu, Dan tempatkanlah aku di dalam Syurrga-Mu yang luas, Wahai Penjawab Doa Orang-Orang Yang Dalam Kesempitan.

Doa Hari Kedua Puluh Tiga

اَللَّهُمَّ اغْسِلْنِيْ فِيْهِ مِنَ الذُّنُوْبِ وَ طَهِّرْنِيْ فِيْهِ مِنَ الْعُيُوْبِ وَ امْتَحِنْ قَلْبِيْ فِيْهِ بِتَقْوَى الْقُلُوْبِ يَا مُقِيْلَ عَثَرَاتِ الْمُذْنِبِيْنَ

Ya Allah.. Sucikanlah aku dari dosa-dosa, Dan bersihkanlah diriku dari segala aib. Tanamkanlah ketaqwaan di dalam hatiku, Wahai Penghapus Kesalahan Orang-Orang Yang Berdosa.

Doa Hari Kedua Puluh Empat

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ فِيْهِ مَا يُرْضِيْكَ وَ أَعُوْذُ بِكَ مِمَّا يُؤْذِيْكَ وَ أَسْأَلُكَ التَّوْفِيْقَ فِيْهِ لأَنْ أُطِيْعَكَ وَ لاَ أَعْصِيَكَ يَا جَوَّادَ السَّائِلِيْنَ

Ya Allah.. Aku memohon kepada-Mu hal-hal yang mendatangkan Keredhaan-Mu, Dan aku berlindung dengan-Mu Dan hal-hal yang mendatangkan kemarahan-Mu, dan aku memohonkepada-Mu kemampuan untuk mentaati-Mu serta menghindari kemaksiatan terhadap-Mu, Wahai Pemberi Para Peminta.

Doa Hari Kedua Puluh Lima

اَللَّهُمَّ اجْعَلْنِيْ فِيْهِ مُحِبًّا لِأَوْلِيَائِكَ وَ مُعَادِيًا لأَعْدَائِكَ مُسْتَنّا بِسُنَّةِ خَاتَمِ أَنْبِيَائِكَ يَا عَاصِمَ قُلُوْبِ النَّبِيِّيْنَ

Ya Allah.. Jadikanlah aku orang-.orang yang menyintai Auliya-Mu dan memusuhi musuh-musuh-Mu. Jadikanlah aku pengikut sunnah-sunnah penutup Nabi-Mu, Wahai Penjaga Hati Para Nabi.

Doa Hari Kedua Puluh Enam

اَللَّهُمَّ اجْعَلْ سَعْيِيْ فِيْهِ مَشْكُوْرًا وَ ذَنْبِيْ فِيْهِ مَغْفُوْرًا وَ عَمَلِيْ فِيْهِ مَقْبُوْلاً وَ عَيْبِيْ فِيْهِ مَسْتُوْرًا يَا أَسْمَعَ السَّامِعِيْنَ

Ya Allah.. Jadikanlah usahaku sebagai usaha yang disyukuri, Dan dosa-dosa ku di ampuni, amal perbuatanku diterima, Dan seluruh aibku ditutupi, Wahai Maha Pendengar Dan Semua Yang Mendengar.

Doa Hari Kedua Puluh Tujuh

اَللَّهُمَّ ارْزُقْنِيْ فِيْهِ فَضْلَ لَيْلَةِ الْقَدْرِ وَ صَيِّرْ أُمُوْرِيْ فِيْهِ مِنَ الْعُسْرِ إِلَى الْيُسْرِ وَ اقْبَلْ مَعَاذِيْرِيْ وَ حُطَّ عَنِّيَ الذَّنْبَ وَ الْوِزْرَ يَا رَؤُوْفًا بِعِبَادِهِ الصَّالِحِيْنَ

Ya Allah.. Rezekikanlah kepadaku keutamaan Lailatul Qadr, Dan ubahlah perkara-perkaraku yang sulit menjadi mudah. Terimalah permintaan maafku, dan hapuskanlah dosa dan kesalahanku, Wahai Yang Maha Penyayang Terhadap Hamba-Hamba-Nya Yang Soleh.

Doa Hari Kedua Puluh lapan

اَللَّهُمَّ وَفِّرْ حَظِّيْ فِيْهِ مِنَ النَّوَافِلِ وَ أَكْرِمْنِيْ فِيْهِ بِإِحْضَارِ الْمَسَائِلِ وَ قَرِّبْ فِيْهِ وَسِيْلَتِيْ إِلَيْكَ مِنْ بَيْنِ الْوَسَائِلِ يَا مَنْ لاَ يَشْغَلُهُ إِلْحَاحُ الْمُلِحِّيْنَ

Ya Allah.. Penuhkanlah hidupku dengan amalan-amalan Sunnah, Dan muliakanlah aku dengan terkabulnya semuap permintaan. Dekatkanlah perantaraanku kepada-Mu diantara semua perantara, Wahai Yang Tidak Tersibukkan Oleh Permintaan Orang-Orang Yang Meminta.

Doa Hari Kedua Puluh Sembilan

اَللَّهُمَّ غَشِّنِيْ فِيْهِ بِالرَّحْمَةِ وَ ارْزُقْنِيْ فِيْهِ التَّوْفِيْقَ وَ الْعِصْمَةَ وَ طَهِّرْ قَلْبِيْ مِنْ غَيَاهِبِ التُّهَمَةِ يَا رَحِيْمًا بِعِبَادِهِ الْمُؤْمِنِيْنَ

Ya Allah.. Liputilah aku dengan Rahmat dan berikanlah kepadaku Taufiq dan Penjagaan. Sucikanlah hatiku dan dosa-dosa fitnah Wahai Pengasih Terhadap Hamba- HambaNya Yang Mukmin.

Doa Hari Ketiga Puluh

اَللَّهُمَّ اجْعَلْ صِيَامِيْ فِيْهِ بِالشُّكْرِ وَ الْقَبُوْلِ عَلَى مَا تَرْضَاهُ وَ يَرْضَاهُ الرَّسُوْلُ مُحْكَمَةً فُرُوْعُهُ بِالأُصُوْلِ بِحَقِّ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَ آلِهِ الطَّاهِرِيْنَ وَ الْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ‏

Ya Allah.. Jadikanlah puasaku disertai dengan syukur dan penerima di atas jalan keredhaan-Mu dan Keredhaan Rasul. Cabang-cabangnya kukuh dan kuat berkat pokok-pokoknya,demi Kenabian Muhammad dan keluarganya yang suci, Dan Segala Puji Bagi Allah Tuhan Sekalian Alam.
Sumber : Solihin Zubir dot com
Terima kasih saudara atas ilmu ini semoga di berkati  dan di rahmati Allah S.W.T.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails