Pages


Showing posts with label HADITH RASULULLAH S.A.W.. Show all posts
Showing posts with label HADITH RASULULLAH S.A.W.. Show all posts

Friday, October 24, 2014

Ketika Syaitan Ketawa dam Menangis


بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم 


SANTAPAN ROHANI - PAGI JUMAAT 24 OKT. 2014:

KETIKA SYAITAN KETAWA DAN MENANGIS



Dinyatakan di dalam sebuah hadith bahawa SYAITAN AKAN KETAWA apabila seseorang itu menguap dengan TIDAK MENUTUP MULUT, dan mengeluarkan suara seperti: “Huaaaaa…”… Ketika itu SYAITAN AKAN MASUK BERPUSU-PUSU KE DALAM MULUT anak Adam tersebut…..


Hadith yang menyatakan tentang syaitan tertawa adalah:

“Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW ada bersabda: “SESUNGGUHNYA ALLAH MENYUKAI BERSIN DAN MEMBENCI MENGUAP... Apabila seseorang bersin lalu mengucapkan Alhamdulillah, maka Muslim yang mendengarnya perlu mendoakannya... ADAPUN MENGUAP DATANGNYA DARI SYAITAN, kerana itu tahanlah sedapat mungkin… Apabila seseorang menguap dan mengeluarkan suara “huaaa”, maka syaitan akan ketawa.”……. (HR Bukhari dan lainnya)...


SYAITAN AKAN MENANGIS apabila seseorang membaca Surah As-Sajdah dan ketika sampai pada ayat sajdahnya yakni ayat yang ke-15, lalu terus seseorang itu melakukan sujud… 

Hal ini disebutkan di dalam hadith berikut...


“Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda: “APABILA ANAK ADAM MEMBACA SURAH AS-SAJDAH, KEMUDIAN DIA SUJUD SAJDAH (ketika membaca ayat ke-15), maka syaitan akan pergi menangis sambil berkata: “ADUH CELAKA DAN SIALNYA NASIBKU”, Anak Adam diperintah sujud, lalu dia sujud, maka baginya syurga, sedangkan aku ketika diperintah sujud, aku enggan, maka bagiku neraka.”.. (HR Muslim)….


Marilah kita bersama-sama berusaha untuk TIDAK mengikuti jejak langkah syaitan laknatullah ini, kerana tujuan utamanya HANYALAH untuk menyesatkan dan mengheret manusia ke neraka jahanam bersama-samanya di hari akhirat nanti…. Wallahua’lam…

- Ustadz Ramli Joned

Tuesday, June 10, 2014

Berkata Baik Atau Diam

"Diam itu adalah kekuatan hati, 
hati pula istana iman,
Kuatnya hati lambang kekuatan iman, 
dan kekuatan iman adalah benteng menentang hawa nafsu"



~ BERKATA BAIK ATAU DIAM ~

"BARANGSIAPA YANG BERIMAN KEPADA ALLAH DAN HARI AKHIRAT MAKA HENDAKLAH IA BERKATA YANG BAIK ATAU DIAM." 

- (HADITH RIWAYAT BUKHARI DAN MUSLIM)

Mata melihat telinga mendengar.. Hati berbisik apa yang di lihat dan di dengar, akal pula menapis apa yang tersirat di hati .. fikiran mengawal apa yang nak kita sampaikan. Lidah samada hendak menyampaikan atau tidak bergantung pada hati. Ianya saling berhubungan.  

Bila hati kita sentiasa berhubungan dengan Allah s.w.t., iman semakin mantap maka terpeliharalah tutur kata yang baik dan memberi manafaat pada orang sekeliling kita... Diam itu lebih baik jika perkataan yang nak di sampaikan tiada manafaat dan bakal mengguris perasaan hati sanubari orang lain.. 

Jika timbulnya satu-satu isu dalam menyatakan perbezaan pendapat dan cara berfikir jika di pengaruhi emosi yang tidak terkawal mudah menimbulkan konflik provokasi tutur kata yang kurang sopan. Apabila timbul ketidak puasan hati dan emosi melampaui kawalan maka ianya membangkitkan ketegangan dan permusuhan... 

Maka lahirlah kata-kata hamburan yang tidak wajar dari luahan tutur-kata dan kecelaruan fikiran yang mudah tersebar sekarang ni di zaman komunikasi teknologi canggih di laman internet, wassap, chit chat dan laman-laman sosial yang berbagai sehingga ianya tidak terkawal.... Adalah lebih baik menjaga lisan dan perkataan, saling hormat menghormati, berbudi bahasa yang luhur maka akan wujudlah masyarakat harmoni. 

Pertuturan, tingkah laku kita melambangkan isi dalaman hati kita.. Wallahu'alam.

(Sebenarnya amat runsing apa yang sedang berlaku di zaman mutakhir ini.. perbezaan pendapat dan kecelaruan sesama muslim terutama yang membabitkan aqidah, kesahihan halal dan haram produk makanan yang masuk ke dalam anggota tubuh kita yang menjadi darah daging ...  Semoga Allah sentiasa memelihara dan beri petunjuk taufiq dan hidayah-NYA buat hamba-hamba-NYA.. 

YA ALLAH LINDUNGI DAN PELIHARALAH AQIDAH DAN SIFAT KETAQWAAN KAMI AGAR SENTIASA BERADA DI JALAN - MU YANG LURUS DAN BENAR, DAN MENYALURKAN SUMBER MAKANAN HALAL DI DALAM TUBUH KAMI... TERHINDAR DARI PERKARA SYUBHAH.. AAMIIN!!!)

Wednesday, May 28, 2014

DO'A NABI S.A.W. UNTUK TERHINDAR DARI PENYAKIT NYANYUK




 Doa Nabi s.a.w. untuk terhindar dari penyakit nyanyuk 

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud...."Dan Allah menciptakan kamu, kemudian mewafatkan kamu; dan di antara kamu ada yang dikembalikan kepada umur yang paling lemah (pikun), supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatupun yang pernah diketahuinya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa." (Q. Surah An-Nahl:16:70)

Dan firman Allah s.w.t. (Q. Surah Al-Hajj:22:5)


"Wahai manusia, jika kamu dalam keraguan tentang kebangkitan (dari kubur), maka (ketahuilah) sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari tanah, kemudian dari setetes mani, kemudian dari segumpal darah, kemudian dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu dan Kami tetapkan dalam rahim, apa yang Kami kehendaki sampai waktu yang sudah ditentukan, kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi, kemudian (dengan beransur- ansur) kamu sampailah kepada kedewasaan, dan di antara kamu ada yang diwafatkan dan (adapula) di antara kamu yang dipanjangkan umurnya sampai pikun, supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatupun yang dahulunya telah diketahuinya. Dan kamu lihat bumi ini kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air di atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan berbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah."

Ayat-ayat ini menunjukkan penyakit nyanyuk berlaku kepada sesiapa yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.   Dengan itu kita diminta memohon dilindungkan dari penyakit ini, bahkan Nabi s.a.w. sendiri memohon berlindung dari-NYA.

# Seperti yang diriwayatkan dari Anas r.a., katanya Nabi s.a.w. sering berdoa:


"Ya Allah! Aku berlindung dengan Engkau dari kebakhilan, kemalasan, umur yang tersia-sia (nyanyuk), dan dari siksa kubur serta bencana hidup dan mati."
( H.R Bukhari & Muslim. )

Tujuan kita berdoa ini, adalah untuk menghindari dari penyakit nyanyuk yang boleh menyebabkan kita kurang daya pemikiran, penglihatan dan kefahaman. Juga lemah dalam melakukan banyak ibadat dan meringan-ringankan sebahagian yang lain.

Terdapat ulama yang menggalakkan juga membanyakkan bacaan Al-Quran untuk menghindari dari penyakit ini. Kita memohon dari Allah SWT agar kita semua dilindungkan dari penyakit nyanyuk ini. 


Aamiin Allahumma Aamiin !

Kredit pemilik FB: "Aidah Yazid"

Thursday, December 20, 2012

Perjalanan Haji: Kenangan manis di tahun 2012M (1433H)


 Nota: 20.12.2012 ( 7 Safar, 1434H)

Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah..

Segala puji hanya bagi Allah S.W.T. Tuhan pencipta sekalian alam.  Salawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad S.A.W. pemimpin umat, pembawa sinar cahaya kebenaran.. Rasul pilihan Allah yang di rindui oleh keseluruhan ummatnya yang beriman..

Alhamdulillah.., ku panjatkan syukur ke hadrat Illahi kerana tahun 1433H (2012)  ini adalah tahun paling bermakna dan penuh kegembiraan buatku dan suami tercinta..,   termasuk kakakku yang di kasihi..., juga buat tetamu-tetamu Allah dari seluruh dunia.

Catatanku: Note: 20.11.2011 - Impianku - Semoga di makbulkan Allah!! 
Alhamdulillah impianku dan suami untuk menunaikan haji di makbulkan Allah S.W.T. setelah menerima jemputan Allah ke tanah sucinya  di tahun 1433H (2012).  Kad jemputan teristimewa yang sentiasa dinanti-nanti dalam kehidupan setiap umat Islam.

Perjalanan bermula ke Tabung Haji, Kelana Jaya malam Jumaat 20.09.2012 untuk pendaftaran; Bertolak dari KLIA pada 21.09.2012 ke Madinah hingga 29.09.2012 kemudian ke Makkah hingga 04.11.2012 bertolak ke Madinatul Hujjaj, Jeddah dan berlepas dari 'airport' Jeddah pada 05.11.2011 jam 11.00 pagi waktu Saudi dan tiba di tanah air, awal pagi Selasa, 06.11.2011 jam 12.15 pagi (waktu Malaysia) awal sejam dari waktu jangkaan (berada di Tanah Arab selama 46 hari 44 malam) Amiin!!

Pengalaman perjalanan yang sungguh indah di kedua-dua tanah haram ini..



Ka'abah Masjidil Haram, di Kota Tanah suci Makkah yang sentiasa bercahaya di waktu malamnya dan tidak pernah sunyi dengan kehadiran jutaan tetamu Allah tak kira siang atau malam melaksanakan ibadah haji dan umrah di musim haji  atau mengerjakan umrah di luar waktu musim haji.  Para hujjaj mengabdikan diri pada yang ESA bagi melengkapkan rukun Islam ke 5 setiap tahun..
  
Kelebihan beribadah di Masjidil haram yang perlu di nikmati ialah setiap satu solat di Masjidil Haram memperolehi ganjaran 100,000 pahala, selain dari itu mengerjakan amalan-amalan sunat di tempat suci yang penuh barakah ini juga memperolehi ganjaran pahala yang besar dari Allah.. Setiap hari Allah S.W.T menurunkan 120 rahmat (60 rahmat untuk orang mengerjakan tawaf, 40 rahmat untuk orang bersolat, dan 20 rahmat dengan memandang Ka'abah).
Betapa Allah S.W.T  yang mempunyai 99 nama Asmaul-Husna memandang dengan penuh rahmat kasih sayang buat hamba-hamba-NYA yang merendah diri, sentiasa berdo'a memohon keredhaan Illahi, memohon keampunan dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. 

(Kredit buat 'fotografer' kedua-dua gambar Masjidil Haram dan Masjid Nabawi ini).

 Masjid Nabawi yang terletak di tanah suci Madinah yang sentiasa di rindui oleh pencinta Rasulullah dimana jasad Rasulullah S.A.W. di makamkan.  Setiap pencinta Rasulullah pasti menunaikan hasrat menjejaki Raudah antara taman syurga yang di muliakan Allah dan para malaikat-NYA..untuk ummatnya bersolat, sujud dan bersalawat keatas Nabi, berdo'a memohon restu Illahi agar  memperolehi syafaat Rasulullah di hari perhitungan kelak.. agar berada dekat 
di samping Rasulullah S.A.W. آللَّهُمَّ صَلّیۓِ ۈسَلِّمْ عَلۓِ سَيّدِنَآ مُحَمَّدْ وَ عَلۓِ آلِ سَيّدِنَآ مُحَمَّدٍ

Dari Jabir r.a. bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:  "Satu solat di masjidku lebih afdhal daripada seribu solat di masjid-masjid yang lain, kecuali Masjidil Haram (di Makkah); dan satu solat di Masjidil Haram pula lebih afdhal daripada seratus ribu solat di masjid-masjid yang lain."   (Hadis riwayat Imam Ahmad)


Bermula dengan menerima sepucuk surat di awal tahun 2012 bertarikh 30 Januari, 2012 (bersamaan 06 Rabiul Awwal 1433H) dari pihak Tabung Haji  bagi mengikuti kursus haji.. hati dah melonjak kegembiraan.. SubhanAllah..
Mudah-mudahan ianya menjadi kenyataan agar Allah menjemputku ke dua-dua tanah suci-NYA.

  
Setelah menghadiri kursus seperti yang di jadualkan bermula 12.02.2012 akhirnya menerima surat tawaran untuk menunaikan haji pula.. 
bertarikh 16.02.2012.. Surat menerima tawaran di jawab segera..
Syukur Ya Allah!! Kerana menjemputku ke dua-dua tanah suci-MU yang penuh nikmat dan kerahmatan.. Ku berharap redha dari Illahi mengampuni setiap dosa dan menerima amalan yang sedikit cuma... Kami insan yang lemah yang tak lepas dari dosa, kelalaian dan alpa.. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Pengampun memberi petunjuk jalan dan taufiq serta hidayah-NYA buat hamba-hamba-NYA yang di kasihi.

Kursus berakhir pada 03 Jun, 2012.. Alhamdulillah semoga Ustaz Tn. Haji Sianip yang mendidik kami memperolehi rahmat dan ganjaran besar dari Allah S.W.T. di atas ilmu (amal jariah) yang di curahkan kepada kami dari kurang kefahaman sehingga faham bagaimana untuk mengerjakan ibadah haji ini sebagai amalan dan panduan di tanah suci..

 

 

Kami terpilih dalam kumpulan KT 16 dengan pesawat Saudi Arabian jadual ke Madinah..penerbangan hari ke 5 .. bertolak ke Kelana Jaya 20.09.2012 (genap 3 bulan sewaktu nota ini di catat) dan menaiki pesawat selepas menunaikan solat subuh di bilik menunggu..di KLIA hari Jumaat 21.09.2012 (delayed selama sejam.. - sepatutnya bertolak jam 5.30 a.m. Alhamdulillah Allah permudahkan para jemaah haji untuk tunaikan solat Subuh dengan sempurna secara berjemaah di darat). 

 

 

 

Terima kasih yang tak terhingga buat petugas Tabung Haji cawangan Klang dan petugas Tabung Haji di Kelana Jaya, Madinah dan Makkah kerana menjalankan tugas dengan penuh dedikasi.. 

 

Berbunga-bunga hati bila menerima jemputan lagi untuk Majlis program himpunan persaudaraan Hujjaj musim haji 1433H / 2012M di Dewan Solat Masjid Bandar DiRaja Klang pada 29 Disember ini.. 

 

Terimbau kenangan di tempat paling indah di dunia.. iaitu Masjidil Haram, Makkah dan Masjid Nabawi, Madinah.. bumi Allah yang penuh kedamaian. Seronoknya bakal dapat bertemu kembali sahabat-sahabat jemaah Hujjaj dan para petugas Tabung Haji yang peramah. Semoga di izinkan Allah dengan kesihatan yang baik untuk menghadirinya..

 

Tabung Haji Malaysia telah menjalankan tugasnya dengan cemerlang.. Syukur Ya Allah!!

 

Jika di izin Allah dan kelapangan masa akan ku catat memori yang penuh kenangan manis pengalaman perjalanan di tanah suci ini.. di lain waktu.. INSHAA ALLAH!!





Wednesday, December 12, 2012

Kelebihan Do'a



Note: 12. 12. 2012

Kelebihan berdo'a..

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud "Do'a itu otak ibadat"

Dan sabdanya lagi.. yang bermaksud " Tidak ada sesuatu (amal hati) yang lebih mulia di sisi Allah daripada do'a."   (Riwayat Ibnu Hibban)

Friday, August 19, 2011

MALAM KEMULIAAN/ KEBESARAN ALLAH - LAILATUL QADR

Salam Juma'at.. semoga di rahmati Allah para muslimin dan muslimat di hari dan bulan yang mulia ini.. bulan rahmat dan penuh dengan keberkatan.. dah 19 hari umat Islam menjalani ibadah puasa..  Alhamdulillah.  Semoga segalanya di permudahkan Allah dalam melaksanakan kewajipan salah satu dari rukun Islam ini..

Kita kini berada di kemuncak Ramadan  menanti dan berdo'a dengan penuh harap pada Allah S.W.T.  agar di pertemukan Lailatul Qadr di antara hari 10 terakhir ini.. hadiah kurniaan paling besar dari Allah S.W.T. bagi hamba-Nya yang patuh dan sentiasa ingat mengabdikan diri pada Pencipta Yang Maha Berkuasa Allah penguasa Alam.


Malam penuh keberkatan dan nilainya lebih baik dari seribu bulan yakni 83 tahun 4 bulan... tidak semua orang dapat mencapai usia ini kan.. lebih-lebih lagi usia yang di manafaatkan dalam berbuat amal ibadah.. Allah lebih mengetahui keupayaan hamba-Nya sebab itu di kurniakan setahun sekali anugerah yang berlipat kali ganda dari bulan-bulan lain agar hamba-Nya merebut peluang keemasan ini untuk bekalan di akhirat kelak. 

Hadith yang di riwayatkan oleh Anas r.a. dari Rasulullah S.A.W bersabda:

"Lailatul Qadr telah di kurniakan ke atas ummatku dan tidak kepada lain-lain ummat".

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:  "Barangsiapa berdiri (dengan solat dan ibadah) pada malam Lailatul Qadr dengan iman dan ihtisab (yakni dengan keyakinan yang sempurna dan harapan yang ikhlas untuk memperolehi ganjarannya) maka dosa-dosanya yang lepas akan diampunkan."
Maksud berdiri disini - solat atau pun ibadat lainnya seperti 
zikir, membaca al-Qur'an dan sebagainya.


"Ihtisab" - bermaksud niat dengan ikhlas dalam melakukan ibadah.  Dosa-dosa besar hanya terampun dengan taubat yang bersungguh-sungguh  ikhlas kepada Allah dengan bersumpah tidak akan mengulangi lagi dosa-dosa tersebut.


Rasulullah S.A.W. sentiasa memikirkan keadaan ummat-ummatnya.. oleh itu Rasulullah S.A.W. pernah memikirkan tentang umur ummat terdahulu berumur panjang di bandingkan dengan ummatnya. Baginda berdukacita jika  umatnya ingin berlumba melakukan amal soleh dengan umat terdahulu  mustahil untuk bersaing atau mengatasinya lantaran umur yang pendek.  Maka dengan rahmat Allah Taala,  dikurniakanlah malam yang di penuhi dengan keberkatan ini khas buat ummat nabi Muhammad S.A.W.  


Riwayat dari Ibn Abbas r.a. beliau telah mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda mafhumnya:

"Sesungguhnya syurga itu di ukup-ukup dan di perhias tiap tahun ketika masuk bulan Ramadan, maka apabila pada malam pertama Ramadan datang angin dari bawah Arsy yang bernama Almutsirah, maka menggoyangkan daun-daun syurga dan menggerakkan daun pintu sehingga terdengar suara bidadari dari jendela-jendela bahagian atas syurga dan berseru.. "Siapakah yang meminang kepada Allah untuk di kahwinkan seorang dari kami," kemudian bidadari-bidadari itu bertanya kepada Malaikat Ridhwan.. "Ya Ridhwan, malam apakah ini? 
Malaikat Ridhwan jawab, " Wahai wanita-wantia cantik, ini malam pertama dari bulan Ramadan.  Kemudian Allah berfirman: "Ya Ridhwan bukalah pintu-pintu syurga untuk orang-orang yang puasa dari Ummat Muhammad S.A.W dan menyuruh Malaikat Malik: "Ya Malik, tutuplah pintu-pintu neraka jahim dari orang-orang yang puasa dari Ummat Muhammad S.A.W. dan berfirman:  " Ya Jibril, turunlah ke bumi dan ikatlah syaitan-syaitan yang jahat dan rantai mereka, kemudian buanglah mereka dalam laut supaya tidak mengganggu puasa ummat Muhammad S.A.W.  

Dan pada tiap malam Ramadan... Allah berseru tiga kali:  "Siapakah yang minta akan Aku beri permintaannya, siapakah yang taubat dan Aku terima taubatnya,  siapakah yang minta ampun maka akan Aku ampunkan, kemudian diserukan.  Siapakah yang akan menabung pada yang kaya yang tidak pernah tidak punya, dan yang selalu menepati yang tidak zalim, dan pada tiap hari bulan Ramadan Allah memerdekakan sejuta ahli neraka yang semuanya layak diseksa, dan bila pada hari atau malam Juma'at pada tiap jam di merdekakan sejuta orang dari api neraka, dan bila akhir hari Ramadan Allah memerdekakan pada hari itu sebanyak orang yang dimerdekakan dari pertama hingga akhir Ramadan.

Dan pada malam Lailatul Qadr Allah menyuruh Malaikat Jibril dengan rombongan malaikat turun ke bumi dengan membawa panji hijau yang diletakkan di atas Ka'bah, dan ia mempunyai enam ratus sayap, di antaranya dua sayap yang tidak di hampar kecuali pada malam Lailatul Qadr, maka di hampar sehingga meliputi ujung timur hingga ujung barat.  

Lalu Malaikat Jibril mengutus Malaikat pergi kepada ummat Muhammad S.A.W. memberi salam pada tiap orang yang sedang berdiri atau duduk, solat atau berzikir dan menjabat tangan mereka serta mengaminkan do'a mereka sehingga terbit fajar.  Apabila telah terbit fajar maka Jibril berseru:  " Hai para Malaikat segera kembali..kembali.. lalu Malaikat bertanya:  "Bagaimana mengenai hajat kaum Mu'minin dari ummat Muhammad S.A.W.?  Jawab Jibril:  "Allah melihat mereka dengan pandangan rahmat lalu mema'afkan mereka, kecuali empat macam.  1.  Pemabuk (peminum khamar).  2.  Penderhaka terhadap ayah dan ibunya.   3.  Memutuskan hubungan keluarga.  4.  Orang yang memboikot, tidak bertegur sapa dengan saudaranya lebih dari tiga hari.. 

Dan apabila tiba malam 'idul fitri itu bernama malam pembahagian hadiah, maka pada pagi harinya di utus Malaikat berdiri di penempatan jalan sambil berseru dengan suara yang lantang dapat di dengar oleh segala sesuatu kecuali jin dan manusia:  "Hai ummat Muhammad keluarlah kamu kepada Tuhan yang pemurah, memberi yang besar dan mengampunkan dosa-dosa besar, maka bila mereka telah keluar ke musolah, Allah berfirman kepada Malaikat:  "Hai Malaikat-Ku, apakah ganjaran bagi orang yang telah menyempurnakan pekerjaannya dengan baik?"  Jawab Malaikat:  "Wahai Allah, sepatutnya ganjaran yang sepenuhnya diberikan kepadanya."  Maka firman Allah:  " Wahai malaikat-malaikatKu, sesungguhnya hamba-hambaKu ini, lelaki dan wanita telah menyempurnakan kewajipan yang telah di fardukan keatas mereka, kemudian mereka pun keluar menuju ketanah tempat solat aidil fitri meninggikan suara do'a mereka kepada-Ku .  Daku bersumpah demi kemuliaanKu, kemegahanKu, kehormatanKu, ketinggianKu dan tempatKu yang tertinggi, pasti akan Daku makbulkan do'a-do'a orang-orang ini.  Kemudian Allah berfirman kepada manusia; "Kembalilah kamu sekalian, Daku telah ampunkan dosa-dosa kamu dan menggantikan perbuatan-perbuatan maksiatmu dengan kebaikan (hasanat).  Orang-orang ini pun kembali dengan pengampunan terhadap dosa-dosa mereka."


Aisyah r.a. meriwayatkan:  "Daku berkata:  "Wahai Rasulullah S.A.W. sekiranya daku bertemu dengan Lailatul Qadr, apakah do'a yang perlu ku baca?  Rasulullah S.A.W. bersabda: "Katakanlah.. "Ya Allah!  Sesungguhnya Engkaulah yang mengurniakan keampunan terhadap dosa-dosaku.. Dikau suka mengampun, maka ampunilah daku."

Tanda-tanda Lailatul Qadr... Udara malam itu terang sedang tidak panas dan tidak dingin, matahari terbit pada paginya tidak tajam cahayanya, siapa yang bangun pada malam Lailatul Qadr terdorong oleh iman dan benar-benar mengharap dari pahala Allah, maka Allah akan mengampunkan semua dosa yang terjadi sebelumnya.


Sesungguhnya pada malam yang penuh barakah ini terjalin di dalamnya kesejahteraan, sepanjang waktunya para malaikat memohon salawat (rahmat) terhadap orang-orang beriman yang taat memuji-muji Allah.  Selepas sekumpulan malaikat naik, maka sekumpulan malaikat lagi turun (dengan permohonan rahmat yang sama).  Pada malam tersebut terselamat daripada segala kemaksiatan dan  kecelakaan.  Rahmat dan keberkatan ini berpanjangan sepanjang malam sehinggalah munculnya Subuh dan tidaklah terhad pada bahagian-bahagian tertentu pada malam tersebut.




Tuesday, January 11, 2011

Ku Rindu (11.1.11 @ 11.11 PM)

Nostalgia ~ kenangan pertengahan tahun 1980 an Abah dan Emak berlatarkan rumah pusaka tempat kelahiran kami adik beradik. (Baju sedondon lagi - Baju Abah dan Emak hasil jahitan tangan Emak sendiri.. Sayang Abah dan Emak)
Halaman yang menghijau di jaga oleh Abah dan Emak.. bersih dan nyaman suasana ketika itu... Kami rindu!!!

Salam rindu....,
Ku rindu menatap wajahmu..
Ku rindu berbicara denganmu.. tapi kini bicaraku di titip dalam do'a buatmu Abah, 
Ku dakap rindu memohon ke hadrat Illahi agar kau bahagia, tenang dan damai di sana.. 
Kini pelukan ku bertambah erat buat Emak yang amat kami kasihi..

Abah,  ketika ku berkunjung ke pusaramu (9/1/2011) bersama kak Fizah dan Norzie..
Di waktu yang sama (siang hari) Nabilah anak sulungku sedang tidur di rumah dan pada waktu itu beliau bermimpi bertemu Abah (Atoknya).. dan dalam mimpi Atok berpesan "Jangan tinggal solat"..
Airmatanya menitis dan sebak kerana kerinduan pada Atok di sayangi yang ambil berat diri cucu-cucu. Beliau terimbau kembali ketika pergi dan balik sekolah bilamana bapa mereka sibuk Atoklah yang mengambil dan menghantar cucu-cucu ke sekolah.. Semoga peringatan dalam mimpinya itu menjadikan anak cucu sentiasa patuh dengan suruhan Allah dan tidak melengah-lengahkan solat..!!


Abah, ku coretkan beberapa keratan catatan motivasi yang di petik dari buku koleksi Abah, "Mengubat DUKA LARA" ~ ilmu dari Allah yang telah di susun oleh Ustaz Safwan Fathy dalam kitabnya agar menjadi panduan kami.... 


~Menganggap Mati Sebagai Satu Istirahat..~


Apabila kita menyedari bahawa mati sebenarnya adalah satu istirahat yang panjang, yang melegakan kita dengan syarat kita menjadi insan soleh semasa hidup di dunia ini.  Hal ini sesuai dengan sepotong hadith riwayat Abi Qatadah, bahawa ada jenazah lalu di hadapan Rasulullah s.a.w., maka Baginda s.a.w. bersabda, "Dia beristirahat dan orang lain beristirahat daripadanya." Maka bertanyalah para sahabat, "Apakah maksud dia beristirahat dan orang yang lain beristirahat daripadanya?"


Jawab Nabi s.a.w. :  "Orang yang beriman, dengan kematiannya itu maka dia beristirahatlah daripada kepayahan dunia.  Dan orang yang jahat dengan kematiannya itu, maka manusia, negeri, pohon-pohon dan binatang terlepas daripada gangguannya." (Muttafaq'alaih)


"Sesungguhnya mereka yang telah mengakui Allah Tuhan kami, kemudian bersikap istiqamah (lurus), akan turun Malaikat kepada mereka untuk menghibur dengan kata-kata:  Jangan takut dan jangan berdukacita, dan bergembiralah kamu dengan syurga yang dijanjikan kepada kamu.  Kami (Allah) sebagai Pelindung kamu pada masa hidup kamu di dunia dan di akhirat.  Dan untuk kamu didalamnya (tersedia) apa-apa yang diinginkan oleh diri kamu, dan bagi kamu di dalamnya (tersedia) apa-apa yang kamu minta.. Sebagai hidangan daripada Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang." (Surah Fussilat: 30-32) 

Dengan ayat tersebut jelaslah bahawa orang yang beriman dan beristiqamah dalam menghayati ajaran Allah s.w.t. nescaya akan dijauhkan daripada perasaan takut (cemas) dan dukacita, sebaliknya akan memperoleh ketenangan jiwa.  Dan seterusnya di akhirat nanti akan di hidangkan dengan pelbagai kenikmatan yang tidak terperi, kegembiraan dan kebahagiaan yang kekal abadi dengan rahmat dan izin Allah s.w.t. jua.


Ya terdapat pelbagai keterangan memberikan gambaran adanya antara hamba-hamba Allah yang di anugerahi ketenangan menghadapi maut.  Mereka menghadapi saat-saat kematian itu dengan damai dan tenang, tidak cemas dan khuatir, bahkan ada yang mencintai mati (syahid) lebih daripada mencintai hidup.  Mereka itu adalah para Nabi, siddiqin, syuhada' dan para solehin pada umumnya.


Rasulullah s.a.w. sendiri pada waktu hampir kewafatannya, Baginda menunjukkan ketenangan yang terbayang daripada sikapnya mahupun perkataannya.  Anas r.a. mengungkapkan ketika makin berat sakit Rasulullah s.a.w., Fatimah r.anha berkata, "Alangkah berat penderitaan ayah!"  Jawab Nabi s.a.w., "Tidak lagi ayah menderita kesukaran sesudah hari ini!"

Setelah Rasulullah s.a.w. wafat, Fatimah r.anha berkata, "Wahai ayahanda, ayahanda telah menyambut panggilan Tuhan.  Wahai ayahanda, syurga Jannah al-Firdaus tempatnya..."  Demikian menurut al-Bukhari.

Ibnu Mas'ud menyapa Nabi s.a.w. ketika sakit, "Wahai Rasulullah!  Sungguh serius demam ini..!"  Nabi s.a.w. menjawab, "Benar, saya menderita panas dua kali ganda daripada orang biasa."

Berkata Ibnu Mas'ud, " Benar kerana anda memperoleh pahala dua kali ganda daripada orang biasa."  Jawab Nabi s.a.w., "Demikianlah halnya!  Tidak seorang Mukmin menderita gangguan apa pun, baik berupa duri atau lebih daripada itu, melainkan Allah akan menghapuskan dosanya, laksana gugurnya daun dari pohon."  (Muttafaq 'alaih).

Para sahabat Nabi s.a.w. menunjukkan ketenangan dan tidak takut menghadapi kematian.  Ya, mereka tenang, bahkan merindukan mati syahid di jalan Allah.


Umar Ibnu al-Khattab r.a. pernah berdo'a agar dijadikan mati syahid di kota Rasul.  Do'anya di makbulkan Allah, beliau mati syahid di dalam masjid terbunuh oleh perbuatan musuh Islam.


Uthman ibnu 'Affan r.a. ketika di kepung musuh-musuhnya yang akan menumpahkan darahnya, beliau tetap tenang membaca al-Quran.


Jabir memberitahu, bahawa di dalam Peperangan Uhud, ada seorang yang bertanya kepada Nabi s.a.w. "Bagaimana pendapatmu kalau saya terbunuh dalam peperangan ini?"  Jawab Nabi s.a.w., "Di syurga!"  Orang itu pun segera membuang beberapa biji kurma yang masih sisa di tangannya, kemudian dia maju bertempur hingga mati terbunuh. (Muttafaq 'alaih).


Salah satu kesan yang jelas kelihatan seseorang itu tenang menghadapi mati ialah apabila dia telah menyiapkan kain kafan dan kubur sebelum matinya.  Antara orang-orang yang bersikap demikian ialah 'Uthman ibnu 'Affan r.a., 'Aisyah dan Umar bin Abdul Aziz.  Mereka lakukan hal demikian tanpa ditegur oleh Nabi s.a.w.


Menurut riwayat Sahal r.a. ada orang yang pernah meminta sehelai kain burdah yang di pakai oleh Nabi s.a.w. dengan harapan kelak akan dipakai sebagai kain kafan,  Nabi s.a.w. memberikan burdah itu kepadanya.


Jika sikap manusia menghadapi maut ada dua macam, ada yang takut dan gelisah serta ada pula yang tenang dan senang, maka sudah tentu kita berharap termasuk golongan yang diberikan ketenangan oleh Allah s.w.t.


Bagaimana caranya dan betapa rahsianya?  Sudah tentu rumusnya tidak lepas daripada formula iman dan taqwa yang digariskan Allah s.w.t dalam al-Quran dan diterangkan Nabi s.a.w. dalam Hadithnya.


~Meyakini Kehidupan Akhirat Kekal Abadi~



Setiap orang yang beriman pasti meyakini bahawa kehidupan di dunia ini adalah sementara, dan kehidupan akhirat jua yang kekal abadi.  Nabi s.a.w. pernah menggambarkan bahawa hidup ini bagaikan orang yang berpergian jauh berteduh untuk seketika di bawah pohon, kemudian pergi meninggalkannya.  Dalam al-Quran banyak ayat di sana sini yang menjelaskan kehidupan dunia yang sedikit, dibandingkan dengan kehidupan alam akhirat yang lebih kekal dan lebih indah bagi orang yang bertaqwa.


Justeru sepatutnya setiap insan yang beriman harus lebih mencintai kehidupan di alam akhirat daripada dunia yang fana ini.. Setiap detik dan ruang waktu daripada kehidupan duniawi akan diisi sebanyak mungkin dengan amal soleh dan amal kebajikan.  Inilah sebaik-baik bekalan yang akan di bawa ke alam akhirat.

Dengan adanya keyakinan dan sikap serta persediaan yang sungguh-sungguh, insya-Allah seseorang itu dalam keadaan tenang, tidak takut dan tidak berdukacita menghadapi maut, malahan akan merasa rindu untuk bertemu dengan Allah.


~Rindu Bertemu Allah s.w.t.~


Allah s.w.t adalah kekasih kita yang kita kasihi lebih daripada mengasihi ibu bapa, anak dan isteri.  Di samping itu meyakini bahawa Allah juga mencintai dan mengasihi kita, lebih daripada kecintaan manusia yang sayang kepada diri kita.


Dalam hadith riwayat Muslim diterangkan bahawa sesiapa yang suka bertemu dengan Allah s.w.t. Allah pun suka menemuinya.  Orang yang demikian itu memandang kematian hanyalah sebagai jambatan penyeberangan untuk menemui Allah yang dicintai dan yang dirindui selama ini.


Bagaimana untuk sampai ke maqam mahabbah yang begitu tinggi?


Berusaha dan berikhtiarlah mengukuhkan keimanan dengan terus-menerus meningkatkan ilmu dan amal dengan sungguh-sungguh serta ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t.

CATATAN PADA 11.1.11 @ 11.11 p.m (11hb.  Januari, 2o11)


MEMORI

Kenangan silam 1970 an ~ dari kiri ayahanda Tn. Haji Rahmat (abang ipar Abah), Almarhum nenda Hj. Abd. Rashid (bapa tiri Abah), Almarhum ayahanda Hj. Mohamed Asru dan Almarhum ayahanda Hj. Asfandi


Abah dan adik bongsuku Norziela ~ pulang dari sekolah ~ awal 1980 an.










Abah dan Abangku Azhar juga anak saudara Abah, Nazrul M. Asru ketika menziarahi kaum kerabat di Medan, Indonesia pada tahun 1990 (dan juga beberapa ahli keluarga terdekat dari Malaysia turut serta)


Abang sulungku ~ Adnan membantu Abah di kebun.



Menghantar cucu-cucu ke sekolah tadika, Khairul Hafiz dan anakku Nurul Hannah tahun 2000.

Sewaktu di Hospital Kuala Lumpur menjalani rawatan selepas pengambilan dua dos ubat untuk kemoterapi bagi mengawal kanser usus yang telah merebak ke hati dan paru-paru (rawatan kemoterapi dihentikan sertamerta kerana terdapat jangkitan  dalam darah) - bulan Ogos 2010 (Ramadhan)
 
Berehat sebentar di rumah abangku Azhar di Bandar Tun Hussein Onn sekembali dari Hospital Kuala Lumpur menjalani rawatan susulan.


Adik beradik Abah.. (2 orang tiada dalam gambar Allahyarham ayahanda Rusdi -abang- dan Bonda Hajjah Marminah- kakak)


Emak di samping Abah... (awal bulan Disember,2010) Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohmu Abah.. dan di himpunkan bersama para solehin.. AL-FATIHAH.  Ya Allah berilah kesihatan yang baik buat bondaku dan rahmatilah kehidupannya.. Amiin.
Kasih sayangku buatmu Emak dan Abah..
Pelangi senja ~ 1 Disember, 2010
 


Saturday, August 21, 2010

RAMADAN O RAMADAN (bulan yang penuh RAHMAT DAN KEBERKATAN - hadiah dari ALLAH buat HAMBA-HAMBANYA yang berIMAN dan berTAQWA tunduk kasih kepada YANG MAHA PENCIPTA, YA ALLAH YA RABBUL JALIL)


Hari ini 11 Ramadan 1431H, maka sudah masuk hari ke 11 umat Islam seluruh dunia menjalani ibadah puasa. Semoga puasa di fasa pertama Ramadan ini (Inilah bulannya yang pada awalnya Allah menurunkan Rahmat,) yang telah berlalu di redhai Allah SWT dan di terima segala amalan kita dengan penuh ke Rahmatan dan kini kita memasuki fasa ke dua (di pertengahannya Allah memberikan keampunanNya) di ampunkan segala dosa-dosa.. maka hari-hari seterusnya bertambahlah lagi usaha kita mengerjakan amalan-amalan fardu dan amalan-amalan nafil (sunat) yang di hadiahkan Allah SWT berlipat kali ganda di bulan Ramadan yang mulia ini dari bulan-bulan lain kepada umat nabi Muhammad s.a.w.. Tanamkanlah azam dan semangat untuk sentiasa memperbaiki segala kelemahan diri dan memperbaharui amal yang tertinggal.. (peringatan buat diriku yang terlalu kerdil dan lemah ini..  Ya Allah!!!).

Sungguh kecewa jika kita melepaskan peluang keemasan ini begitu tanpa di manfaatkan. Ianya datang sebulan sekali dalam setahun.. adakah akan dipertemukan lagi kita di tahun mendatang.. Hanya Allah SWT pemegang kunci rahsia makhlukNya yang lebih mengetahui... Maka rebutlah peluang ini... saham akhirat yang sungguh berharga perlu di miliki oleh umat nabi Muhammad s.a.w. yang amat di kasihi Rasulullah s.a.w. dan penciptaNya.. Betapa Allah Ta'ala amat kasih dan sayang pada kita.. Ya Allah! Maka inilah hadiah yang perlu kita sambut dan terima dengan rasa syukur dan nikmat yang dikurniakan kepada hamba-hambaNya yang sentiasa beringat.


Mohonlah duhai insan, juga peringatan buat diriku basahilah bibirmu dan sucikan hati dengan mengucap kalimah Toyibbah dan beristighfar iaitu dua perkara yang amat di sukai oleh Allah dan perkara yang kamu tidak dapat lakukan tanpanya ialah kamu hendaklah bermohon kepada Allah untuk masuk syurga dan berlindung denganNya daripada dicampak ke dalam neraka Jahannam.. (Fasa ke 3 Ramadan pula pada akhirnya Allah membebaskan hambaNya daripada api neraka jahannam.)
 
"Ya Allah berikanlah kekuatan dan semangat buat diriku.. Ya Allah!!! Sehat sejahterakanlah diriku dan hamba-hambaMu untuk di permudahkan melakukan ibadah Ya Allah.. Sesungguhnya kepada Mu jua hambaMu sembah dan kepadaMu jua ku mohon perlindungan dan memohon petunjuk...Ya Allah ampunkan dosa-dosa kami.. yang banyak berbuat dosa dan kadangkala lalai mengerjakan perintahMu pada waktunya.. Kasihanilah kami Ya Allah sesungguhnya Kau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.. Salawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. yang amat kami kasihi.. Amiin"

Marilah kita hayati sabda Nabi s.a.w mengenai keutamaan Ramadan al-mubarak ini.. seperti yang diriwayatkan oleh Ibn. Khuzaimah di dalam sahihnya) yang bermaksud...



Salman r.a. meriwayatkan bahawa:

"Pada hari terakhir Sya'aban Rasulullah s.a.w. berkhutbah kepada kami: " Wahai manusia kini muncul kepadamu satu bulan yang besar (mulia), bulan yang tersangat berkat terkandung di dalamnya satu malam yang terlebih tinggi nilainya daripada seribu bulan.  Inilah bulannya Allah memfardukan puasa di siang hari  dan menjadikannya solat Tarawih sebagai sunnah di malam hari.  Sesiapa yang ingin menghampirkan diri kepada Allah (taqarrub) melalui amalan baik di bulan ini, maka akan dibalasi kepadanya dengan ganjaran seolah-olah dia melakukan amalan fardu di lain-lain bulan pada tahun itu.   Dan barangsiapa melakukan amalan fardu akan di balasi kepadanya dengan tujuh puluh amalan fardu pada bulan lain.  Inilah sesungguhnya bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran yang sejati ialah "JANNAH";  Inilah bulan simpati terhadap sesama lainnya, di bulan inilah rezeki orang-orang beriman di tambah.  Barangsiapa memberi makan (untuk berbuka puasa) kepada orang yang berpuasa maka kepadanya dibalasi dengan keampunan terhadap dosa-dosanya dan bebas daripada api neraka jahannam dan dia juga memperolehi ganjaran yang sama sebagaimana orang yang berpuasa tadi tanpa sedikitpun mengurangi pahala orang yang berpuasa itu.

Maka Kami pun berkata: "Ya Rasulullah, tidak kesemua kami mempunyai sesuatu yang dapat diberikan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka."  Jawab Rasulullah s.a.w. :  "Allah akan mengurniakannya balasan kepada orang yang memberi walaupun sebiji tamar kepada orang yang berpuasa, ataupun seteguk air atau sehirup susu untuk dia berbuka puasa."  

Inilah bulannya yang pada awalnya Allah menurunkan Rahmat, di pertengahannya Allah memberikan keampunanNya dan pada akhirnya Allah membebaskan hambaNya daripada api neraka jahannam."

Dan di dalam bulan ini berusahalah segiat-giatnya membanyakkan empat perkara. Dua di antaranya ialah untuk menyukakan Allah Taala sedangkan yang dua lagi kamu tidak boleh lakukan tanpanya.  Perkara yang dapat menyukakan Allah Taala ialah kamu hendaklah memperbanyakkan membaca "Kalimah Toyyibah dan beristighfar. Dan perkara yang kamu tidak dapat lakukan tanpanya ialah kamu hendaklah bermohon kepada Allah untuk masuk syurga dan berlindung denganNya daripada dicampak ke dalam neraka Jahannam.

"Dan barangsiapa memberi minum kepada orang yang berpuasa, maka Allah akan memberinya minum daripada telagaku (haud) yang sekali minum dia tidak akan kedahagaan lagi sehinggalah dia memasuki "JANNAH".


Ya RASULULLAH S.A.W ku amat merinduiMu ya kekasih Allah...

  Photobucket - Video and Image Hosting

Ya Rasulullah s.a.w. kau telah banyak berkorban demi umatMu Ya Rasulullah...


Di mana ada suatu ketika .. Ya Nabi Allah.. kau sanggup menahan lapar dengan meliliti perutMu yang kempis dengan sehelai kain yang berisi batu kerikil.. (Ya Allah sayunya hati ini dengan pengorbanan besarMu ini ya Rasulullah).

Ketika sahabat Nabi s.a.w. bertanya, mengapa Nabi s.a.w. berbuat demikian, "Ya Rasulullah! Adakah bila Tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan kami tidak akan mendapatkannya buat Tuan?"



Lalu Baginda s.a.w. menjawab dengan lembut, " Tidak para sahabatku.. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu.. Tetapi apakah akan Aku jawab di hadapan Allah nanti, apabila Aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?
Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah Allah buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak."

Ya Rasulullah... kau sanggup melakukan apa saja demi umatMu ya Rasulullah.. tetapi berapa ramaikah umatMu yang mengasihiMu dan mengikuti sunnahMu dan mendengar peringatan yang telah kau berikan untuk menyampaikan Amanah dari Allah S.W.T untuk umat-umatMu.
Tentunya Kau akan sedih melihat kelekaan sebahagian umat-umatMu kini.. lupa akan perintah Allah dan melanggar larangan Allah.. 


Walaupun pintu syurga telah terbuka luas buatMu ya Rasul pilihan namun do'aMu tidak pernah berhenti memohon syafaat dari Allah buat umatMu sehinggalah hampir tiba saat kembaliMu kepangkuan Allah SWT Ya kekasih Allah..

Kaulah pembimbing agung yang tiada tandingannya hingga kini.. 
Ya Habibi Ya Rasulullah... kami merinduiMu.. 

Ya Allah Ya Kareem.. Ku mohon rahmat dan kasih sayangMu Ya Allah!! Sesungguhnya Kau Maha Agung lagi Maha Suci.. Selamatkan umat Nabi Muhammad s.a.w. dan kekalkan hamba-hambaMu dalam Iman dan Taqwa.. Salawat dan Salam buat kekasihMu Ya Allah..
Ku amat MENCINTAIMU YA ALLAH, ALLAH PENGURNIA RAHMAT SEMESTA ALAM..


AMIIN.. AMIIN YA RABBAL ALAMIN..







Sunday, July 18, 2010

Kasih sayang orang yang memberi salam




"Tidak akan masuk syurga sehinggalah kamu beriman, dan tidak beriman sehinggalah kamu saling berkasih sayang, mahukah aku tunjukkan kepada kamu suatu perkara  yang apabila di lakukannya, kamu akan saling berkasih sayang.  SEBARKANLAH   SALAM   DI KALANGAN   KAMU."

~(HADITH RIWAYAT  MUSLIM)~

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails