Pages


Monday, August 15, 2011

Ramadan Bulan Tarbiyyah

15 Ramadan, 1432H - Ogos 15, 2011


Alhamdulillah dengan rahmat kasih sayang Allah S.W.T kita telah menjalani ibadah puasa dan kini berada di pertengahan bulan Ramadan yang mulia ini..


Rasulullah S.A.W.  adalah insan yang paling bahagia pabila tibanya bulan Ramadan ini.. Baginda S.A.W. menyambutnya dengan penuh kegembiraan dan berlapang dada lalu menyampaikan rasa gembiranya itu kepada para sahabatnya dengan berkhutbah, marilah sama-sama kita menghayatinya:


"Wahai manusia!  Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Allah (Ramadan) dengan membawa berkat, rahmat dan keampunannya.  Ia bulan yang paling mulia di sisi Allah.  Harinya adalah hari yang paling mulia.  Malamnya adalah malam yang paling mulia.  Setiap detik masanya adalah masa yang paling mulia.  Pada bulan ini setiap hembusan nafasmu adalah tasbih, tidurmu adalah ibadah, segala amalanmu diterima, dan do'amu dimakbulkan.  Bermohonlah kepada Allah Tuhanmu dengan niat yang ikhlas dan hati yang suci agar Allah membimbingmu untuk melakukan puasa dan membaca kitab-NYA (Al-Qur'an)


"Amatlah rugi sesiapa yang tidak mendapat keampunan Allah pada bulan yang agung ini.  Ketika berpuasa bayangkanlah saat lapar dan dahaga pada hari kiamat.  Bersedekahlah kepada fakir dan miskin.  Hormatilah orang tuamu, sayangilah yang muda dan eratkanlah hubungan persaudaraanmu..  Jagalah lidahmu, bataskan pandanganmu daripada melihat perkara yang tidak sepatutnya dilihat, dan kawallah telingamu daripada mendengar perkara-perkara yang tidak sepatutnya di dengar.  Berbuat baiklah kepada anak-anak yatim dan bertaubatlah kepada Allah di atas dosa yang telah kamu lakukan."


"Angkatlah tanganmu untuk berdo'a pada waktu solatmu kerana itulah saat yang paling utama ketika Allah memandang hamba-Nya dengan penuh kasih.  Dia (Allah) menjawab apabila hamba-Nya menyeru, menyambut apabila hamba-Nya memanggil dan memberi apabila hamba-Nya meminta."


"Wahai manusia!  Sesungguhnya dirimu tergadai kerana perbuatanmu.  Bebaskanlah diri dengan memohon keampunanan.  Dirimu berat kerana beban dosamu, maka ringankanlah dirimu dengan memanjangkan sujudmu.  Ketahuilah Allah bersumpah dengan segala kebesaran-Nya bahawa Dia tidak akan mengazab orang yang solat dan sujud, dan tidak akan mengancam mereka dengan neraka pada hari pengadilan." 


"Wahai manusia!  Sesiapa di antaramu memberi makanan berbuka puasa kepada seseorang mukmin yang berpuasa pada bulan ini (Ramadan), maka nilai pahalanya disisi Allah sama dengan membebaskan seorang hamba.  Di samping itu Allah akan mengampuni dosanya yang telah lalu."


Sahabat bertanya: "Ya Rasulullah!  Kami semua tidaklah mampu berbuat demikian."


Rasulullah S.A.W. meneruskan khutbahnya dengan berkata:  "Jagalah dirimu daripada api neraka walaupun hanya dengan sebiji kurma.  Jagalah dirimu daripada api neraka walaupun hanya dengan seteguk air."


Setiap perbuatan dan amalan baik kita sepanjang bulan puasa ini mudah-mudahan berterusan dan mendidik kita menjadi insan yang berdisiplin.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails