Pages


Showing posts with label Abah. Show all posts
Showing posts with label Abah. Show all posts

Sunday, December 30, 2012

Thursday, August 25, 2011

Setahun lalu menggamit memori ~ Memori Ramadan bersama Arwah Abah tercinta ~


~Memori Ramadan 2~


Bulan Ogos hampir melabuhkan diri, terimbau kembali kenanganku bersama  Arwah Abah tercinta ketika mendapatkan rawatan lanjutan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, ke Hospital Kuala Lumpur...setahun yang lalu bersama surat doktor dan segala rekod juga keputusan CT Scan sebagai rujukan. 

5hb. Ogos, 2010,... Awal pagi bertolak ke K.L..  jam 9.20 pagi tiba di hospital.. Suamiku menghantar ke klinik pakar Jabatan Radioterapi dan Onkologi (atas bantuan En. Aiyri  kakitangan HKL menunjuk arah) first time appointment di HKL tak berapa tau lagi selok belok. (terkonfius ejaan sel'o'k bel'o'k sekarang ejaan yang betul u atau o ya!! tak kisahlah janji ada sebutan - tapi bagi pelajar sekolah sila rujuk pada guru ya!! - mak cik dah lama tinggalkan bangku sekolah ni!!)

Setelah mendaftar buat pertama kalinya di HKL.. tiba giliran berjumpa doktor.. Dr. Chan doktor pakar yang merawat  Abah.. check tekanan darah, ujian darah.. dan doktor meneliti segala rekod yang di kirim bersama dari doktor HTAR. Doktor memberi panduan padaku arahan untuk menjaga Abah sepanjang treatment pemakanan ubat kemo ini di rumah.. pada mulanya ku ingat ianya dilakukan di hospital.. cucuk itu ini bagai.. tapi rupanya hanya telan pil je.. owh okayla kan. Tapi fungsinya sama.. akan berlaku pelbagai kesan seperti rambut gugur, kurang selera makan, badan jadi lemah tak bermaya atau mungkin selepas makan ubat ini akan muntah.. (macam seksa je bunyinya tapi kita kena ikhtiar untuk badan boleh bertahan dan sesungguhnya Allah yang menyembuhkan segala penyakit dengan izinnya).


Berbekalkan ubat-ubatan berdozen-dozen dari farmasi.. ada lagi tiada dalam gambar..wow banyaknya!!  Ubat pink tu adalah ubat kemo yang doktor kata dosnya rendah bagi Arwah Abah kerana faktor usia dan fizikal Abah.. Selesai segala urusan kami balik ke rumah..

Pada hari Jumaat, 6hb. Ogos, 2010, Hari pertama memulakan makan ubat tersebut..
sejam kemudian berlaku tindak balas.. Badan Abah tiba-tiba menggigil.. ku pegang suhu badan Abah naik mendadak.. Abah langsung tak boleh nak menggerakkan badannya.. Selera makan langsung hilang.. Hati mulai risau.. macamana ni.? apa nak buat..? Ku segera hubungi HKL jabatan berkenaan.. Seorang staff menjawab panggilanku.. ku beritahu komplikasi yang sedang di alami oleh  Abah.. Pegawai perubatan tersebut memberi nasihat agar ku berhentikan sementara pengambilan ubat tersebut dan segera bawa Abah ke klinik terdekat. Ia mengarahkanku agar bawa Abah ke hospital pada hari Isnin berikutnya.


Selepas tu kubawa Abah ke klinik berdekatan bersama suami.. Abah demam!!  Beri Abah ubat paracetamol.   Kami jaga Abah dengan penuh kasih sayang.. Kakak yang banyak beri perhatian tentang pemakanan.. Emak ada di sisi jika Abah memerlukan dan ku yang tinggal berhampiran menjenguk Abah setiap waktu untuk membersihkan dan buat apa yang perlu ... Jadual pemakanan ubat adalah duti yang wajibku lakukan.


Badan Abah lemah dan seleranya hampir tiada.. badan semakin menyusut!! Apa yang dapat ku lakukan hanya  berdo'a agar Abah segera pulih dan kembali cergas. (Ku teringat sebelum bawa Abah ke hospital untuk appointment pertama di HKL Abah bersemangat selepas mimpi arwah Neneknya datang dan urut badan Abah.  Abah boleh berjalan ke kedai gunting rambut di hadapan rumah setelah sekian lama terbaring di katil.. Abah nampak bertenaga ketika itu..)


9hb. Ogos, 2010, bawa Abah ke hospital berjumpa doktor.. Doktor beritau mengikut pengalaman biasanya ubat tersebut bertindak balas agak perlahan.. kemungkinan komplikasi yang Abah dapat ketika itu bukan berpunca dari ubat kemo tersebut.. Doktor mengambil sample darah untuk kajian.. Doktor nasihatkan Abah berehat dan menunggu keputusan darah tersebut samada sesuai atau tidak untuk  sambung semula pemakanan ubat tersebut.. Alhamdulillah balik ke rumah dapatlah sambut puasa di rumah.  Mula berpuasa pada 11hb. Ogos, 2010. (1 Ramadan 1431H)


  

Kembali mendapatkan rawatan ke HKL pada hari Isnin 16hb. Ogos, 2010 (Abang Azhar hantar) untuk mengetahui keputusan ujian darah.. Doktor kata ada jangkitan kuman dalam darah.. dan Abah di tahan dalam wad Radioterapi dan Onkologi untuk pemeriksaan lanjut.  Ku menemankan Abah (dengan izin suami)..... tanpa membawa sebarang persalinan... huhuhu!!  Pengalaman ku berpuasa di hospital dan mengajarku erti kehidupan...   Bulan puasa susah bagi suamiku untuk ke KL ni dengan anak-anak bersekolah dan sudah tentunya untuk menempuh kesesakan jalan raya kota metropolitan.. jadinya apa yang ku pakai je laa sehelai sepinggang... bagi Abah tentunya memakai pakaian hospital..  tak pe lahh berkorban apa sahaja.. badanku berbau wangi tak salin pun tak pe.. ya la tu... errrr!!! Berapa hari pulak ni nanti di hospital?? Tak kan langsung tak salin.. huh!  Nasib baik abangku yang tinggal di Cheras.. baik hati.. sanggup balik ke rumahku di Kelang untuk mengambil sehelai dua persalinanku.. tapi ada juga barang keperluan yang anakku tertinggal untuk di kirimkan.

 
Pemandangan dari hospital... KLCC - macam dekat je kan!!

Hari pertama menjalani ibadah puasa di hospital...  Mencari makanan untuk berbuka di cafetaria hospital.. tanyakan pekerja di situ waktu sahur cafeteria di buka atau tidak.. jawapannya tidak!!  Macamana nak bersahur? Nampaknya kena sediakan awal untuk makanan bersahur.. beli kurma dan air mineral di hospital shoppe, roti paling mudah, air panas boleh buat di wad nampak ada milo dan susu di sediakan.. Waktu berbuka tiba. Penjaga pesakit kebanyakan berbuka di wad juga.. Nampak berselera je!!


Untuk menjalani ibadah tak menjadi masalah .. bilik solat dan kitab-kitab ada di kawasan wad. Alhamdulillah.  

Berada di wad sekurang-kurang doktor dan misi mengawasi perkembangan pesakit.. jadi tahu tahap kesihatan yang betul !!!  Wad ni di huni oleh pesakit pelbagai jenis kanser.. simpati dan sedih juga.. kebanyakan mereka sering muntah dan kurang selera makan.. masing-masing kelihatan lemah.. Alhamdulillah Abah jarang mengalami muntah-muntah sepanjang sakit.. Abah dapat berehat dengan tenang dan ada selera makan di hospital..


Menjelang malam.. tak de apa yang ku lakukan selepas solat isya' dan tarawih, berehat di sebelah Abah.. tak banyak sembang.. sesekali cuba melelapkan mata tapi.. awal sangat.. kebiasaan di rumah tidur jam 12.00 malam. Dapatlah tidur-tidur ayam.. Abah kejutkan jam 2.00 pagi untukku bersahur.. Abah ingat dah jam 5.00 pagi..  ku sambung tidur ayam.. biasalah kan di hospital mana boleh lena sangat!!   jam 5.00 bangun dan sahur.. Ambilkan Abah wudu' dan ku ke bilik solat, Solat Subuh, dan mengaji sehingga nampak cahaya terang di luar.. 


Abah di rawat seperti biasa, ambil tekanan darah dan di beri ubat.. Pakar pemakanan datang dan beri pengetahuan mengenai makanan berkhasiat untuk pesakit kanser.. Seperti Abah bubur dengan hidangan sayur-sayuran dan sedikit protin.. buah-buahan atau puding.  Apa saja yang Abah suka makan boleh di beri..

Abang Azhar ada beritahu Chow Kit tak jauh dari hospital.. jadi ku minta izin dari Abah untuk mencari barang keperluan.. lebih kurang jam 4.00 petang..ku redah je jalan yang ku sendiri tak tahu ikut je jalan utama luar kawasan hospital... berjalan kaki lebih kurang dalam tempoh 10 minit  ku dah sampai di Jalan Chow Kit.. lorrr dekat rupanya. Ku singgah di pasaraya UO membeli barang keperluan sebagai musafir hospital di bulan Ramadan.  Dalam perjalanan balik ke hospital singgah di bazar berhampiran hospital beli makanan untuk berbuka dan bersahur.. Nasi dan lauk ku asing untuk sahur..  Pagi tu sahurlah dengan nasi sejuk.. dan lauk sejuk!!! 


  
 Berjalan-jalan di Jalan Chow Kit..

Hari kedua atau ketiga (tak berapa ingat sebab tak catit) Abah terima darah sebanyak 1 pain.. Kemudian di bawa ke bilik x-ray.. makan ubat.. Ku temankan Abah untuk ke bilik air.. Tengahari abang Azhar datang ziarah Abah..


Waktu terluang berjalan sekitar kawasan hospital bersama 2 kawan baru yang sama-sama jaga anak atau suami.. melihat gerai-gerai  pin-pin baju, jual kuih dan pakaian..  Adalah capai satu dua.. dah depan mata nampak yang berkenan beli juga lahh!! Kemudian ke bazar makanan cari makanan untuk berbuka dan sahur.   Balik dari bazar nampak Emak datang ziarah Abah dengan adik ipar.. Seronok rasa hati Emak dapat datang.. Emak nak jaga Abah tapi ku tak benarkan.. biarlah Emak berehat di rumah lebih selesa.. 

Seperti hari sebelumnya tiada makanan panas untuk sahur... huhuhu!!! Redha dengan apa yang ada.


Tak berapa ingat berapa hari di hospital tapi rasanya dalam 4 hari.. doktor benarkan pulang.. tak perlu teruskan ubat kemo hanya teruskan dengan vitamin dan ubat tahan sakit sahaja.. Abang Azhar datang ambil.. dan kami pun pulang... Lega dapat balik.. Abah pun nampak sedikit cergas dan boleh berjalan.. Alhamdulillah.

Perjalanan pulang bawa Abah melihat panorama di Kuala Lumpur dan mengelilingi Tasik Perdana .. hanya melihat dari dalam kenderaan je!!! 

Inilah pengalaman yang tak dapat ku lupakan.. Ramadan terakhir bersama Abah..  Tinggal kenangan yang tersemat di jiwa.. Abah kami amat menyayangi Abah semoga Abah damai di sana dan segala kesakitan yang Abah alami dulu menebus segala kesalahan di dunia.  Sesungguhnya seseorang yang redha dengan kesakitan yang menimpanya merupakan peningkatan darjat keimanan seorang mukmin. Allah amat penyayang dan mengasihani hamba-hamba-Nya. AL-FATIHAH!!!

(Temujanji terakhir Abah di HKL 23hb. September, 2010 dan doktor memberi surat untuk rujukan doktor di HTAR, Klang.. dalam surat tersebut baru ku tahu Abah berada di stage 4, selepas itu tiada lagi ke hospital dan hanya rujuk pada doktor - Dr. Hj. Abd. Rani dan Suchipto rakan suami, yang datang ke rumah sewaktu Abah sedang tenat pada 30/11/2010.. dan Arwah Abah hanya ingin tinggal di rumah di saat akhirnya dan doktor  izinkan tidak perlu bawa ke hospital dan rawat dengan do'a dan ubat hingga Abah menghembuskan nafas teakhir di sampingku dan anakku Syima jam 9.55 pagi pada 25hb. Disember, 2010.  Emak sedang bersedia untuk mengambil wudu' waktu tu untuk membacakan Yaasin di sisi Arwah Abah..anak-anakku sedang mengaji di luar bilik.  Kakak menghubungi anaknya di Matrik Melaka dan adik beradik yang lain di hubungi.. )  Dengan iringan do'a semoga Allah mencucuri Rahmat keatas rohmu Abah..semoga Allah menghimpun Arwah Abah di samping para solihin.. AL-FATIHAH..




Monday, March 7, 2011

Hati di landa pilu

 Kenangan ~ Antara salah satu Kitab dan kacamata peninggalan Arwah Ayahanda tercinta...

Tetiba hari ini hatiku di landa kepiluan yang tak boleh di gambarkan dengan kata-kata...perasaanku mengundang sebak mencengkam kalbu terimbau kenangan bersama Emak dan Abah... Selalu pun rindu gak.. tapi hari ni rasa lain sangat.. nape ya!!! Rindu kat emak, masih boleh di capai tangan ku peluk cium emak erat-erat boleh ku bermesra manja... rindu teramat sangat kat Abah.. hanya do'a yang dapat ku titipkan.. Ya Allah!!! Terasa yang amat sangat Abah tak de di sisi lagi. Kekerapan ku bersama Abah sepanjang sakit selama setahun itulah jadi kenangan pengubat rindu.... Abah! Ayang sayang Abah sesangat.. sekarang anak-anak akan jaga Emak dengan sebaik mungkin... Emak pun rindu Abah gak!!!!

AL-FATIHAH...

"Dengan Nama Allah Yang Amat Pemurah lagi Amat Penyayang" 


"Ya Allah kau peliharalah  bapa tercintaku dan cucuri rahmat keatas roh Bapaku di samping orang-orang yang di kasihi olehMu.. Ampunkanlah segala dosanya dan terimalah segala amalan baiknya..  Ya Allah... Peliharalah keluarga kami dalam kesejahteraan dan berikanlah kami keampunan.. tunjukanlah kami jalan yang di redhai oleh Mu Ya Allah!! Berikanlah ketenangan ke atas kami..  Sesungguhnya kau Maha Pengampun lagi penuh dengan Rahmat kasih sayang..".


"Ya Allah permudahkanlah tugasan ku hari ini.. dan seterusnya.. Murahkanlah rezeki kami Ya Allah.. Sesungguhnya kau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui isi hati hamba-hambaMu.. Amiin"



Friday, January 28, 2011

Majlis Tahlil anjuran unit kebajikan khairat kematian (Biro Kebajikan dan Sosial Masjid Asy-Syarif Meru)

Khamis 27.01.2011:


Setiap malam Jumaat Masjid Asy-Syarif Meru mengadakan majlis Tahlil dan bacaan Yaasin.. Semalam 27.01.2011 saya dan suami mewakili bagi pihak waris Allahyarham Abah di jemput untuk menghadiri majlis tersebut oleh AJK masjid bahagian unit kebajikan khairat kematian bagi ahli keluarga mereka yang telah kembali ke Rahmatullah pada bulan Disember 2010 dan Januari 2011. 

Selepas solat maghrib berjemaah, diikuti majlis tahlil dan bacaan Yaasin juga do'a yang di ketuai oleh Imam Masjid, yang berbahagia ketua kampung menyampaikan sumbangan berupa wang, surah Yaasin dan sejadah kepada seorang  ahli waris setiap wakil keluarga Allahyarham dan Allahyarhamah .. 
Alhamdulillah! Ku sungguh terharu sekali atas apa yang dilaksanakan oleh AJK Masjid dan ADUN Meru atas usaha mereka menjaga kebajikan penduduk di kariah masjid dan kariah surau-surau sekitar Meru.  Kehadiran ramai ahli jemaah lelaki dan wanita menunaikan solat fardhu berjemaah dan juga setiap kali ada majlis pengajian ilmu atau majlis amal di masjid ini juga sungguh menggalakkan..Alhamdulillah..  Selain itu turut di sampaikan sumbangan hadiah kepada pelajar cemerlang UPSR, PMR dan SPM disusuli dengan jamuan makan selepas menunaikan solat Fardhu Isya'.  

Turut hadir ialah sahabatku Dr. Nila Ratna binti Hj. Suien yang turut sama mengambil hadiah kecemerlangan SPM di wakili oleh suaminya  untuk anakanda yang di kasihi Allahyarham Luqman Hakim Bin Zamalolaily yang kembali ke Rahmatullah pada Januari 21, 2010 setahun yang lalu akibat kemalangan jalanraya tak jauh di tempat anakku  kemalangan tempohari.. Al-Fatihah.. semoga rohnya di cucuri rahmat oleh Allah s.w.t dan di himpunkan bersama para solehin.. (Allahyarham tiada kesempatan mengetahui keputusan peperiksaan kerana peristiwa itu berlaku semasa Allahyarham sedang menunggu keputusan SPM). Dr. Nila juga menghadiahkan sebuah kitab surah Yaasin buatku bagi mengingati tahun pertama kembalinya anaknya disisi Allah..

Ku dan suami mewakili bagi pihak keluarga Allahyarham Ayahanda Hj. Asfandi mengucapkan setinggi penghargaan di atas sumbangan ini dan semoga Allah s.w.t merahmati jemaah yang menghadiri majlis tersebut dan juga pihak AJK masjid Asy-Syarif dan juga kepada wakil rakyat YB Dr. Hj. Abd. Rani diatas amal bakti mereka. Tak ketinggalan buat yang di hormati Kak Hajjah Rahemah binti Mohd. Kassim merangkap ketua biro diatas jemputan khas tersebut.

25.12.2010 - 25.01.2011 genap sebulan Allahyarham Ayahanda pulang ke alam baqa'.... Kasih sayangmu Abah... tiada pernah luput dalam ingatan kami..  AL-FATIHAH...


"Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda. Ya Allah ajarkan kepada kami ‘ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada ‘ilmu yang Kau ajarkan. Ya Allah, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang istiqamah dan ikhlas mentaati-Mu. Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid.  Ya Allah, Rahmatilah roh-roh para rasul, anbiya', ahli keluarga, para mujahid, mukminin dan mukminat, kurniakanlah kesejahteraan dan kebahagiaan mereka di alam baqa' dan di akhirat kelak... Amin Ya Rabbal Alamin."

Tuesday, January 25, 2011

25-12-2010 ~ 25-01-2011 (Abah sentiasa di hati kami - AL-FATIHAH)


Hari ini 25.01.2011 genap sebulan Abah menemui Al-Khaliq Yang Maha Esa... AL-FATIHAH

"Ya Allah ampunkanlah segala dosa-dosanya dan terimalah segala amalan baiknya..lapangkanlah rumah barunya, tempatkanlah ia di taman-tamanmu yang indah... sejahterakanlah dan cucurilah rahmat kebahagiaan ke atas rohnya Ya Allah... dan himpunkanlah ia bersama para solehin.. Amiin".

Kami sentiasa menyayangi dan merinduimu Abah. Tidak sesekali kami lupakan segala jasa baktimu yang tidak terbalas oleh kami duhai Abah.... Ketabahan dan sifat sabar Abah mengharungi segala keperitan dan kepayahan tanpa keluh kesah agar berbalas pahala kebaikan.. Akhirnya Abah di samping isteri tercinta menguntum senyum bahagia di kelilingi kasih sayang anak cucu dan insan-insan yang di sayangi menikmati kesederhanaan kesenangan..   Kasih sayang Abah yang di curah sentiasa membelai jiwa yang merindu..  Allah s.w.t. lebih menyayangimu.. Abah telah hampir dengan Allah.. telah mengetahui rahsia di alam sana.. apakah isi dan kandungannya.. hanya kami tidak mengetahui khabar di sana. Bagaimanakah suasananya?? Hanya Allah ta'ala dan para malaikat yang mengetahuinya.. Do'a kami Abah bergembira dan sedang berbahagia di sana sambil menikmati keindahan yang tidak pernah kau temui di dunia.. 
Ya Allah sampaikan salam rinduku buat Abah.. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan sentiasa mendengar bisikan kalbu hambanya.. Ku mohon pada Abah do'akan keselamatan, kebahagiaan kami di dunia di akhirat dan di lindungi dari segala gangguan kejahatan keatas kami anak cucu dan zuriat Abah di dunia ni ya!!  

Tiga amalan yang tidak memutuskan hubungan dunia dan alam baqa' buat insan di sana.. do'a anak yang soleh, amal jariah dan ilmu yang di ajar sewaktu hidup dan di manafaatkan oleh pengamalnya..
Hadis riwayat Muslim ~ "Jika anak Adam meninggal dunia, maka amalnya terputus kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah (wakaf)., ilmu yang bermanafaat dan anak soleh yang berdo'a kepadanya".

Kita yang masih bernyawa, roh yang masih menemani jasad... harus terus berusaha memperbaiki kesilapan dan menambah segala ruang kosong yang kekurangan amal dalam jiwa.. sentiasa ingatkan diri.. Jangan jemu mendengar nasihat yang berulangkali.. ia tidak merugikan.. Ingatkan pada diri jangan lupa mendo'akan mereka yang telah pergi mendahului.. kelak kita akan menyusul datang menemui Allah Yang Maha Esa.. Sudahkah kita siap dengan bekalan?? 

O Allah.. tetapkanlah kami dalam iman dan janganlah di bolak balikkan hati setelah kau beri peringatan dan petunjuk jalan.. Tetapkanlah hati kami patuh akan perintahMu dan menjauhi segala kemungkaran.. Bersihkanlah jasad dan roh kami bila bertemu dengan Mu.. Kami insan yang terlalu lemah dan banyak melakukan kesilapan.. Ampuni kami Ya Allah! Sungguhnya Kau Maha Pengampun lagi Amat Mengasihani."

Tuesday, January 11, 2011

Ku Rindu (11.1.11 @ 11.11 PM)

Nostalgia ~ kenangan pertengahan tahun 1980 an Abah dan Emak berlatarkan rumah pusaka tempat kelahiran kami adik beradik. (Baju sedondon lagi - Baju Abah dan Emak hasil jahitan tangan Emak sendiri.. Sayang Abah dan Emak)
Halaman yang menghijau di jaga oleh Abah dan Emak.. bersih dan nyaman suasana ketika itu... Kami rindu!!!

Salam rindu....,
Ku rindu menatap wajahmu..
Ku rindu berbicara denganmu.. tapi kini bicaraku di titip dalam do'a buatmu Abah, 
Ku dakap rindu memohon ke hadrat Illahi agar kau bahagia, tenang dan damai di sana.. 
Kini pelukan ku bertambah erat buat Emak yang amat kami kasihi..

Abah,  ketika ku berkunjung ke pusaramu (9/1/2011) bersama kak Fizah dan Norzie..
Di waktu yang sama (siang hari) Nabilah anak sulungku sedang tidur di rumah dan pada waktu itu beliau bermimpi bertemu Abah (Atoknya).. dan dalam mimpi Atok berpesan "Jangan tinggal solat"..
Airmatanya menitis dan sebak kerana kerinduan pada Atok di sayangi yang ambil berat diri cucu-cucu. Beliau terimbau kembali ketika pergi dan balik sekolah bilamana bapa mereka sibuk Atoklah yang mengambil dan menghantar cucu-cucu ke sekolah.. Semoga peringatan dalam mimpinya itu menjadikan anak cucu sentiasa patuh dengan suruhan Allah dan tidak melengah-lengahkan solat..!!


Abah, ku coretkan beberapa keratan catatan motivasi yang di petik dari buku koleksi Abah, "Mengubat DUKA LARA" ~ ilmu dari Allah yang telah di susun oleh Ustaz Safwan Fathy dalam kitabnya agar menjadi panduan kami.... 


~Menganggap Mati Sebagai Satu Istirahat..~


Apabila kita menyedari bahawa mati sebenarnya adalah satu istirahat yang panjang, yang melegakan kita dengan syarat kita menjadi insan soleh semasa hidup di dunia ini.  Hal ini sesuai dengan sepotong hadith riwayat Abi Qatadah, bahawa ada jenazah lalu di hadapan Rasulullah s.a.w., maka Baginda s.a.w. bersabda, "Dia beristirahat dan orang lain beristirahat daripadanya." Maka bertanyalah para sahabat, "Apakah maksud dia beristirahat dan orang yang lain beristirahat daripadanya?"


Jawab Nabi s.a.w. :  "Orang yang beriman, dengan kematiannya itu maka dia beristirahatlah daripada kepayahan dunia.  Dan orang yang jahat dengan kematiannya itu, maka manusia, negeri, pohon-pohon dan binatang terlepas daripada gangguannya." (Muttafaq'alaih)


"Sesungguhnya mereka yang telah mengakui Allah Tuhan kami, kemudian bersikap istiqamah (lurus), akan turun Malaikat kepada mereka untuk menghibur dengan kata-kata:  Jangan takut dan jangan berdukacita, dan bergembiralah kamu dengan syurga yang dijanjikan kepada kamu.  Kami (Allah) sebagai Pelindung kamu pada masa hidup kamu di dunia dan di akhirat.  Dan untuk kamu didalamnya (tersedia) apa-apa yang diinginkan oleh diri kamu, dan bagi kamu di dalamnya (tersedia) apa-apa yang kamu minta.. Sebagai hidangan daripada Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang." (Surah Fussilat: 30-32) 

Dengan ayat tersebut jelaslah bahawa orang yang beriman dan beristiqamah dalam menghayati ajaran Allah s.w.t. nescaya akan dijauhkan daripada perasaan takut (cemas) dan dukacita, sebaliknya akan memperoleh ketenangan jiwa.  Dan seterusnya di akhirat nanti akan di hidangkan dengan pelbagai kenikmatan yang tidak terperi, kegembiraan dan kebahagiaan yang kekal abadi dengan rahmat dan izin Allah s.w.t. jua.


Ya terdapat pelbagai keterangan memberikan gambaran adanya antara hamba-hamba Allah yang di anugerahi ketenangan menghadapi maut.  Mereka menghadapi saat-saat kematian itu dengan damai dan tenang, tidak cemas dan khuatir, bahkan ada yang mencintai mati (syahid) lebih daripada mencintai hidup.  Mereka itu adalah para Nabi, siddiqin, syuhada' dan para solehin pada umumnya.


Rasulullah s.a.w. sendiri pada waktu hampir kewafatannya, Baginda menunjukkan ketenangan yang terbayang daripada sikapnya mahupun perkataannya.  Anas r.a. mengungkapkan ketika makin berat sakit Rasulullah s.a.w., Fatimah r.anha berkata, "Alangkah berat penderitaan ayah!"  Jawab Nabi s.a.w., "Tidak lagi ayah menderita kesukaran sesudah hari ini!"

Setelah Rasulullah s.a.w. wafat, Fatimah r.anha berkata, "Wahai ayahanda, ayahanda telah menyambut panggilan Tuhan.  Wahai ayahanda, syurga Jannah al-Firdaus tempatnya..."  Demikian menurut al-Bukhari.

Ibnu Mas'ud menyapa Nabi s.a.w. ketika sakit, "Wahai Rasulullah!  Sungguh serius demam ini..!"  Nabi s.a.w. menjawab, "Benar, saya menderita panas dua kali ganda daripada orang biasa."

Berkata Ibnu Mas'ud, " Benar kerana anda memperoleh pahala dua kali ganda daripada orang biasa."  Jawab Nabi s.a.w., "Demikianlah halnya!  Tidak seorang Mukmin menderita gangguan apa pun, baik berupa duri atau lebih daripada itu, melainkan Allah akan menghapuskan dosanya, laksana gugurnya daun dari pohon."  (Muttafaq 'alaih).

Para sahabat Nabi s.a.w. menunjukkan ketenangan dan tidak takut menghadapi kematian.  Ya, mereka tenang, bahkan merindukan mati syahid di jalan Allah.


Umar Ibnu al-Khattab r.a. pernah berdo'a agar dijadikan mati syahid di kota Rasul.  Do'anya di makbulkan Allah, beliau mati syahid di dalam masjid terbunuh oleh perbuatan musuh Islam.


Uthman ibnu 'Affan r.a. ketika di kepung musuh-musuhnya yang akan menumpahkan darahnya, beliau tetap tenang membaca al-Quran.


Jabir memberitahu, bahawa di dalam Peperangan Uhud, ada seorang yang bertanya kepada Nabi s.a.w. "Bagaimana pendapatmu kalau saya terbunuh dalam peperangan ini?"  Jawab Nabi s.a.w., "Di syurga!"  Orang itu pun segera membuang beberapa biji kurma yang masih sisa di tangannya, kemudian dia maju bertempur hingga mati terbunuh. (Muttafaq 'alaih).


Salah satu kesan yang jelas kelihatan seseorang itu tenang menghadapi mati ialah apabila dia telah menyiapkan kain kafan dan kubur sebelum matinya.  Antara orang-orang yang bersikap demikian ialah 'Uthman ibnu 'Affan r.a., 'Aisyah dan Umar bin Abdul Aziz.  Mereka lakukan hal demikian tanpa ditegur oleh Nabi s.a.w.


Menurut riwayat Sahal r.a. ada orang yang pernah meminta sehelai kain burdah yang di pakai oleh Nabi s.a.w. dengan harapan kelak akan dipakai sebagai kain kafan,  Nabi s.a.w. memberikan burdah itu kepadanya.


Jika sikap manusia menghadapi maut ada dua macam, ada yang takut dan gelisah serta ada pula yang tenang dan senang, maka sudah tentu kita berharap termasuk golongan yang diberikan ketenangan oleh Allah s.w.t.


Bagaimana caranya dan betapa rahsianya?  Sudah tentu rumusnya tidak lepas daripada formula iman dan taqwa yang digariskan Allah s.w.t dalam al-Quran dan diterangkan Nabi s.a.w. dalam Hadithnya.


~Meyakini Kehidupan Akhirat Kekal Abadi~



Setiap orang yang beriman pasti meyakini bahawa kehidupan di dunia ini adalah sementara, dan kehidupan akhirat jua yang kekal abadi.  Nabi s.a.w. pernah menggambarkan bahawa hidup ini bagaikan orang yang berpergian jauh berteduh untuk seketika di bawah pohon, kemudian pergi meninggalkannya.  Dalam al-Quran banyak ayat di sana sini yang menjelaskan kehidupan dunia yang sedikit, dibandingkan dengan kehidupan alam akhirat yang lebih kekal dan lebih indah bagi orang yang bertaqwa.


Justeru sepatutnya setiap insan yang beriman harus lebih mencintai kehidupan di alam akhirat daripada dunia yang fana ini.. Setiap detik dan ruang waktu daripada kehidupan duniawi akan diisi sebanyak mungkin dengan amal soleh dan amal kebajikan.  Inilah sebaik-baik bekalan yang akan di bawa ke alam akhirat.

Dengan adanya keyakinan dan sikap serta persediaan yang sungguh-sungguh, insya-Allah seseorang itu dalam keadaan tenang, tidak takut dan tidak berdukacita menghadapi maut, malahan akan merasa rindu untuk bertemu dengan Allah.


~Rindu Bertemu Allah s.w.t.~


Allah s.w.t adalah kekasih kita yang kita kasihi lebih daripada mengasihi ibu bapa, anak dan isteri.  Di samping itu meyakini bahawa Allah juga mencintai dan mengasihi kita, lebih daripada kecintaan manusia yang sayang kepada diri kita.


Dalam hadith riwayat Muslim diterangkan bahawa sesiapa yang suka bertemu dengan Allah s.w.t. Allah pun suka menemuinya.  Orang yang demikian itu memandang kematian hanyalah sebagai jambatan penyeberangan untuk menemui Allah yang dicintai dan yang dirindui selama ini.


Bagaimana untuk sampai ke maqam mahabbah yang begitu tinggi?


Berusaha dan berikhtiarlah mengukuhkan keimanan dengan terus-menerus meningkatkan ilmu dan amal dengan sungguh-sungguh serta ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t.

CATATAN PADA 11.1.11 @ 11.11 p.m (11hb.  Januari, 2o11)


MEMORI

Kenangan silam 1970 an ~ dari kiri ayahanda Tn. Haji Rahmat (abang ipar Abah), Almarhum nenda Hj. Abd. Rashid (bapa tiri Abah), Almarhum ayahanda Hj. Mohamed Asru dan Almarhum ayahanda Hj. Asfandi


Abah dan adik bongsuku Norziela ~ pulang dari sekolah ~ awal 1980 an.










Abah dan Abangku Azhar juga anak saudara Abah, Nazrul M. Asru ketika menziarahi kaum kerabat di Medan, Indonesia pada tahun 1990 (dan juga beberapa ahli keluarga terdekat dari Malaysia turut serta)


Abang sulungku ~ Adnan membantu Abah di kebun.



Menghantar cucu-cucu ke sekolah tadika, Khairul Hafiz dan anakku Nurul Hannah tahun 2000.

Sewaktu di Hospital Kuala Lumpur menjalani rawatan selepas pengambilan dua dos ubat untuk kemoterapi bagi mengawal kanser usus yang telah merebak ke hati dan paru-paru (rawatan kemoterapi dihentikan sertamerta kerana terdapat jangkitan  dalam darah) - bulan Ogos 2010 (Ramadhan)
 
Berehat sebentar di rumah abangku Azhar di Bandar Tun Hussein Onn sekembali dari Hospital Kuala Lumpur menjalani rawatan susulan.


Adik beradik Abah.. (2 orang tiada dalam gambar Allahyarham ayahanda Rusdi -abang- dan Bonda Hajjah Marminah- kakak)


Emak di samping Abah... (awal bulan Disember,2010) Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohmu Abah.. dan di himpunkan bersama para solehin.. AL-FATIHAH.  Ya Allah berilah kesihatan yang baik buat bondaku dan rahmatilah kehidupannya.. Amiin.
Kasih sayangku buatmu Emak dan Abah..
Pelangi senja ~ 1 Disember, 2010
 


Friday, December 31, 2010

Di awal dan di akhirnya... ABAH yang di kasihi kembali ke pangkuan Illahi (IN LOVING MEMORY OF AYAHANDA HJ. ASFANDI B. SIPON)

Kunjunganku bersama anak-anakku Nurul 'Ain, Nurhasyimah dan Muhammad Firdaus di pagi Jumaat 31.12.2010
ke pusara Ayahanda tercinta.. AL-FATIHAH

frames

"Wahai Tuhanku, ampunilah akan dia, rahmatilah akan dia, afiatkan dia dan maafkanlah akan dia.
Muliakanlah persinggahannya, dan luaskanlah tempat masuknya.
Bersihkanlah akan dia dengan air, salji dan dengan air batu.
Dan bersihkanlah akan dia dari segala kesalahan sebagaimana dibersihkan kain putih daripada kotoran.
Dan berikanlah ganti rumahnya yang lebih baik dari rumahnya di dunia.
Dan berikanlah ahli yang lebih baik dari ahlinya di dunia.
Dan pasangan yang lebih baik dari pasangannya di dunia.
Dan masukkanlah akan dia ke dalam syurga dan lindungilah dia dari azab kubur.
Dan dari azab neraka. " Amiin...

(Dari Hadis Riwayat Muslim).

31.12.2010 ~ Telah 7 hari berlalu, pemergian seorang insan mulia yang amat kami cintai dan kasihi pergi buat selama-lamanya ke alam barzakh pada tanggal 25 Disember, 2010 hari Sabtu bersamaan 19 Muharam 1432 H lebih kurang jam 10.00 pagi, Ayahanda tercinta Hj. Asfandi b. Sipon telah menyahut panggilan Illahi dalam keadaan sabar dan tenang.. di usia 79 tahun.. Amat lembut menghembuskan nafas terakhir di sampingku dan anakku Nurhasyimah yang membisikan kalimah Allah di telinga kanannya.. di samping bacaan Yaasin oleh anak-anakku yang lain.. dan emak yang telah menjaganya di sebelah malam dan bacaan Yaasin selepas Subuh oleh kakakku.. sewaktu hujan rahmat turun di awal pagi..

Pada pagi itu Abah dapat meneguk sedikit air Yaasin dan setelah ku selesai membersihkan dirinya ... dengan iringan kalimah-kalimah suci perlahan-lahan beliau menghembuskan nafas terakhir dengan kalam Allah dan memejamkan matanya dengan tenang..


Kami sekeluarga Redha atas pemergiannya, dimana Abah yang telah mengharungi ujian Allah s.w.t berjuang melawan sakitnya selama setahun, walaupun ia tidak pernah mengeluh  kesakitan, dengan rahmat kasih sayang Allah s.w.t. yang sentiasa melindungi Abah dengan sifat sabarnya yang amat tinggi.. Sehinggalah telah hampir ke akhir hayatnya di uji dengan gegaran dan kebingitan tapi sifat kesabaran ia tenang menghadapinya.. Semoga Allah s.w.t menerima segala amalan baiknya dan mengampuni segala kesalahan.  Kami cuba belajar dari sifat sabar dan ketabahan Abah yang telah banyak mengharungi suka duka hidup di sepanjang hayatnya..


Alhamdulillah urusan pengendalian jenazah berjalan lancar dengan diketuai oleh Ustadz Hj. Salleh dan pembantunya Tuan Hj. Johari yang menguruskan segala keperluan menguruskan jenazah termasuk van jenazah juga anak cucu Abah yang turut serta memandikan jenazah buat terakhir kalinya.. Selesai di mandikan jenazah di bawa masuk dan di kapankan.. Ketika pengurusan kapan sedang dijalankan.., ia di iringi dengan bacaan tahlil di ketuai oleh Tok ketua kampung Tuan Hj. Thaifoor atas permintaan suamiku memberi penghormatan padanya sebagai ketua kampung. 

Kehadiran saudara mara terdekat yang banyak membantu, jemaah masjid, jiran tetangga, rakan-rakan yang sentiasa mendo'akan Allahyarham Abah yang di kasihi.. YB Dr. Hj. Abd. Rani b. Hj. Osman (Adun Meru) juga turut hadhir menyampaikan takziah. (Kesanggupan YB yang datang menziarahi Abah seawal 8.00 pagi pada 30hb. November, 2010 lalu ketika uzurnya Abah dan memberi rawatan percuma teramat sangat kami dan keluarga hargai.. inilah satu-satunya contoh pemimpin yang menjalan tugasnya dan berbakti kepada rakyat walau dalam keadaan apapun ia sangat mengambil berat kepentingan penduduk - khidmat yang dilaksanakan oleh beliau sebagai pemimpin ada di blog ini).


Sewaktu azan Zuhor sedang berkumandang jenazah telah tiba di masjid dan di letakkan di tengah dewan solat... Selesai solat Zuhor, Imam dan para jemaah masjid serta ahli keluarga, saudara mara dan jiran menunaikan solat jenazah, dan sebahagian darinya mengiringi jenazah ke tanah perkuburan Islam Pekan Meru.. tidak jauh dari rumahku..

Setiba di tanah pusara jam 2.00 petang, liang lahad telah bersiap sedia menerima penghuni barunya.. Abang-abangku Adnan, Adzlan dan Azhar telah menanti di liang lahad untuk menyambut jasad Ayahanda. Selesai urusan di liang lahad dan tanah merah lembut melitupi ruangan.. talkin dibaca dan ketika itu cuaca amat baik sekali, tidak begitu panas, awan berarak melindungi mentari, suasana sungguh nyaman di mana pokok-pokok bagaikan kipas mengikut alunan angin yang berhembus mendinginkan pengunjung yang menghadiri pemakaman ini.

Kehadiran seekor kupu-kupu kuning yang sungguh cantik menawan mengelilingi ku beberapa kali dan hinggap di tudungku.... Makhluk kecil ini juga berzikir mengiringi bacaan talkin menyejukan jiwaku yang sedang berduka dan Allah Maha Berkuasa dimana tiada titisan airmataku yang mengalir sedangkan sebelum itu aku amat takut bagaimana kiranya menghadapi situasi bila kehilangan orang tersayang.. Allah memberi kekuatan buat diriku menghadapi saat sukar ini.. Diriku, emak dan adik beradik redha atas kehendak Allah s.w.t dan semoga Allah menerima dan redha atas perlakuan anak-anak Abah.

Selesai pemakaman dan mereka yang hadhir masing-masing mula beredar meninggalkan tanah perkuburan, tinggal kami 5 beradik (Abang Adnan, Abang Adzlan, Kak Norafizah, Abang Azhar dan diriku - 2 orang lagi adik perempuan ku Noraini dan Norziela menemankan emak di rumah bersama saudara mara) tidak berganjak kerana menanti kehadiran adik lelakiku Akmal yang baru tiba dari Pekan, Pahang lebih kurang jam 2.30 petang. Berkumpullah kami 6 beradik di samping pusara Abah ketika itu dengan mendo'akan kesejahteraan Abah di alam persinggahan sementara menanti hari kebangkitan kelak. Kami mendo'akan Abah damai di sana. 


Abah, kami amat merinduimu.. menghadapi saat ketiadaan mu pada awalnya memang sukar.. ku tidak dapat menahan sebak ketika membaca kitab suci Al-Qur'an untuk dihadiahkan buat mu Abah.. terimbau kembali ketika saat bersama Abah di hospital, dan menjaga Abah ketika sakitmu di pembaringan.. rindu mengaji di sisi Abah, menyuapkan makan dan minum juga membersihkan Abah.. Minta maaf Abah kiranya adakala ketika membersihkan Abah ada anggota yang terasa sakit..dan redhakanlah setiap tingkah lakuku sepanjang mengurus Abah.  
"Ampunkanlah segala kesalahan Ayang ya Abah..Redhakan emak dan kami anak-anak Abah semua.."... Abah mengangguk.. ketika sedarnya.. Lega hatiku.. Abah tak pernah menyimpan perasaan marah.. Abah seorang insan yang amat baik pekertinya.. begitulah pandangan jiran, saudara mara, jemaah masjid dan rakan-rakannya..

Sesungguhnya Allah maha Pengasih, para Malaikat  sentiasa mendo'akan dan memohon keampunan buat Abah ketika sakit.. Apatah lagi Abah menerimanya dengan Redha dan sabar..  Do'a dari kami agar Abah tenang di sana dan Allah merahmati roh Abah dengan rahmat kasih sayangnya dan menempatkan Abah di kalangan para syuhada' dan para solehin di taman-taman indah di alam barzakh dan mudah-mudahan syurga Firdaus menantimu Abah. Tak lupa juga do'a buat roh Allahyarham adik Abah yang amat di kasihinya Hj. Mohammed Asru yang terlebih dahulu kembali ke Rahmatullah pada hari Isnin, 10hb. Mei, 2010.. Memori tersebut di N3 ini.. Semoga roh mereka sentiasa di cucuri Rahmat dan mendapat tempat yang mulia di sisi Allah s.w.t.  Pusara Abah berdekatan dengan pusara bapa saudaraku ini..


Pusara Abah dan kelihatan pusara adiknya (yang kelihatan anakku di situ)
(pagi Jumaat 31.12.2010)


Abah meninggalkan kami di hari-hari terakhir bulan akhir di tahun masihi dan di awal bulan Islam yakni Muharam.. Abah menghakhiri hayatnya di awal tahun hijrah dan di akhir tahun masihi.. Kami amat bersyukur mempunyai Abah sebaik Abah..begitu juga Emak yang telah mendidik dan mengasuh kami sedari kecil hinggalah boleh berdikari dengan pertolongan Allah s.w.t.

Kami kasih dan sayang pada Abah dan Emak..  Walaupun kini Abah tiada di samping namun Abah sentiasa di hati kami dalam do'a kami agar Abah damai dan berbahagia di sana bersama mereka yang di kasihi Allah s.w.t...


Terima kasih buat segala do'a yang di kirim oleh saudara-saudara muslimin dan muslimat semua.. Semoga Allah sentiasa merahmati dan mengampuni kita dan berbahagia  hidup di dunia dan di akhirat.

 Pohon besar dengan daunan rimbun dan buahnya yang lebat menaungi pusara Abah dan penghuni di sekelilingnya.... Kicauan burung berzikir dan berdo'a buat penghuni alam itu..
 (pagi Jumaat 31.12.2010) 

AL-FATIHAH!
"Semoga Allah mencucuri rahmat dan ke bahagiaan ke atas roh ayahanda Hj. Asfandi b. Sipon di sisi Allah s.w.t. bersama kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh. Amiin."
I love you and always cherish you inside my heart.. and you are always in my prayers. Miss you so much...

Wednesday, July 14, 2010

Apakah penawar penyakit KANSER / BARAH?


Rabu... 7hb. Julai, 2010, 12.30 p.m.

Menziarahi kakak ipar, kak Ngah di Hospital Universiti, Kuala Lumpur bersama Che' Abang dan kak Utih (kakak ipar).  Kak Ngah telah selamat menjalani operation membuang kanser rahang pada 3hb. Julai, 2010.. Sayu melihatnya apabila keadaannya yang tidak boleh bercakap dengan kesan jahitan yang begitu besar di bawah bibir dagu, leher hingga ketelinga.

Semasa tiba beliau sedang di rawat oleh doktor dan jururawat.. keadaannya dah semakin baik...juga dah boleh duduk di kerusi dan berjalan walaupun dalam keadaan masih lemah lagi..Kak Ngah tidak boleh berbicara lagi kerana keadaan mulutnya yang masih bengkak dan kesan jahitan yang begitu banyak.  Hanya menjawab pertanyaan dengan menulis di atas kertas yang di sediakan oleh anak tunggalnya. Makanannya hanya susu di masukkan melalui tiub di hidung  di beri setiap 3 jam sekali.. 
Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.. Kami do'akan agar kakak tabah menghadapi ujian ini dan cekal jiwanya.. Semoga Allah sentiasa melindunginya agar cepat sembuh.



Khamis... 8hb. Julai, 2010.. 11.30 a.m.


Bawa Abah ke Klinik Kesihatan ... untuk rawatan rutin. Alhamdulillah berat badan Abah dah bertambah sedikit.. 46kg.. sebelum ni hanya 42kg.. dan tekanan darah (BP) dah mulai stabil.  126/58.  Berbanding sebulan lalu (7hb. Jun, 2010) tekanan darah  Abah amatlah rendah  80/42.. 

Rawatan sebelumnya (16.06 dan 30.06) di hospital mendapati tekanan darah masih rendah.. atas nasihat doktor Abah perlu banyak minum air kerana kurang air dalam badan.. Abah memang agak kurang suka minum air putih dan hanya minum air putih seteguk 2 sahaja dalam satu-satu masa.. Abah lebih suka minum susu, soya atau milo (minuman manis buah).  

Appointment di hospital pula doktor menyarankan Abah untuk melalui rawatan kemoterapi bagi mengawal kanser yang telah merebak ke hati dan paru-paru. 
Abah telah setuju atas saranan doktor... saya menjadi keliru bila mendengar pelbagai reaksi orang sekeliling mengenai kesan-kesan kemo ni nanti... Doktor memberitahu rawatan ini untuk kebaikan Abah juga..
"Ya Allah semoga Allah beri petunjuk dalam menghadapi situasi ini.."


Pada waktu petang 8hb. Julai, pula saya menerima panggilan dari klinik harian Hospital Tengku Ampuan Rahimah.. dan memberitahu appointment Abah seterusnya di Hospital Kuala Lumpur pada 5hb. Ogos, 2010. Berkenaan dengan rawatan kemoterapi.  Harap Abah mempunyai kekuatan semangat untuk menjalani rawatan ini.. dan dapat melawan penyakit.

Jumaat 9hb. Julai, 2010, 2. 55 p.m.

Che' Abang menerima panggilan (ketika itu dalam kenderaan dalam perjalanan pulang mengambil saya di batu 8 - menyiapkan kerja di rumah customer) dari Abangnya.. Abang Uda memberitahu isterinya baru sahaja menghembuskan nafas terakhir kerana penyakit barah yang di hidapinya sejak beberapa tahun lalu.. Innalillahi wa innailaihi roji'un.  Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh isteri Abang Uda. Al-Fatihah. Buat Abang Uda agar beliau tabah menghadapi kehilangan orang yang dikasihi.



Melihat dari turutan hari dalam diari minggu tersebut.. semuanya melibatkan penyakit barah...

Apa itu barah atau kanser??  Barah merupakan kumpulan penyakit terdiri dari 210 jenis penyakit.  Sedia maklum barah adalah antara 10 penyebab kematian. Barah boleh di rawat tetapi tidak boleh di sembuhkan..  

Dalam tubuh kita terdapat berjuta-juta sel.. Sel-sel inilah yang memainkan peranan dalam kehidupan. Allah menciptakan sesuatu cukup sifat-sifatnya dengan setiap sel memainkan fungsi masing-masing dan saling berkaitan.  Sel-sel sama jenis bergabung membentuk tisu dan seterusnya organ seperti jantung, hati, otak, paru-paru, usus dan semua organ dalam tubuh badan manusia.. Kanser ni penyakit berkaitan dengan sel..  

Secara normal sel akan mati akibat peningkatan umur dan mengalami kecederaan.  Dengan kekuasaan  Allah tubuh badan kita akan menggantikan sel-sel ini dengan jumlah dan jenis sel yang betul.  Adakala sel-sel ini akan terus berkembang dan bertambah tanpa henti.  Sel yang tidak normal ini dinamakan tumor. Tumor ini akan mengelilingi sel dan mengambil khasiat daripada sel.. Tumor ini mungkin adalah kanser.  Sel-sel kanser ini akan berkembang dan tersebar ke organ badan yang lain melalui saluran darah dan limpa.

Penyakit barah hanya boleh di beri ubat untuk mengurangkan kesakitan kerana barah dikatakan tidak boleh diubati atau di pulihkan jika lambat di kesan. Pemulihannya hanya boleh dilakukan jika kanser tersebut di kesan pada peringkat awal.

Pelbagai usaha dan kajian dilakukan untuk rawatan barah ini selain dari teknologi moden seperti rawatan radiotrapi dan kemoterapi yang sedia ada.. 

Mencegah itu lebih baik dari rawatan ...maka dari itu kita harus peka dengan menjaga cara pemakanan dan mengambil berat kesihatan.  Kecergasan kita bergantung pada kesihatan diri.. Dengan tubuh badan yang sihat maka kita dapat menyempurnakan tugasan harian dan ibadah dengan lebih selesa dan tenang.
   
Herba jarum 7 bilah atau pereksia sacharosa

Terdapat tumbuh-tumbuhan tertentu seperti herba boleh mencegah penyakit kanser.  Contohnya seperti tumbuhan jarum tujuh bilah atau nama saintifiknya.. pereksia sacharosa/saecnarosa.

Tumbuhan jarum tujuh bilah ini dikatakan dapat merawat kanser terutama kanser kolon (usus besar), kanser hidung dan beberapa jenis kanser lain.  Terdapat 3 cara menggunakan,
1. Dengan memasukan lebih 2 helai daunnya ke dalam air panas dan di jadikan teh dan airnya di minum.

2. Daunnya di makan sebagai ulam sebanyak 1-3 helai setiap hari.

3.  Cara mengisar daunnya hingga lumat, campurkan air dan jusnya di minum. 

Anda dilarang dari meminum sebarang jenis minuman selepas mengambil herba ini kerana ia dikatakan dapat menghapuskan segala khasiat dalam badan kita.
Ia juga elok bagi mereka yang menghadapi masalah sembelit atau pendarahan seperti buasir.. InsyaAllah ia akan melancarkan saliran usus kerana daunnya yang agak berlendir itu memungkinkan faktor utama khasiat didalam kandungannya. (pandangan peribadi saya).
Saya akan mengunyah pucuk daun 7 bilah jarum ini bila menghadapi masalah sakit perut.. Alhamdulillah ia amat berkesan.  Tetapi harus diingat antara 1-3 helai sahaja untuk sekali makan kerana makanan herba juga tidak boleh melebihi dos.

Ketika kita menghadapi sakit kita harus redha atas ketentuan Allah kerana disebalik setiap penyakit itu ada hikmah tertentu yang hanya Allah sahaja Maha Mengetahui. Namun begitu kita harus berikhtiar untuk mencari penawarnya disamping berdo'a kehadrat Allah SWT mohon kesembuhan... Kita harus bersangka baik kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan.

Sebagaimana Nabi Ayub a.s berdo'a dan merayu kepada TuhanNya dalam Firman Allah SWT di dalam Al-Quran:



                       أَنِّى مَسَّنِىَ ٱلضُّرُّ وَأَنتَ أَرۡحَمُ ٱلرَّٲحِمِينَ                 


























































 Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani. (Al-Anbiya' :83)

Lalu telah datang suatu berita gembira melalui firman Allah SWT di dalam menghapuskan penyakitnya:

فَٱسۡتَجَبۡنَا لَهُ ۥ فَكَشَفۡنَا مَا بِهِۦ مِن ضُرٍّ۬‌ 
Maka Kami perkenankan do'a permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya. (Al-Anbiya': 84)

Ketika mana datang kepada kita penyakit, maka tiada seseorang pun yang boleh menyembuhkannya melainkan Tuhan Semesta Alam.  Itulah Tuhan kita Allah azzawajalla.

 Firman Allah SWT:

ٱلَّذِى خَلَقَنِى فَهُوَ يَہۡدِينِ
وَٱلَّذِى هُوَ يُطۡعِمُنِى وَيَسۡقِينِ
وَإِذَا مَرِضۡتُ فَهُوَ يَشۡفِينِ 

Tuhan yang menciptakan daku (dari tiada kepada ada), maka Dialah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku; (78) Dan Tuhan yang Dialah jua memberiku makan dan memberi minum, (79) Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakit: (80) (Al-Shuara: 78-80)

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 186, mafhumnya:

"Dan apabila hamba-hambaKU bertanyakan engkau (Wahai Muhammad SAW) tentangKU, (maka jawablah) sesungguhnya AKU ini hampir, AKU menjawab seruan sesiapa yang berdoa kepadaKU apabila dia berdoa.  Maka hendaklah dia menyahut seruan (menunaikan perintahKU) dan beriman kepadaKU mudah-mudahan mereka selalu berada di atas pentunjuk."

MAKLUMAT BARU YANG SAYA JUMPA:  Durian Belanda adalah penawar kanser???-  ikuti artikel ini di sini-


Sumber rujukan:

http://puteri40.tripod.com/kanser.htm

http://dun-maharani.blogspot.com/2009/11/doa-penyembuh-penyakit-setiap-penyakit.html

http://www.melur.com/myherba.asp?plant_id=24

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails