Pages

Tuesday, January 11, 2011

Ku Rindu (11.1.11 @ 11.11 PM)

Nostalgia ~ kenangan pertengahan tahun 1980 an Abah dan Emak berlatarkan rumah pusaka tempat kelahiran kami adik beradik. (Baju sedondon lagi - Baju Abah dan Emak hasil jahitan tangan Emak sendiri.. Sayang Abah dan Emak)
Halaman yang menghijau di jaga oleh Abah dan Emak.. bersih dan nyaman suasana ketika itu... Kami rindu!!!

Salam rindu....,
Ku rindu menatap wajahmu..
Ku rindu berbicara denganmu.. tapi kini bicaraku di titip dalam do'a buatmu Abah, 
Ku dakap rindu memohon ke hadrat Illahi agar kau bahagia, tenang dan damai di sana.. 
Kini pelukan ku bertambah erat buat Emak yang amat kami kasihi..

Abah,  ketika ku berkunjung ke pusaramu (9/1/2011) bersama kak Fizah dan Norzie..
Di waktu yang sama (siang hari) Nabilah anak sulungku sedang tidur di rumah dan pada waktu itu beliau bermimpi bertemu Abah (Atoknya).. dan dalam mimpi Atok berpesan "Jangan tinggal solat"..
Airmatanya menitis dan sebak kerana kerinduan pada Atok di sayangi yang ambil berat diri cucu-cucu. Beliau terimbau kembali ketika pergi dan balik sekolah bilamana bapa mereka sibuk Atoklah yang mengambil dan menghantar cucu-cucu ke sekolah.. Semoga peringatan dalam mimpinya itu menjadikan anak cucu sentiasa patuh dengan suruhan Allah dan tidak melengah-lengahkan solat..!!


Abah, ku coretkan beberapa keratan catatan motivasi yang di petik dari buku koleksi Abah, "Mengubat DUKA LARA" ~ ilmu dari Allah yang telah di susun oleh Ustaz Safwan Fathy dalam kitabnya agar menjadi panduan kami.... 


~Menganggap Mati Sebagai Satu Istirahat..~


Apabila kita menyedari bahawa mati sebenarnya adalah satu istirahat yang panjang, yang melegakan kita dengan syarat kita menjadi insan soleh semasa hidup di dunia ini.  Hal ini sesuai dengan sepotong hadith riwayat Abi Qatadah, bahawa ada jenazah lalu di hadapan Rasulullah s.a.w., maka Baginda s.a.w. bersabda, "Dia beristirahat dan orang lain beristirahat daripadanya." Maka bertanyalah para sahabat, "Apakah maksud dia beristirahat dan orang yang lain beristirahat daripadanya?"


Jawab Nabi s.a.w. :  "Orang yang beriman, dengan kematiannya itu maka dia beristirahatlah daripada kepayahan dunia.  Dan orang yang jahat dengan kematiannya itu, maka manusia, negeri, pohon-pohon dan binatang terlepas daripada gangguannya." (Muttafaq'alaih)


"Sesungguhnya mereka yang telah mengakui Allah Tuhan kami, kemudian bersikap istiqamah (lurus), akan turun Malaikat kepada mereka untuk menghibur dengan kata-kata:  Jangan takut dan jangan berdukacita, dan bergembiralah kamu dengan syurga yang dijanjikan kepada kamu.  Kami (Allah) sebagai Pelindung kamu pada masa hidup kamu di dunia dan di akhirat.  Dan untuk kamu didalamnya (tersedia) apa-apa yang diinginkan oleh diri kamu, dan bagi kamu di dalamnya (tersedia) apa-apa yang kamu minta.. Sebagai hidangan daripada Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang." (Surah Fussilat: 30-32) 

Dengan ayat tersebut jelaslah bahawa orang yang beriman dan beristiqamah dalam menghayati ajaran Allah s.w.t. nescaya akan dijauhkan daripada perasaan takut (cemas) dan dukacita, sebaliknya akan memperoleh ketenangan jiwa.  Dan seterusnya di akhirat nanti akan di hidangkan dengan pelbagai kenikmatan yang tidak terperi, kegembiraan dan kebahagiaan yang kekal abadi dengan rahmat dan izin Allah s.w.t. jua.


Ya terdapat pelbagai keterangan memberikan gambaran adanya antara hamba-hamba Allah yang di anugerahi ketenangan menghadapi maut.  Mereka menghadapi saat-saat kematian itu dengan damai dan tenang, tidak cemas dan khuatir, bahkan ada yang mencintai mati (syahid) lebih daripada mencintai hidup.  Mereka itu adalah para Nabi, siddiqin, syuhada' dan para solehin pada umumnya.


Rasulullah s.a.w. sendiri pada waktu hampir kewafatannya, Baginda menunjukkan ketenangan yang terbayang daripada sikapnya mahupun perkataannya.  Anas r.a. mengungkapkan ketika makin berat sakit Rasulullah s.a.w., Fatimah r.anha berkata, "Alangkah berat penderitaan ayah!"  Jawab Nabi s.a.w., "Tidak lagi ayah menderita kesukaran sesudah hari ini!"

Setelah Rasulullah s.a.w. wafat, Fatimah r.anha berkata, "Wahai ayahanda, ayahanda telah menyambut panggilan Tuhan.  Wahai ayahanda, syurga Jannah al-Firdaus tempatnya..."  Demikian menurut al-Bukhari.

Ibnu Mas'ud menyapa Nabi s.a.w. ketika sakit, "Wahai Rasulullah!  Sungguh serius demam ini..!"  Nabi s.a.w. menjawab, "Benar, saya menderita panas dua kali ganda daripada orang biasa."

Berkata Ibnu Mas'ud, " Benar kerana anda memperoleh pahala dua kali ganda daripada orang biasa."  Jawab Nabi s.a.w., "Demikianlah halnya!  Tidak seorang Mukmin menderita gangguan apa pun, baik berupa duri atau lebih daripada itu, melainkan Allah akan menghapuskan dosanya, laksana gugurnya daun dari pohon."  (Muttafaq 'alaih).

Para sahabat Nabi s.a.w. menunjukkan ketenangan dan tidak takut menghadapi kematian.  Ya, mereka tenang, bahkan merindukan mati syahid di jalan Allah.


Umar Ibnu al-Khattab r.a. pernah berdo'a agar dijadikan mati syahid di kota Rasul.  Do'anya di makbulkan Allah, beliau mati syahid di dalam masjid terbunuh oleh perbuatan musuh Islam.


Uthman ibnu 'Affan r.a. ketika di kepung musuh-musuhnya yang akan menumpahkan darahnya, beliau tetap tenang membaca al-Quran.


Jabir memberitahu, bahawa di dalam Peperangan Uhud, ada seorang yang bertanya kepada Nabi s.a.w. "Bagaimana pendapatmu kalau saya terbunuh dalam peperangan ini?"  Jawab Nabi s.a.w., "Di syurga!"  Orang itu pun segera membuang beberapa biji kurma yang masih sisa di tangannya, kemudian dia maju bertempur hingga mati terbunuh. (Muttafaq 'alaih).


Salah satu kesan yang jelas kelihatan seseorang itu tenang menghadapi mati ialah apabila dia telah menyiapkan kain kafan dan kubur sebelum matinya.  Antara orang-orang yang bersikap demikian ialah 'Uthman ibnu 'Affan r.a., 'Aisyah dan Umar bin Abdul Aziz.  Mereka lakukan hal demikian tanpa ditegur oleh Nabi s.a.w.


Menurut riwayat Sahal r.a. ada orang yang pernah meminta sehelai kain burdah yang di pakai oleh Nabi s.a.w. dengan harapan kelak akan dipakai sebagai kain kafan,  Nabi s.a.w. memberikan burdah itu kepadanya.


Jika sikap manusia menghadapi maut ada dua macam, ada yang takut dan gelisah serta ada pula yang tenang dan senang, maka sudah tentu kita berharap termasuk golongan yang diberikan ketenangan oleh Allah s.w.t.


Bagaimana caranya dan betapa rahsianya?  Sudah tentu rumusnya tidak lepas daripada formula iman dan taqwa yang digariskan Allah s.w.t dalam al-Quran dan diterangkan Nabi s.a.w. dalam Hadithnya.


~Meyakini Kehidupan Akhirat Kekal Abadi~



Setiap orang yang beriman pasti meyakini bahawa kehidupan di dunia ini adalah sementara, dan kehidupan akhirat jua yang kekal abadi.  Nabi s.a.w. pernah menggambarkan bahawa hidup ini bagaikan orang yang berpergian jauh berteduh untuk seketika di bawah pohon, kemudian pergi meninggalkannya.  Dalam al-Quran banyak ayat di sana sini yang menjelaskan kehidupan dunia yang sedikit, dibandingkan dengan kehidupan alam akhirat yang lebih kekal dan lebih indah bagi orang yang bertaqwa.


Justeru sepatutnya setiap insan yang beriman harus lebih mencintai kehidupan di alam akhirat daripada dunia yang fana ini.. Setiap detik dan ruang waktu daripada kehidupan duniawi akan diisi sebanyak mungkin dengan amal soleh dan amal kebajikan.  Inilah sebaik-baik bekalan yang akan di bawa ke alam akhirat.

Dengan adanya keyakinan dan sikap serta persediaan yang sungguh-sungguh, insya-Allah seseorang itu dalam keadaan tenang, tidak takut dan tidak berdukacita menghadapi maut, malahan akan merasa rindu untuk bertemu dengan Allah.


~Rindu Bertemu Allah s.w.t.~


Allah s.w.t adalah kekasih kita yang kita kasihi lebih daripada mengasihi ibu bapa, anak dan isteri.  Di samping itu meyakini bahawa Allah juga mencintai dan mengasihi kita, lebih daripada kecintaan manusia yang sayang kepada diri kita.


Dalam hadith riwayat Muslim diterangkan bahawa sesiapa yang suka bertemu dengan Allah s.w.t. Allah pun suka menemuinya.  Orang yang demikian itu memandang kematian hanyalah sebagai jambatan penyeberangan untuk menemui Allah yang dicintai dan yang dirindui selama ini.


Bagaimana untuk sampai ke maqam mahabbah yang begitu tinggi?


Berusaha dan berikhtiarlah mengukuhkan keimanan dengan terus-menerus meningkatkan ilmu dan amal dengan sungguh-sungguh serta ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t.

CATATAN PADA 11.1.11 @ 11.11 p.m (11hb.  Januari, 2o11)


MEMORI

Kenangan silam 1970 an ~ dari kiri ayahanda Tn. Haji Rahmat (abang ipar Abah), Almarhum nenda Hj. Abd. Rashid (bapa tiri Abah), Almarhum ayahanda Hj. Mohamed Asru dan Almarhum ayahanda Hj. Asfandi


Abah dan adik bongsuku Norziela ~ pulang dari sekolah ~ awal 1980 an.










Abah dan Abangku Azhar juga anak saudara Abah, Nazrul M. Asru ketika menziarahi kaum kerabat di Medan, Indonesia pada tahun 1990 (dan juga beberapa ahli keluarga terdekat dari Malaysia turut serta)


Abang sulungku ~ Adnan membantu Abah di kebun.



Menghantar cucu-cucu ke sekolah tadika, Khairul Hafiz dan anakku Nurul Hannah tahun 2000.

Sewaktu di Hospital Kuala Lumpur menjalani rawatan selepas pengambilan dua dos ubat untuk kemoterapi bagi mengawal kanser usus yang telah merebak ke hati dan paru-paru (rawatan kemoterapi dihentikan sertamerta kerana terdapat jangkitan  dalam darah) - bulan Ogos 2010 (Ramadhan)
 
Berehat sebentar di rumah abangku Azhar di Bandar Tun Hussein Onn sekembali dari Hospital Kuala Lumpur menjalani rawatan susulan.


Adik beradik Abah.. (2 orang tiada dalam gambar Allahyarham ayahanda Rusdi -abang- dan Bonda Hajjah Marminah- kakak)


Emak di samping Abah... (awal bulan Disember,2010) Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohmu Abah.. dan di himpunkan bersama para solehin.. AL-FATIHAH.  Ya Allah berilah kesihatan yang baik buat bondaku dan rahmatilah kehidupannya.. Amiin.
Kasih sayangku buatmu Emak dan Abah..
Pelangi senja ~ 1 Disember, 2010
 


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails